Penyesalan Aku

Salam admin dan readers. Aku sebenarnya trigger bila terbaca luahan Perindu Sepi dalam “Penyesalan Tak Berpenghujung” (https://iiumc.com/penyesalan-tak-berpenghujung/) yang disiarkan di laman ini.

I feel you sis. Rasa menyesal dan terkilan yang tak boleh nak digambarkan. Sampai sekarang masih terasa terkilan walaupun perkara ni dah hampir 10 tahun berlalu.

Aku dibesarkan dalam keluarga yang tidak reti menunjukkan rasa kasih sayang secara fizikal. Maksudnya, tiada pelukan oleh parents atau dibiasakan bersalaman dengan parents daripada kecil lagi.

Ayah aku pun bukan jenis main dengan anak-anak dan penjagaan memang boleh kata sepenuhnya jadi tanggungjawab mak.

Tapi aku tau, parents aku memang sayangkan kami dan tiada pilih kasih. Semua dilayan sama rata. Bila dah besar, rasa kekok tu payah dah nak hilang. Tambahan lagi, kami adik beradik semua dah berpecah serata negeri untuk bekerja dan belajar.

Lagi rasa jauh walaupun sebenarnya rindu tu ada pada parents dan adik beradik. Macam aku yang dah berkahwin ni, lagi la rasa ‘jauh’ sebab sibuk dengan kerja dan famili kecil aku.

Bila ayah aku disahkan menghidap kanser 10 tahun yang lalu, semua terkejut sebab ayah seorang yang boleh dikatakan sihat kecuali penyakit gout dia sahaja yang agak teruk. Dia tiada penyakit darah tinggi, kencing manis atau jantung.

Kanser dia merebak dengan sangat cepat walaupun dia tak pernah miss treatment sepertimana yang ditetapkan oleh doktor.

Sepanjang tempoh treatment (empat bulan lebih kurang), aku hanya sempat beberapa kali mengambil cuti dan travel balik ke kampung untuk membawa dia ke hospital.

Tambahan Ketika itu, aku tengah mengandung dan alahan. Lebih memburukkan keadaan, aku sebenarnya tidak boleh melihat orang sakit. Aku akan jadi gelisah dan suka menjauhkan diri.

Sekilas pandang, orang akan kata aku sejenis yang tiada perasaan sebab seakan tidak peduli dengan orang sakit.

Bukan tidak peduli, tapi aku takut. Ntah apa yang aku takut pun aku tak tau macam mana nak describe.

Tambahan lagi, aku trauma untuk ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan dan kehilangan rakan karib aku ketika belajar dulu.

Selebihnya, adik aku yang telah tamat belajar yang menjadi pemandu ayah ke hospital setiap kali treatment. Aku sendiri tak pernah bermalam di hospital ketika dia warded atas sebab aku yang mengandung.

Nasib baik suami aku menawarkan diri untuk menemani ayah bila sekali sekala bila ayah tetiba warded di hospital.

Setiap kali kali balik kampung, dalam tempoh empat bulan tu, aku jadi macam bodoh. Aku tak tau nak jaga dia selain pastikan dia makan dan minum on time, bagi pastikan dia selesa menonton tv di ruang tamu.

Walaupun dia tidak terlantar atas katil, pergerakan dia agak terhad sebab kesan kanser tu menyebabkan berat badan ayah turun mendadak dan dia cepat letih.

Kami tak reti untuk bersembang lama-lama. Percakapan kami hanya berkisar kepada gelagat anak-anak aku atau kucing kesayangan adik aku. Atau tentang his next appointment.

Ayah aku sendiri tak selesa berkongsi tentang penderitaan dia melawan kanser. Empat bulan terakhir yang dipersiakan.

Hari tu, aku sedang mengangkat beg untuk diberi kepada suami aku sambil diperhatikan oleh ayah aku di ruang tamu rumah kampung kami.

Sekejap lagi aku dan keluarga kecil aku akan berangkat pulang ke tempat kami bertugas sebagaimana lazimnya setiap kali hari ahad menjelma.

Tapi kali ini, aku melihat perubahan pada wajah ayah aku. Dia nampak pucat. Lebih pucat daripada biasa. Sekeliling matanya kelihatan gelap.

Hati aku jadi gelisah. Ada satu perasaan yang kurang enak tentang keadaan ayah ketika itu. Tapi aku tak dapat nak point out apa yang tak kena.

Pada suami aku, ayah kelihatan macam biasa (biasa bagi orang yang sakit). Tapi pada pandangan aku, ayah nampak ‘lain’.

Sebelum aku melangkah keluar dari rumah hari tu, aku bagitau ayah yang aku dah nak balik dan nanti kita jumpa lagi. Ayah aku cuma tersenyum tanpa berkata apa-apa.

Dua hari kemudian, mak menelefon aku dan memberitahu ayah ditahan di wad lagi. Masa tu, dah lewat petang. Hampir maghrib ketika mak telefon.

Doktor maklum kondisi ayah ketika appointment hari tu tak membolehkan doktor untuk meneruskan dengan rawatannya.

Dia terpaksa ditahan di wad dulu sehingga keadaannya stabil semula. Pada masa yang sama, doktor paliatif yang handle ayah telah berpesan kepada mak untuk memaklumkan kepada anak-anak agar pulang segera ke kampung.

Mak pesan untuk aku balik esok sahaja disebabkan keadaan aku yang sarat mengandung dan anak-anak yang masih kecil.

Aku jadi gelisah malam tu. Sambil mengemas kain baju, aku menangis. Tapi dengan keadaan aku yang sarat ketika itu, mustahil untuk aku memandu sendiri beratus kilometer untuk balik kampung malam-malam dengan dua orang anak kecil.

Nak harap adik datang mengambil aku, diaorang sendiri sudah dalam perjalanan ke hospital dengan keluarga mereka. Nak tak nak, aku terpaksa juga tunggu suami aku balik dari outstation malam tu.

Ketika sedang tidur malam tu, aku mendapat the dreaded call. Ya, ayah aku dah tiada. Tiada siapa sangka dia pergi ketika sedang elok bersembang dengan mak aku. Dia cuma bagitau mak, dia rasa letih dan nak tidur.

Macam biasa, mak akan mengingatkan dia agar tidak lupa mengucap dan membaca surah lazim yang diamalkan ayah aku sebelum tidur.

Akhirnya tiada seorang pun antara anak-anak dia dapat berjumpa dengan dia sebelum dia pergi selamanya.

Ketika sampai di kampung, aku hanya sempat menemani jenazahnya seketika sebelum urusan pengebumian disempurnakan. Alhamdulillah, urusan ayah berjalan dengan lancar.

Sehingga kini, rasa terkilan dan sesalan tak pernah hilang dari jiwa aku.

Jikalau aku tau maksud ‘kelainan’ ayah yang aku lihat pada hari terakhir aku melihat dia hidup, tak mungkin aku tinggalkan dia. Tapi siapa lah aku untuk menidakkan takdir.

Mungkin ada pengajaran yang amat mahal untuk aku pelajari daripada pengalaman ini. Trauma aku pada hospital masih ada walaupun telah berkurangan. Trust your instinct dalam menilai sesuatu situasi.

Kini, fokus kami adik-beradik hanya pada kebajikan mak. Larangan merentas negeri ketika ini menyebabkan sudah berbulan aku tidak berpeluang balik ke kampung. Hanya video call jadi penghubung.

Walaupun kami tidak tahu menzahirkan kasih sayang dengan sentuhan fizikal, tapi kami nak mak tahu yang kami amat sayangkan dia dan mengambil berat tentangnya. Doakan dia terus diberi kesihatan dalam situasi pandemik ketika ini. Aamiin…….

– Kaklong (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *