Assalamualaikum. Tujuan utama aku menulis hendak berkongsi ibrah yang aku baru fahami dan pelajari tahun ini.
Aku berharap perkongsian secebis kisah hidup aku ini akan memberi manfaat kepada mereka yang membaca dan dapat menjadi bekal aku di akhirat kelak.
Sewaktu sekolah menengah dulu, ayah aku jatuh sakit teruk. Ayah aku terpaksa duduk di wad hospital untuk satu tempoh yang agak lama. Berpindah daripada ICU akhirnya ke wad biasa.
Sejurus sahaja ayah dibenarkan keluar, ahli rumah kami kembali lengkap.
Betapa ia satu cabaran yang besar buat kami sekeluarga waktu itu hendak menjaga ayah yang masih belum mampu berjalan dengan menggunakan dua kakinya.
Pada ketika ayah sudah mampu berjalan, ayah tetap juga tidak bekerja kerana faktor kesihatannya yang masih belum cukup baik.
Setahun pertama, itu alasan ayah namun kami sekeluarga memahami dan menerima penjelasan itu. Namun, setelah kesihatan ayah bertambah baik dan ayah tetap tidak bekerja, rasa geram mulai bertunas.
Hampir tiga tahun lamanya ayah hidup sedemikian. Duduk sahaja di rumah menghadap telefon tanpa dibebankan oleh tanggungjawab hakikinya, memberi nafkah buat kami sekeluarga.
Sepanjang tempoh tiga tahun itu, ibu mula meluahkan perasaannya kepada aku. Rasa geram pada ayah yang tak nampak gaya ada usaha nak sihat,
Marah yang terpendam sebab ayah lepaskan semua tanggungjawab pada ibu, dan ayah seolah-olah tak menggunakan akal budinya untuk tolong mengemas rumah.
Berulang kali juga ibu katakan pada waktu itu yang ibu seboleh mungkin tak mahu meluahkan hatinya kepada aku yang masih mentah usia. Namun demikian, ibu tidak mempunyai insan lain yang boleh ibu meluah kepadanya.
Kerana itulah, aku sebagai anak sulung ibu menadah jua telinga mendengar keluhan dan kepenatan serta 1001 kecamuk perasaan yang lain ibu ceritakan kepada aku.
Kerap ibu berpesan kepada aku supaya aku tidak marah dan benci kepada ayah walaupun setelah mendengar cerita-cerita ibu.
Pesanan tinggal pesanan semata-mata.
Susah hendak aku pasakkan ia di dalam minda aku.
Seiring masa, aku perasan aku dah mula rasa menyampah setiap kali ayah meminta tolong aku untuk berbuat apa-apa.
Dari sekecil perkara seperti tolong ambilkan pengetip kuku, hinggalah hal-hal seperti memasak dan membancuh air. Dari menyampah, lama-lama jadi marah.
Pada saat kesedaran mengetuk itu, ibu masih jua menceritakan perihal hatinya kepada aku kerana berat di hati.
Menjadi seorang anak dan satu-satunya orang yang boleh mendengar luahan ibu, aku pinjamkan jua perhatian dan pendengaran aku kepada ibu.
Terdetik dalam hati aku secara rawak pada satu hari yang rasa menyampah bertukar marah dan benci yang aku pendam kepada ayah aku ini, pasti ia disebabkan oleh luahan ibu yang kerap kepada aku.
Di dalam diari, itulah catatan aku. Luahan ibu menyebabkan aku jadi benci kepada ayah. Itulah punca sebenarnya.
Di hadapan ibu, aku menafikan sekerasnya. Aku mengatakan yang aku nampak kebenaran luahan ibu kepada aku dan kerana itulah aku jadi marah pada ayah.
Antara perkara yang benar dalam luahan ibu ialah seperti ayah zahirnya kurang berusaha untuk menambah baik kesihatan diri,
Ayah yang asyik menghadap telefon bimbit 24/7, ayah yang selalu mengeluh bila ibu minta hantarkan ke tempat kerja, dan ayah berat tulang dalam membuat kerja rumah.
Bagaimana mungkin aku tak marah kepada ayah ketika itu sedangkan terdapat kebenaran yang luas dalam kata-kata ibu kepada aku? Sedikit sebanyak, kemalasan ayah menyusahkan aku juga.
Bila ayah biarkan saja rumah tak terurus, akulah yang sejurus balik sekolah mula mengemas dengan harapan kurang beban ibu lepas balik kerja nanti.
Bila aku sendiri tak larat nak kemas, ibu balik jadi tambah penat mengemas dan memarahi aku. Kemudian, kami berdua sama-sama jadi tertekan. Ayah? Tak ada apa.
Ada beberapa kali di mana ayah bercerita pada aku masa jemput aku balik sekolah tentang perbelanjaan yang ayah bagi pada ibu dulu semasa kami adik-beradik masih kecil.
Aku syak itu percubaan ayah hendak melembutkan hati aku yang semakin membengkak kepada ayah.
Berhasilkah percubaan ayah?
Entahlah. Aku rasa biasa saja selepas itu.
Setelah aku dan adik memasuki alam pengajian universiti, luahan hati ibu semakin kurang dan pesanan serta nasihat supaya kami menghormati ayah semakin bertambah.
Pun begitu, kebencian kami kini bukan lagi kerana luahan ibu semata-mata.
Kali ini, perasaan geram kami memang kami yang labur sendiri kerana melihat dengan mata kekurangan-kekurangan ayah.
Satu hari, ibu mengingatkan aku dengan tutur lembut yang kalau aku berterusan memendam marah pada ayah, kemungkinan besar perkara sama akan jadi bila aku dah bersuami nanti.
Termenung aku beberapa hari memikirkan kata-kata ibu itu. Semua nasihat yang ibu sampaikan sebelum ini aku hadam dan hayati. Bila aku kenang balik, penat hidup macam ni.
Ayah aku mungkin bukan ayah yang terbaik di dunia, tapi dia juga bukanlah yang terjahat dan yang terburuk.
Salah satu usaha ibu untuk mengembalikan rasa hormat kami kepada ayah ialah dengan meminta ayah mengimamkan solat. Awalnya, aku dan adik cukup malas sebab kami ada komitmen kelas.
Lama-lama, atas desakan ibu, kami turutkan jua arahan ibu menjadi makmum kepada solat yang ayah imamkan. Sejak kami melazimkan solat berjemaah sekeluarga, ayah dah ada beberapa perubahan baik.
Perbelanjaan bulanan tidak lagi sepenuhnya di atas bahu ibu. Ayah sudah tidak terlalu berat tulang seperti dulu dalam membuat kerja rumah. Malahan, keluarga kami sudah semakin mesra dan terasa jua kemanisan berkeluarga.
Kadang-kadang, masih ada bisikan syaitan yang mengundang amarah aku terhadap ayah bila terlihat sedikit kekurangannya.
Berkat kematangan yang dah bercambah sedikit, aku tidak lagi melepaskan geram dan marah aku kepada ayah dengan nyatanya.
Aku paksa dan didik hati aku supaya cepat bertenang dan sejuk. Lagipun, apa sahajalah faedah yang akan aku dapat daripada memendam marah dan geram lama-lama kepada ayah aku sendiri?
Antara berlambak ibrah yang aku dapat, bab mendidik dan menyejukkan hati inilah yang paling memberi kesan kepada penambahbaikan diri aku sendiri.
Sekian saja perkongsian aku. Aku harap ia akan memberi manfaat kepada mereka yang sudi membaca, Assalamualaikum,
– Fynn (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit