Mampukahku Bertahan Dengan Suara Ini?

Assalamualaikum dan Hai kepada semua pembaca-pembaca setia IIUM Confession, nama saya Hati Tisu (bukan nama sebenar), seorang Lelaki yang mempunyai keyakinan datang dalam masa yang agak lama dan hilang dalam sekelip mata. Hehehehe.

Sebenarnya dah agak lama saya nak membuat nukilan, luahan ataupun confession di IIUM Confession ini, tapi sekarang baru saya berkesempatan untuk menulisnya,

Sekiranya nukilan atau luahan saya ini disiarkan oleh admin, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada admin.

Ok kembali kepada tujuan saya membuat nukilan ini, saya ingin bercerita sedikit sebanyak tentang hidup saya.

Sebelum itu saya ingin meminta maaf sekiranya cerita saya ini agak panjang atau membosankan tetapi saya hanya menggunakan dan memanfaatkan platform ini untuk membuat satu luahan.

Saya seseorang lelaki yang boleh dikatakan nampak biasa-biasa sahaja di khalayak ramai tetapi apabila saya membuka mulut dan melontarkan suara saya kepada orang yang baru saya jumpa atau kenal,

Sesiapa sahaja ataupun mungkin sesetengah yang mendengar suara saya akan berasa pelik samada dari cara ekspresi muka mereka yang terkejut atau mereka zahirkannya dengan cara biasa-biasa sahaja,

Dan ada sesetengah hamba Allah ini yang memang langsung tak menjaga sensitiviti orang lain dan tak memikirkan perasaan orang lain akan ketawa ‘on the spot’ ya, Ya ini memang dari pengalaman saya sendiri.

Dan ya saya seorang lelaki yang mempunyai suara yang agak lembut dan boleh dikatakan macam perempuan. Yelah setiap kali ada orang-orang dari Foodpanda, poslaju, Jnt, dan lain2 perkhidmatan delivery yang call saya pasti akan memanggil saya dengan panggilan ‘akak’.

Begitu juga dengan orang-orang dari bank apabila saya ingin membuat hal-hal yang melibatkan perbankan pasti akan menyuruh saya untuk memberikan call kepada Encik Hati Tisu iaitu saya sendiri kerana mereka menyangka saya adalah orang lain,

Dan ya apabila saya memberitahu segala details mengenai saya baru mereka percaya itu adalah saya.

Ada saya pernah terbaca di suatu tempat yang saya tidak ingat, seorang lelaki bersuara lembut jugak memberitahu dia terpaksa ke bank untuk mengesahkan cap jari dia untuk urusan perbankan tersebut.

Benda ini dah menjadi lumrah bagi saya dan kadang-kadang saya dah menjadi lali dengan perkara-perkara seperti ini,

Dan kadang-kadang juga apabila saya terlampau overthinking, memori- memori buruk dari zaman-zaman saya sekolah rendah hingga ke zaman sekolah menengah pun saya boleh ingat dalam sekelip mata sahaja.

Kadang-kadang saya rasa cemburu dengan lelaki-lelaki lain yang mempunyai memori ataupun kenangan- kenangan yang terindah bersama rakan-rakan mereka sewaktu mereka di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Tetapi tidak bagi saya, hari-hari yang saya lalui sewaktu saya berada disekolah rendah dan menengah amatlah perit, A

nda semua boleh bayangkan tak sewaktu saya berada di darjah 5, darjah 6, murid-murid dari darjah 1,2,3,4 sudah pandai memanggil, menggelar saya dengan panggilan “Pondan”, “Maknyah”.

Dari mana mereka belajar semua ini? Ya dari orang-orang yang lagi tua dari mereka (Ibu bapa, abang, kakak) yang tidak bertanggungjawab mengajar benda-benda yang tidak elok.

Sepatutnya sebagai ibu bapa yang mempunyai akal fikiran yang sihat, mereka seharusnya mengajar anak-anak mereka nilai-nilai murni, cara menghormati orang lain samada yang tua dari mereka atau sebaya mereka.

Jadi itu yang akan dipraktik oleh mereka dari kecil hinggalah ke dewasa nanti. Tetapi hakikatnya bilangan ibu bapa mengajar anak-anak mereka nilai-nilai murni tersebut makin berkurang. Apabila saya mula memasuki alam persekolahan menengah,

Saya sangka panas sampai ke petang, tetapi hujan ditengah hari apabila saya mendapat tamparan yang sangat hebat apabila kata-kata cacian, hinaan yang saya dapat boleh dikatakan semakin menjadi-jadi iaitu pada setiap hari daripada pelbagai jenis orang termasuklah rakan-rakan sekelas saya.

Saya masih teringat lagi ada seorang kawan saya ini pernah memberitahu saya ada seorang cikgu ini pernah memberitahu kelas mereka bahawa saya ini adalah seorang umat kaum nabi Luth AS hanya disebabkan perwatakan dan suara saya yang lembut.

Tahu-tahu lah apa kesalahan dan dosa yang dibuat oleh kaum-kaum nabi Luth as. Pada ketika itu saya rasa sangat speechless dan tak tahu nak rasa happy ke, sedih ke, marah ke sebab terkejut dengan kata-kata seorang guru tersebut.

Ada juga seorang cikgu ni yang mengumpat saya dengan cikgu-cikgu yang lain, dengan pelajar-pelajar yang lain supaya jangan berkawan dan bergaul dengan saya hanya disebabkan perwatakan saya yang lembut ini.

Salah ke saya menjadi seorang lelaki yang bersuara lembut dan berpewatakan lembut? (Tanya saya ketika itu)

Pada ketika itu jugak saya terfikir apa salah saya dekat cikgu tu sampaikan dia menghasut pelajar lain supaya jangan berkawan dengan saya.

(Disclaimer: Saya bukan nak memburukkan cikgu tersebut dan saya juga tidak menyatakan nama beliau disini, selepas insiden tersebut, saya masih lagi menghormati cikgu-cikgu tersebut dan cikgu-cikgu yang lain dengan cara yang baik).

Ada juga sesetengah cikgu yang suka ajuk suara saya apabila saya bercakap, mengata suara saya apabila saya sedang bercakap.

Soalan saya, wajarkah seorang pendidik yang dipanggil guru atau cikgu bersikap tidak professional seperti tersebut dengan melayan seorang murid atau murid-murid yang lain dengan cara yang tidak sepatutnya,

Berpuluh-puluh kali soalan ini berlegar-legar dalam fikiran saya apabila memori buruk ini muncul di benak fikiran saya.

Bukan semua cikgu-cikgu yang saya kenali berperwatakan seperti cikgu-cikgu yang saya mention di atas, Ada juga cikgu-cikgu yang prihatin, penyayang, baik dan melayani anak-anak murid dengan baik. (Terima Kasih Cikgu).

Hari-hari yang saya lalui ketika dibangku sekolah boleh dikatakan dipenuhi dengan cacian, hinaan seperti “weh pondan!” “Hai maknyah” sehingga saya sudah lali dengan gelaran-gelaran tersebut.

Memori dan kenangan yang indah bersama kawan rapat tu bukan tidak ada, ada cuma sedikit berbanding dengan memori dan kenangan yang buruk.

Kadang-kadang saya terfikir, mereka ada hak ke? mereka ada lesen ke? nak mengelar saya, memanggil saya dengan panggilan tersebut?

Adakah mereka merasa puas? Rasa hebat? Rasa besar? Selepas memanggil saya dengan gelaran tersebut.

Tak habis-habis saya berfikir kenapa manusia-manusia sekarang suka sangat menghina sesama sendiri, mengata orang lain tanpa ada rasa bersalah. Kita sebagai manusia tidak sempurna dan tidak sama.

Tak semestinya dia tu lain daripada diri kau dan orang lain telah memberikan kau satu lesen untuk berbuat sesuka hati kau tanpa memikirkan perasaan orang lain. Tak minta banyak pun, cuma berfikir lah secara rasional wahai manusia-manusia sekalian.

Apabila umur dah makin menginjak tahun demi tahun dan saya sudah memasuki alam Universiti, layanan yang saya dapat daripada seorang pensyarah amat lah jauh berbeza daripada layanan yang saya dapat dari cikgu-cikgu tersebut. Bagaikan langit dengan bumi ya.

Mungkin takdir Allah mempertemukan saya dengan pensyarah-pensyarah yang baik dan memahami selepas bertemu dengan cikgu-cikgu yang tidak berapa baik di zaman persekolahan saya.

Begitu juga dengan kawan-kawan, rakan sebilik, rakan serumah yang saya jumpa juga sangat berbeza daripada rakan-rakan saya daripada zaman sekolah menengah saya.

Kawan-kawan rapat saya dari zaman sekolah menengah yang masih lagi keep in touch dengan saya boleh dikatakan dapat dikira dengan menggunakan jari.

Saya tetap rasa bersyukur kerana masih mempunyai sahabat-sahabat yang masih setia berkawan dengan saya sehingga ke hari ini, Semoga dapat berkekalan selamanya. Oh ya, kebanyakan kawan-kawan rapat saya adalah perempuan dan bakinya adalah lelaki.

Sekarang saya masih lagi menuntut di IPTA, dan disebabkan oleh pandemik COVID-19, semua benda dilakukan secara atas talian termasuklah kelas saya daripada tahun lepas yang dilakukan di rumah sendiri.

Tetapi bulan 10 tahun ini, apabila Menteri IPT mengumumkan bahawa pelajar-pelajar IPT dah boleh kembali ke kampus masing-masing,

Saya agak berasa cemas kerana saya tidak bersedia untuk bersosial dan berjumpa dengan orang-orang lain kerana sudah hampir setahun kelas atas talian ini dijalankan dan saya sudah mula dapat biasakan diri saya dengan kelas atas talian ini.

Sejujurnya kelas atas talian dirumah masing-masing ini telah mengurangkan sedikit sebanyak stress yang dihadapi oleh saya berbanding kelas fizikal di kampus (lain orang lain keadaan mereka, ada yang lagi stress belajar atas talian dirumah masing-masing kerana masalah keluarga dan sebagainya).

Sebelum kelas atas talian ini berlangsung, saya sering merasa tertekan sehingga menyebabkan saya terkena anxiety dan panic attack.

Simptom-simptom yang saya rasa apabila panic attack menyerang adalah seperti kaki kejang, selalu menangis, dada terasa sakit dan berat walaupun kita tidak mengambil kafein, sesak nafas, berpeluh, rasa tercekik dan sebagainya.

Tetapi apakan daya, bulan 10 tahun ini saya kena masuk ke kampus semula walaupun saya tidak bersedia. Sejujurnya salah satu sebab saya tidak bersedia untuk memasuki ke kampus balik adalah disebabkan suara saya, semua disebabkan oleh suara saya.

Saya tidak yakin nak menggunakan suara saya apabila berjumpa rakan-rakan baru nanti. Kadang-kadang saya terfikir, sampai bila saya nak menggunakan suara saya ini, Adakah sampai saya masuk bekerja nanti?

Ini baru cabaran yang saya hadapi ketika di universiti, belum lagi melangkah ke alam pekerjaan nanti. Tentu pelbagai cabaran dan rintangan yang akan dihadapi oleh saya nanti.

Saya ada terbaca satu komen di youtube mengenai video bertajuk puberphonia iaitu lelaki bersuara wanita bahawa orang yang mengalami puberphonia boleh melakukan terapi suara atau speech therapy tetapi saya tidak tahu cara untuk mendapatkan terapi tersebut di hospital kerajaan. :’)

Mohon sesiapa bagi pencerahan ataupun nasihat untuk saya.

P/S: Ada suatu hari tu, saya pernah menangis di depan mak ayah dan adik beradik saya disebabkan saya tak bersedia nak berhadapan dengan orang lain (Juga disebabkan oleh suara saya) dan itu mungkin kali pertama saya menangis di depan mak ayah dan adik beradik saya

dan saya merasa amat- amatlah lega selepas saya menangis di hadapan mereka kerana saya rasa segala beban, masalah dan rasa yang terbuku di dalam hati telah dilepaskan sedikit demi sedikit dan saya dapatkan kongsikannya bersama ahli keluarga saya.

Bagi saya, sekurang-kurangnya mereka tahu masalah yang dihadapi oleh saya kerana saya seorang yang jenis memendam perasaan dan masalah yang dihadapi oleh saya selama ini.

Saya rasa cerita saya setakat ini sahaja dan mungkin akan ada kesinambungannya ataupun tak, Hehehe. Akhir kata daripada saya, walau sesibuk mana pun kita, luangkanlah masa anda bersama dengan ahli keluarga anda.

Banyakkanlah bertanya khabar ahli keluarga anda, bertanyakan sekiranya mereka mempunyai masalah ataupun tidak kerana pertanyaan itu mungkin menjadi pertanyaan yang amat bermakna buat seseorang.

Walaupun sekuat-kuat mana seseorang itu memendam rasa dan masalah, mereka juga memerlukan sepasang telinga, seseorang yang amat bermakna untuk mendengar masalah dan rasa yang mereka sedang hadapi.

Terima kasih kepada semua pembaca-pembaca yang sudi membaca luahan saya, semoga hari anda sentiasa ceria dan indah selalu, InsyaAllah.

Sekian terima kasih.

Yang Benar,

– Hati Tisu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *