Balasan Pada “Isteri Yang Burnout Dengan Suami”

Ini adalah balasan kepada confession, (https://iiumc.com/isteri-burn-out-dengan-suami/).

Assalamualaikum, Buat Sya, saya memahami perasaan awak.

Mungkin saya boleh simpulkan ‘nasib’ kita dalam perkahwinan hampir sama. Bezanya, saya telah dikurniakan seorang anak selepas hampir tiga kahwin perkahwinan.

Jujur saya katakan, saya juga mengalami keadaan yang serupa seperti yang diceritakan oleh Sya.

Suami saya juga tidak mempunyai pekerjaan tetap, komitmen banyaknya saya yang selalu tanggung dan isu melengahkan solat.

Suami juga kerap menggunakan ‘aku kau’ ketika bergaduh dan mengeluarkan perkataan yang kasar seperti yang Sya katakan itu.

Berbanding saya yang lebih banyak mendiamkan diri ketika bergaduh sebelum ini, turut mengeluarkan kata-kata kasar selepas selalu diasak ketika bergaduh.

Jauh disudut hati, saya juga mengalami keadaan ‘kosong’ yang Sya katakan itu. Pernah saya juga berfikir untuk bercerai, tetapi saya masih memikirkan anak yang masih kecil.

Buat yang komen ‘Takkan takde tanya soal solat, latar belakang dan sebagainya sebelum berkahwin? Takkan takde tapis?’

Saya tidak pasti bagaimana permulaan kisah Sya, tapi perkenalan saya dengan suami adalah begini.

Suami saya datang dari keluarga yang agak islamik. Ayah, ibu, abang dan suami sendiri mempunyai latar belakang agama yang baik. Masing-masing belajar di negara timur tengah.

Malah, suami sendiri mempunyai degree dalam arabic.

Ketika diawal perkenalan saya mengharapkan suami dapat membimbing saya dan menjadi pelindung saya.

Tetapi, saya tidaklah mengimpikan suami yang serba serbi sempurna, tetapi cukuplah dapat menyediakan perkara asas dalam perkahwinan.

Saya juga tidak kisah untuk hidup bersusah payah bersama suami. Hatta, selepas mengetahui suami adalah anak yang kurang berjaya berbanding adik beradik lain pun, saya masih lagi berfikiran positif.

Jika diukur dari tahap pendidikan, saya mempunyai Phd manakala suami ada degree. Tetapi, saya tidak pernah merendahkan suami.

Berbulan lamanya suami tiada pekerjaan pun saya masih lagi bersabar dan menerima dengan positif. Sehingga anak lahir pun, suami masih tidak bekerja saya masih positif.

Cukup saya katakan saya tidak terdesak untuk berkahwin ketika itu walaupun kenalan lelaki saya boleh dikira dengan jari sahaja. Namun, jodoh yang datang saya terima dengan hati yang terbuka.

Mungkin ada yang berpendapat, kenapa saya masih lagi bertahan walaupun dalam keadaan begini? Selain faktor anak, saya selalu mengenangkan kebaikan yang suami lakukan kepada saya.

Dan, kebaikan keluarga mertua saya. Bagi saya mendapat keluarga mertua yang baik, ipar duai yang baik juga adalah rezeki. Saya bukan ingin tunjuk baik. Tetapi, tiada siapa yang berkahwin ingin bercerai.

Sebab itu saya masih lagi bertahan dan menganggap ini adalah ujian. Ujian ketika suami tiada apa-apa.

Saya selalu berdoa moga Allah melindungi hati saya dan sentiasa meneguhkan hati saya daripada perkara yang tidak baik. Semoga ikatan pernikahan saya dan suami diberkati oleh Allah SWT.

Jadi, buat Sya yang dikasihi, nasihat saya yang tidak seberapa, jika masih tersisa kebaikan yang suami Sya lakukan, pertahankan laa ikatan kalian.

Sebab apa yang berlaku bukanlah kehendak suami Sya mahupun suami saya.

Saya tahu, sebab suami saya juga struggle untuk memperbaiki kelemahan beliau walaupun kerap kali alpa dan leka. Saya akan terus berdoa untuk suami saya dan suami Sya moga dimurahkan rezeki.

Dan, saya juga berharap semua yang membaca ini juga dapat mendoakan suami saya dan suami Sya untuk dimurahkan rezeki.

Jika dihitung dengan jari tidak terkira banyaknya masalah dan dugaaan yang dihadapi, tetapi renungkan laa kebaikan dan perkara positif.

Pasti Sya akan jumpa sebab utama untuk bertahan dalam ikatan ini. Namun, jika tiada langsung kebaikan, leraikan laa apa yang tersimpul.

Salam sayang.

– Minah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *