Salam Kenal Orang Dulu-Dulu II

Untuk part I, (https://iiumc.com/salam-kenal-orang-dulu-dulu/).

Assalamualaikum dan hai. Acik Mah nak sambung. Saya baca semua komen. Macam2 kenangan yang pernah singgah dalam hidup kita kan… Terima kasih semua.

Saya pun peminat tegar IIUM Confession. Selalu sangat baca masalah keluarga, serabut jugak kan. Apa salahnya kisah2 santai pulak… nama pun “confession” . Nak jugak baca luahan yang mengusik jiwa.

Prinsip saya mudah bila scroll FB. Suka, baca. Tak suka, skip. Orang minta nasihat, saya bagi. Kalau tak tahu nak tulis apa, saya diam. Saya tak menghina sipenulis kerana hakikatnya saya tak kenal pun dia.

Ada yang kata saya nak berbangga bila banyak yang menyapa. Sebenarnya saya tak kata saya cantik. Sebabnya, tak ada yang menyapa saya kali kedua bila ditolak.

Kalau lah saya ni cantik sangat tentu ada yang bermati2an cuba untuk dapatkan saya. Betul tak…

Ada yang tanya motif cerita saya. Sebenarnya saya nak bagi tahu yang saya tidak menyambut salam sesiapa kalau hati tidak pasti.

Saya tidak memberi harapan. Takut sangat dikecewakan jika kita mengecewakan. Tu sahaja. Selebihnya terpulang pada persepsi pembaca.

Di sini saya nak kongsikan 2 cerita yang berlaku di kampus. Ada kaitan dengan salam kenal. Mohon jadikan iktibar.

Cerita Pertama.

Ingat tak sahabat saya yang “red spot” tu. Saya namakan Mawar.

Cantik sangat2. Berkulit putih . Mata sedikit sepet sebab berketurunan cina sebelah ibu.

Dia berada dalam kelasnya yang tersendiri dan agak bergaya berbanding saya, orang kampung sejati. Anak ahli perniagaan yang tak pandai meninggi diri. Pergi kuliah sentiasa dengan saya. Kami jalan kaki.

Tak sampai sebulan di IPTA, saya disapa Adam, bukan nama sebenar. Kenapa saya tak namakan dia huruf pertama, biar saya ceritakan.

Adam ni senior tahun 3 degree. Popular sebab dia ada geng yang naik “scrambler”. Satu kolej kediaman dengan saya. Satu malam tu, pukul sepuluh lebih saya sakit perut sangat2.

Adam uruskan ambulan uni untuk bawa saya ke hospital. Katanya takut apendix. Bahaya. Tidurlah saya di hospital satu malam. Salah makan barangkali. Esoknya saya balik dijemput ambulan uni jugak.

Adam ni baik. Dia jumpa saya tanya keadaan apa semua. Kemudian baru saya tahu yang Adam ni minat kat Mawar. Sebab tu lah buat baik dengan saya…

Mawar ni pulak macam tak berapa minat kat Adam tapi dia takut nak tolak sebab perwatakan Adam sedikit kasar. Muka biasa2 dan tinggi.

Bila Adam ajak jumpa, Mawar jumpa. Adam bagi makanan dia terima. Saya kata kalau tak suka jangan layan. Tak baik bagi harapan kat orang. Tapi tulah, saya pun tak faham.

Adam selalu risik kat saya kalau2 Mawar dah berpunya. Setahu saya memang tak ada.

Hubungan mereka berlarutan, nampak macam “couple” sehinggalah kami masuk semester kedua tahun pertama. Hakikatnya hanya Mawar yang tahu.

Satu hari saya dengar Udin, bukan nama sebenar minat kat Mawar. Dia nampak Mawar sewaktu kami jalan kaki melintasi blok dia pulang dari kuliah. Terus jatuh cinta katanya.

Disebabkan Udin ni dari kolej lain, jadi dia tak tahu pasal Adam.

Udin ni ada pakej lengkap “tall, dark and handsome”. Tentulah Mawar suka … senior tahun akhir diploma. Dengan Udin ni, memang melekat sungguh. Sentiasa bersama kecuali waktu ke kuliah sahaja.

Sejak itu Mawar selalu elak dari berjumpa Adam. Akhirnya Adam ditinggalkan begitu sahaja.

Bila saya masuk tahun dua, semester pertama, kelibat Adam tak kelihatan. Saya dapat tahu dia gagal dalam peperiksaan dan dibuang pihak uni.

Dengar cerita, Adam sangat kecewa ditinggalkan Mawar. Wallahualam… Walau pun Adam di tawarkan untuk mengulang tetapi dia tolak.

Satu malam, ada senior panggil Mawar ke bilik. Dia pergi sorang. Balik tu dia nangis2. Saya tanya, dia tak nak cerita. Cuma katanya kakak2 tu marah sebab main2kan Adam.

Mawar tak rasa bersalah pun. Tamat diploma, Udin terus dapat kerja. Dekat pulak tu dengan uni. Bila Udin beli kereta, saya pun dapatlah tumpang sama.

Pernah sekali Udin tinggalkan kereta dia pada Mawar, dua bulan tak silap sebab dia kena kursus.

Seronok campur bangga saya pergi kuliah naik kereta. Zaman tu, sangat sedikit pelajar yang ada kereta. Boleh kira dengan jari.

Tamat belajar, saya terputus hubungan dengan Mawar.

Pendekkan cerita, sepuluh tahun kemudian saya dapat kesan di mana Mawar berada. Saya hubungi dan pergi rumah dia. Dia kahwin dengan Udin. Anak 4 orang… rapat2. Rumah banglo (company punya) dan pakai Volvo baru. Wow!

Tak sia2, saya usik dia. Udin masih macam dulu, masih segak dan bergaya. Mawar dah bertudung dan masih “simple” … tetap cantik dan menarik. Tak macam ibu anak empat.

Moralnya… kalau rasa tak boleh nak “commit” dari awal, baik jangan di layan. Biarkan salam kenal tu berlalu begitu sahaja. Itu cara saya.

Cerita Kedua.

Masa ni saya dah grad. F di tahun akhir sebab dia degree 4 tahun. Saya diploma 3 tahun. So, saya grad dulu.

Seorang pelajar perempuan ditikam 12 kali oleh pelajar lelaki di dalam tandas fakulti. Lebih menyedehkan mangsa sempat keluar masuk beberapa tandas nak selamatkan diri.

Pada setiap tombol pintu ada kesan darah. Pelakunya kemudian menyerah diri. Kecoh jugaklah cerita ni. Keluar dalam surat khabar.

Kalau ada pembaca yang tahu kisah ini, tahulah anda IPTA mana saya berada ketika itu.

Kisah yang tidak dikhabarkan ialah “dendam seorang peminat” kerana cinta tak berbalas.

Kena reject satu hal. Mangsa jugak selalu mengejek2 dan memperlekeh2kan lelaki tersebut. Tak hensem lah… tak sedar dirilah… entah macam2 kata nista lagi yang dilemparkan.

Wallahualam…

Moral nya… kalau tak nak orang, jangan hina. Kita tak tahu sejauh mana orang sanggup bertindak disebabkan rasa hina ini.

Oklah. Balik kepada cerita saya sendiri. Sejak kenal F, kami sentiasa naik tren bersama. Sehinggalah satu hari saya nak balik ke kampus. Saya kena naik bas ekspress dalam sejam lebih untuk ke stesen keretapi.

Di dalam bas, saya disapa G yang duduk di sebelah. Yang ini betul2 dugaan bagi saya sebab “tall, dark and handsome”. Mujurlah saya ni setia orangnya… gittuu…

G ni budak UITM Shah Alam. Dia ajak saya duduk sekali dalam tren nak kenal2. Saya cakap siap2, tak boleh sebab dah janji dengan seseorang.

Turun bas, F dah tunggu saya. Kami jalan bersama mencari seat dalam tren. Saya nampak G tetapi tak tegur dah. Jaga hati F lah kononya…

Hubungan saya dengan F semakin baik. Kami selesa. F introvert. Saya extrovert. Kadang2 gaduh jugak… hahaha.

Ada pembaca yang tanya tentang cerita orang2 yang pernah bagi salam tu. Tahukah saya perkembangan mereka selepas salam ditolak. Ada yang saya tahu, ada yang tidak.

A … Pemain rugbi.

Masa hari konvokesyen, saya terserempak dengan dia di kolej saya. Tak tahulah kenapa dia ada di situ. Setahu saya dia dulu kolej kediaman yang lain.

Dengan jubah ditangan, tahulah saya dia baru selesai konvo pada hari tersebut. Sebelah dia seorang gadis manis berkebaya. Sempat dia memandang saya dan senyum. Mungkin isteri atau tunang dia.

B … Pengirim nota kecil.

Satu hari saya keluar dengan F. Tiba2 dia tanya …”berapa lama awak kenal B. Selalu naik motor dengan B ke..” Allahu. Berderau darah saya.

Saya pun cerita segalanya. Rupa2nya B adalah rakan sekelas F semasa di tingkatan 5 dulu. Kecil betul dunia ni…

Mereka terjumpa dan agaknya berceritalah tentang GF masing2. F nak “double check” cerita yang B sampaikan. Katanya lagi, cerita saya sama dengan cerita B. Kami pun tak jadi nak gaduh. Hahaha

Saya juga pernah terserempak dengan B sewaktu keluar berdua dengan F. Terkejut pulak saya kerana GF dia adalah roommate saya selama seminggu masa orientasi dulu.

Beberapa tahun lepas, saya nampak GF si B ni kat TV. Dah jadi pengarah dia rupanya. Saya pun “stalk” lah FB dia. Rupa2nya dia tak kahwin dengan B. Wallahualam…

C… Alamat dikotak rokok.

Ni saya dah tulis dalam confession pertama. Saya bagi alamat C pada kawan sebelah rumah. Diorang berkawan setahun jer.

D… Budak UKM.

Tak dapat dikesan. Moga dia pun bahagia.

E… Grup study saya.

Sehingga grad, dia masih single. Tak pernah tanya pulak kisah dia.

F.… Jumpa dalam tren.

Alhamdulillah dah jadi suami saya sepertimana yang pembaca teka….. dulu, kini dan selamanya…

Sambung sikit lagi yer…

Satu hari saya sekeluarga nak bercuti ke Sabah. Tahun 90an. Masa tu dalam flight MAS. F kata nak ke tandas.

Lama pulak saya rasa bila F kembali dan cakap “jumpa abang angkat awak tadi kat belakang. Dia kirim salam”.

Tahulah saya yang dia jumpa Adam… dah jadi cikgu dan menetap di Sabah kerana isterinya orang sana. Dalam flight tu dia sorang jer. F memang kenal Adam sebab mereka dulu sama blok asrama. Jauhnya Adam pergi membawa hati…

Saya berkahwin dengan F selepas 3 bulan dia dapat kerja. Struggle kan… Masing2 muda masa tu. Saya 22 dan F pula 24 tahun. Macam2 dugaan kami hadapi sebenarnya tapi kata orang “dah jodoh tak kemana”.

Alhamdulillah… badai dan ribut semua kami telah lalui, namun masih bersama. Ada anak2, ada menantu2 dan ada cucu2. Lengkap dah rasanya hidup saya. Allah izinkan kami ke tanah suci sebanyak 5 kali termasuk haji sekali.

Kami bukan kaya raya tetapi dengan perancangan kewangan yang betul, merasalah kami menjelajah dunia. Lebih 35 buah negara telah kami jejaki… maaflah kalau ada yang kata saya riak pulak… hehehe

Sekarang, saya hanya ingin menikmati sisa2 hidup ini bersama insan2 tersayang. Doakan jodoh kami hingga ke syurga… Aamiin YRA.

Terima kasih semua… moga anda juga bahagia. Salam sayang penuh ikhlas dari saya.

– Acik Mah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *