Assalamualaikum, aku Zara berumur 38 Tahun berasal dari Sarawak. Bekerja dalam bidang bukan profesional dan mempunyai beberapa perniagaan kecil.
Aku mempunyai satu kekeliruan pada pandangan aku sendiri tentang perkahwinan.
Aku dibesarkan tanpa ayah, dan adik beradik aku semuanya perempuan. Sehingga sekarang, kawan-kawan baik aku perempuan semuanya.
Masa aku kecik dulu disebabkan kami tak ada ayah atau abang maka kami selalu menjadi mangsa amarah pakcik-pakcik kami.
Pernah satu kejadian yang masih aku ingat, waktu tu majlis doa selamat untuk cousin aku yang berjaya masuk ke Kolej Matrikulasi di Labuan.
Seminggu sebelum majlis, aku juga mendapat surat tawaran menyambung pengajian di Perlis. Emak merasa bersyukur dan menyatakan hasratnya untuk menumpang majlis doa selamat cousin aku.
Nenek aku bersetuju dan emak mengeluarkan wang simpanan untuk disumbang pada majlis itu.
Namun amat menyedihkan bila hari majlis tersebut, nenek dan pakngah aku melarang kami adik beradik turut serta kerana malu dengan jiran dan kawan-kawan pejabat pakngah.
Kami pulang dan aku tengok riak wajah mak yang kesedihan.
Al maklum kami ni bukanlah orang senang, walau mak dah sumbang sedikit duit tapi nenek seperti tak endah.
Belum lagi bila pakcik-pakcik aku naik tangan pada adik-adik aku walaupun dorang tak ada buat salah, ada saja point yang pakcik aku cuba cari supaya boleh memukul adik-adik.
Kejadian seperti ini terlalu banyak terjadi pada kami adik beradik; bahkan aku sendiri pernah dipukul pakcik aku pada bulan puasa hanya sebab aku lambat menghantar kuih yang dibelinya dari emak.
Aku sangat kasihan pada mak sehingga aku tak mampu untuk tinggalkan dia dengan adik-adik aku di kampung. Tapi mak bekeras untuk aku pegi ke Perlis mengejar pendidikan.
Bertahun berlalu, aku berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Adik-adik aku juga dah berjaya menyambung pengajian dan aku mula bekerja.
Bebanan emak berkurangan dan aku merasa lega dapat memberi kebahagiaan pada mak walaupun tidak semewah mana.
Sekarang adik-adik aku semuanya sudah berumahtangga.
Dalam kebahagian adik-adik aku merasa sedih, emak semakin kesunyian. Aku memutuskan untuk pulang ke kampung dan tinggal bersama emak.
Aku tinggalkan kerja di Kuala Lumpur dan mula bekerja di sebuah syarikat dalam bidang retail di bandar Kuching.
Hampir setahun kini aku di kampung halaman dan aku berjaya membuka perniagaan secara kecil-kecilan untuk emak hilangkan rasa bosan bila aku keluar bekerja.
Alhamdulillah kami bahagia dengan kehidupan kami dan sesekali bila terkenang kisah-kisah lama aku dengan mak tak pernah tak menangis.
Tak terbaca kalau aku ceritakan semuanya macamana kami dilayan pakcik-pakcik dan makcik kami.
Apalah dosa mak kami menjadi ibu tunggal, sudah jodohnya tak berpanjangan, ditinggalkan suami tanpa diberi nafkah yang sewajarnya.
Dan apalah dosa-dosa kami menjadi tempat melepaskan amarah mereka padahal mereka darah daging kami sendiri yang sepatutnya melindungi kami anak beranak.
Pernah emak bertanya pada aku, bila aku nak berkahwin. Dia mintak aku untuk berumahtangga tanpa perlu memikirkan dia.
Tapi mak tak pernah tahu ada perkara lain yang membuatkan aku berfikir-fikir untuk berumahtangga.
Aku tak pasti samada apa yang aku lalui sebagai anak sulung mak menjadikan aku trauma untuk mendekati lelaki dan berkahwin.
Aku memang berniat kalau aku berumahtangga satu hari nanti aku masih akan tinggal dengan mak.
Aku takut bila aku ceritakan kekeliruan aku pada emak, dia akan menyalahkan diri.
Benar aku trauma dengan sikap lelaki yang seperti pakcik-pakcik dan ayah aku sendiri. Aku takut kalau aku berjumpa dengan lelaki bersikap seperti mereka.
Aku kekadang cuba berfikir bukan semua lelaki seperti itu. Bukan aku tak pernah bercinta tapi nasib aku bertemu dengan lelaki yang serupa dengan pakcik-pakcik dan ayah aku.
Sikap yang suka menyalahkan dan naik tangan pada perempuan,panas baran dan jenis suka berkasar.
Bukan aku lembik, bukan aku tak boleh ditegur kalau ada salah dan silap, aku boleh faham kalau ianya salah aku.
Tapi bayangkan kalau disebabkan hujan dan dia tak boleh keluar bekerja aku jugak yang dimarahi. Aku terkadang merasa kenapa aku ada magnet yang menarik lelaki seperti itu.
Puas aku berfikir dan tak lupa aku mintak pada Allah dijauhkan dengan lelaki seperti ini.
Bohong kalau tak ada rasa ingin berkahwin dalam diri. Ada ketika aku positifkan diri dan cuba membuka ruang untuk berkenalan dengan lelaki.
Kadang-kadang aku rasa diri aku ni tak betul pun ada. Takut pada benda yang belum terjadi. Aku menjadi bingung dengan diri sendiri.
Untung mak tak memaksa tapi jauh disudut hati nya aku tahu dia mahu melihat aku bahagia.
Sukar untuk aku jelaskan apa yang aku rasa. Aku cuma merasa takut dan kekadang apa yang aku rasa selalu terjadi pada aku.Mungkin aku tak pernah dilindungi lelaki dan terbiasa berdikari.
Entahlah aku buntu, yang aku dapat rasa aku perlu buang rasa ini tapi bagaimana caranya.
Apa yang aku alamai selama ini masih terpahat dalam ingatan dan hati, melihat adik-adik bahagia, melihat emak bahagia aku rasa sedih dengan apa yang mereka lalui…
Maaf penulisan ini agak kucar kacir aku tak biasa menulis tapi apa yang aku luahkan ikhlas dari diri. Terima Kasih sudi membaca dan memberi pandangan.
– Zara (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit