Assalammualaikum. Hi semua. Aku harap admin IIUM Confession akan approve luahan hati aku ni sebab aku tak tahu nak luahkan kepada siapa.
Aku di sini sekadar nak meluah apa yang aku hadapi selama hidup 27 tahun ni. Aku gagal dalam mencapai cita cita aku.
Aku tidak faham apa yang aku mahukan dalam hidup ni. Kurang keyakinan diri punca aku jadi begini. Aku terlalu memandang rendah kepada diri aku. Sudahnya aku jadi begini.
Aku tidak menyalahkan 100% masalah rumah tangga yang ibu dan ayah pernah lalui dahulu, tetapi masalah tersebut punca aku kurang bergaul, tidak minat belajar dan tidak mempunyai kawan kawan. Aku juga kerap bertukar sekolah kerana hubungan keruh ibu dan ayah dahulu.
Aku minat belajar semasa di sekolah tetapi disebabkan masalah keluarga aku kira mangsa di situ sehingga menyebabkan aku tidak terurus dan tidak berminat untuk belajar lagi, selain kerap ponteng sekolah dan salah memilih kawan.
Tapi selepas menginjak hampir usia senja ni perlahan lahan perasaan menyesal tu datang merapati aku. Terlalu lewat pada aku untuk sedar kekhilafan diri aku selama 27 tahun aku hidup di dunia ni.
Aku langsung tidak mencapai apa apa kemajuan dalam hidup. Sudahlah sekolah pun setakat SPM yang di sijil tertulis TIDAK HADIR untuk dua subjek.
Di situ pun aku masih tidak sedar yang segalanya bermula tatkala aku bakal menginjak usia 20 an. Kenapa perlu sekarang aku sedar semua tu?
Aku cukup tidak kuat untuk menghadapinya. Pun begitu di usia aku 23 aku berjaya melepasi interview sebagai seorang penyambut tetamu (kontraktor) yang ketika itu permulaan gaji RM1000 pun masih belum dikira gaji bersih.
Itu pun mereka sangat sangat terdesak mahukan penyambut tetamu dengan kadar segera kemasukan asalkan aku fasih berbahasa melayu dan inggeris.
Aku bersyukur dapat kerja di sebuah syarikat swasta yang agak dikenali di Malaysia walaupun bukan berstatus staff tetap.
Bekerja di sini sepatutnya aku sudah faham erti berdikari dan tidak mengharapkan sesiapa, sebaliknya aku masih mengharapkan ibu dan ayah aku untuk menghantar dan mengambil aku setiap hari di tempat kerja selama 5 tahun berturut turut.
Aku sangat mementingkan diri bukan? Padahal aku boleh menyimpan duit dan mengambil lesen kereta untuk kemudahan aku bergerak ke mana sahaja tanpa menyusahkan orang lain, tetapi aku tidak langsung memikirkan itu semua.
Acap kali aku ditanya rakan rakan di pejabat bila aku mahu mengambil lesen?
Sudah lama bekerja tetapi aku langsung tidak ambil pusing akan hal itu. Aku mengabaikan mereka dan menganggap yang mereka terlampau menyibuk akan hal kehidupan aku.
Ibu aku seorang yang panik jika aku mengatakan yang aku mahu mengambil lesen dan membawa kereta, dan itu buat aku semakin rasa bersalah dan takut untuk memegang stereng.
Ayah aku pula dia menyokong sahaja keputusan aku untuk ambil lesen kereta tetapi sehingga sekarang aku berumur 27 aku masih tidak ada lesen kereta dan tidak berani langsung memegang stereng kereta.
Sahabat aku yang tidak sampai dua tahun berkerja di pejabat bersama dengan aku, sudah pun berjaya memiliki kereta sendiri dan itu membuat aku rasa jauh kebelakang padahal aku yang terlebih lama bekerja di sini masih tidak mencapai apa apa kemajuan lagi.
Aku terlalu boros. Terlalu boros melaburkan wang kepada benda yang tidak perlu.
Dan sekarang setelah 5 tahun aku bekerja di syarikat tersebut aku mula terasa tidak adil sebagai kontrak staff, dan akhirnya aku menamatkan kerjaya aku di situ secara tiba tiba tanpa sebarang penyediaan,
Tetapi aku tidak menyesal kerana itu lah keputusan yang terbaik aku lakukan demi mental health aku tatkala berkerja di situ.
Sejujurnya aku tidak gembira bekerja di situ kerana suasana yang super toxic dan seperti dianak tirikan oleh staff tetap di situ.
Aku sebagai kontrak staff sering kecil hati dengan layanan oleh bos bos dan staff di sana. Mereka melayan kontrak staff seperti tiada perasaan dan aku tidak cukup kuat untuk terus kekal lama di sana. Notis dua minggu pemberhentian dari aku mengejutkan satu syarikat.
Mereka terlalu mengharapkan aku sebagai penyambut tetamu yang dikatakan sangat penting. Aku ingin mengambil cuti sakit pun sangatlah payah dan tidak tenteram kerana mereka akan tetap mengganggu aku di rumah.
Mahu ke tandas atau makan pun tidak sampai 5/10 minit aku kena cepat cepat berada di meja kerana akan ada mulut mulut puaka yang akan membebel di mana aku? Tidak buat kerja kah?
Padahal staff mereka boleh keluar masuk ke bandar untuk makan tengah hari selama dua jam. Aku pulak tiada pengganti jika mahu cuti. Mereka akan bermasam muka jika aku mengatakan aku mahu cuti untuk satu hari.
Bayangkan jika tiga hari. Panggilan yang aku dapat dari luar rata rata mereka tidak mahu menjawab sebagai contoh jika ada supplier mahu tanya tentang invoice yang masih tidak dibayar beberapa bulan berturut turut,
Dan jika pihak kewangan tidak menjawab panggilan supplier tersebut aku pula sebagai kontrak staff yang tidak menahu apa apa dimarahi oleh supplier2 tersebut.
Sudahnya aku pula yang badmood. Aku tidak datang dari keluarga yang senang dan sebagai seorang anak perempuan sulung yang mempunyai 4 lagi adik di bawah yang masih lagi bersekolah,
Aku merasakan yang aku tidak cukup bagus dan tidak membanggakan langsung ibu dan ayahku.
Kekesalan itu semakin menggunung bila melihat sepupu yang rata rata sudah berkerjaya atau mempunyai kerja yang stabil. Sedangkan aku masih di sini tidak berbuat apa apa.
Aku selalu mengelak dari menghadiri pertemuan diantara keluarga belah ayahku kerana aku merasakan diri aku yang jauh ketinggalan dan tak punya apa apa.
Keyakinan diri aku merudum teruk sehingga tak mahu berjumpa dengan sesiapa. Aku ingin menyambung pelajaran tetapi aku tidak tahu mahu mula dari mana.
Sekurangnya2 jika aku punya diploma aku sudah cukup bangga akan diri aku. Aku tidak tahu hendak meluah kepada siapa.
Masing masing pun punya masalah yang lebih berat untuk difikirkan. Jadi aku menggunakan medium ini untuk meluahkan segalanya.
Aku sebetul betulnya inginkan nasihat dari kalian semua. Aku mahukan kata kata semangat yang akan buat aku lebih bersemangat dan tidak mudah menyerah. Terima kasih jika sudi membaca luahan diri yang sangat tidak berguna ni. Assalammualaikum
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit