Rezeki Kerjaya Dengan CGPA Yang Rendah

Salam semua. Nama saya Anis. Saya nak cerita tentang pengalaman saya dalam mencari pekerjaan dengan keputusan CGPA yang rendah.

Untuk makluman semua, selepas tamat SPM tahun 1999, saya sambung pengajian peringkat Diploma di UITM tahun 2000.

Tiada dalam pengetahuan saya ketika itu, Bahasa yang digunakan di UITM adalah Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Saya jadi agak blur kerana saya tidaklah pandai Bahasa inggeris. Sederhana sahaja.

Kebanyakan masa ketika kuliah, saya jadi antara faham dan tidak faham apa yang diajarkan oleh Pensyarah. Jadi keputusan saya ketika quiz dan final exam agak rendah.

Alhamdulillah saya berjaya tamatkan pengajian sehingga semester 6 tetapi dengan CGPA yang rendah iaitu bawah 2.30.

Selepas tamat pengajian, saya berusaha mencari pekerjaan selama setahun.

Sehinggalah pada satu hari ada pengambilan jawatan kerani untuk lepasan SPM secara kontrak 6 bulan di sebuah Organisasi Kewangan yang terkemuka di Malaysia.

Saya pun hantar resume, lama juga menunggu, hampir 10 bulan juga untuk dipanggil temuduga.

Ketika temuduga, ada 2 orang panel, seorang lelaki dan seorang wanita.

Memandangkan jawatan Kerani yang saya mohon ini adalah untuk pemegang SPM, jadi panel ada bertanya soalan selepas SPM saya buat apa kerana pada ketika itu umur saya adalah 24 tahun.

Bila saya cerita saya sambung pengajian Diploma di UITM, soalan seterusnya yang ditanya tentulah tentang pengajian saya tersebut.

Satu soalan yang ditanya oleh panel Wanita itu sehingga kini masih saya ingat.

Soalannya adalah, berapa CGPA saya. Saya jawab dengan perasaan yang agak malu tentang keputusan CGPA saya.

Bila panel wanita dengar sahaja jawapan saya, ayat yang keluar dari mulut beliau adalah “oh, ni tak kemana ni”.

Saya yang dengar sahaja ayat tersebut terus rasa malu dan down. Saya rasa dah tak boleh nak angkat muka depan panel tersebut. Rasa muka begitu kebas.

Dalam hati saya dah berkata, yang saya tiada harapan untuk bekerja di Organisasi tersebut.

Selang beberapa minggu, saya terima surat berlogokan Organisasi tersebut, kandungan surat tersebut adalah saya disenaraikan sebagai calon simpanan,

Jika saya tidak menerima apa-apa panggilan dalam tempoh 6 bulan, bermakna calon simpanan tersebut akan luput.

Selepas lebih kurang 4 bulan menunggu, saya terima satu panggilan dari Organisasi tersebut untuk melapor diri di HQ sebagai Kerani Kontrak.

Saya rasa begitu gembira. Akhirnya saya dipanggil melapor diri.

Saya pun pergi seperti tarikh dan masa dinyatakan.

Diringkaskan cerita, Saya bertugas sebagai kerani kontrak selama 3 tahun dengan kontrak diperbaharui setiap 6 bulan.

Setelah 3 tahun bertugas sebagai Kerani kontrak, Saya pun ambil peluang untuk mohon jawatan tetap di Organisasi tersebut dengan sijil Diploma yang dimiliki.

Alhamdulillah, saya berjaya diatas permohonan tersebut dan memegang jawatan tetap dengan Diploma yang dimiliki.

Pada waktu ini, Pengurusan tidak lagi melihat CGPA saya tetapi melihat kepada pengalaman bekerja saya di Organisasi ini.

Selepas 10 tahun, saya mohon pula kenaikan pangkat untuk jawatan seterusnya dan Alhamdulillah dengan sekali percubaan saya berjaya dengan kenaikan pangkat ke satu tahap lagi.

Apa yang nak sampaikan di sini, rezeki kita Allah yang beri. Bukan atas manusia. Jangan jadikan kata-kata orang sebagai satu halangan. Kita perlu berusaha dan bertawakal kepada Allah. Sekian.

– Anis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *