Assalamualaikum warga IIUM Confession. Aku belum pernah menulis apa apa di ruangan ini. Ketika ini aku dalam perjalanan pulang ke kampung halaman aku di pantai timur.
Aku perkenalkan diri ku Kekure. Kelakar kan nama tu.. tapi sekadar nama samaran sahaja.
Saat ni aku terimbau kenangan mengusik jiwa ketika aku bersekolah rendah bersama kawan kawan baikku. Sebab itu aku rasa nak berkongsi luahan di sini.
Maaf andai perkongsian ini biasa biasa shj. Aku menaip guna handphone ketika suamiku sedang drive.
Aku mula berpindah ke sebuah taman di daerah itu sekitar tahun 1995. Ketika itu aku darjah 5.
Hari pertama bersekolah, aku didatangi rakan dari meja sebelah untuk berkenalan, kemudian tak henti henti rakan lain turut datang bertanya nama, rumah dan macam macam lagi.
Aku yang kekok pada mulanya tapi semakin seronok sebab ramai kawan ingin mendekati.
Bila pulang ke rumah, kawan kawan tadi ajak berjalan kaki sama sama pulang setelah mereka tahu kedudukan rumah aku.
“Oohh.. rumah kau yang kedua dari tepi tu ye, aku nampak dah kau baru pindah”, kata mereka. Aku iya kan sahaja.
Semakin hari aku semakin seronok. Sebab mereka semua di taman yang sama dan juga di kelas sama aku. Belajar bersama, pulang bersama dan main main waktu petang juga bersama.
Aku namakan kawan kawanku juga dengan gelaran Zirafah, Gorila, Semut, dan Harimau.
Gelaran ini berdasarkan sifat dan perangai diorang jugak. Haha
Kami semua merupakan pengawas di sekolah. Dari segi akademik, kami semua sering menjadi top scorer dalam subjek masing masing.
Masa ni UPSR terakhir untuk 4 subjek sahaja iaitu BM Pemahaman, BM Penulisan, BI dan Matematik. Mudahnye subjek dulu dulu kan.
Si gorila tu, dia handal betul dlm English dan Math. Si Semut tu memandangkan dia anak ustaz, maka dia mahir dalam subjek agama.
Rimau tu pulak paling power dalam BI dan wakil sekolah untuk story telling. Zirafah boleh kata bagus serba serbi.
Aku pulak hanya power dalam BM Penulisan sehingga menjadi anak murid kesayangan guru yang ajar Penulisan ketika itu. Hehe.
Tapi pendek kata, kami berlima memang kesayangan guru guru sekolah tu ketika itu.. tahun 1996. Tahun itu kami semua dapat keputusan cemerlang UPSR 4A. Alhamdulillah.
Itu kenangan paling best semasa di sekolah.
Waktu petang, kami sama sama bermain di padang taman, ramai lagi geng geng seangkatan kami yang merupakan budak budak di taman itu juga.
Permainan paling best masa tu ialah main Ronders. Aku tak tau la macamana eja dia, tapi main nya macam kriket tu. Perghh kalau si zirafah tu pukul, memang naya la orang nak cari bola dia dalam semak 7 lapis. Haha
Bila bulan ramadhan, kawan yang hujung rumahnya akan datang satu demi satu rumah mengumpul geng sehingga ke rumah aku, dan kami sama sama menuju ke surau untuk berterawih sama sama.
Mak mak kami pula petang tu buatkan macam macam juadah untuk di hantar moreh di surau tu. Nanti time moreh, macam2 makanan kami melantak lagi. Memang rasa lapar saja sebab gembira sangat dgn kawan2. Lepastu sama sama kemas untuk balik.
Kami juga ada wakil sekolah, ada yang wakil hafazan, tilawah dan tulisan khat.
Selain itu, kami juga berlatih untuk bermain alat muzik bila ada proram sekolah. Seronok bila dapat pinjam alatan tersebut untuk berlatih di rumah. Bingit habis rumah masing masing sampai ke rumah jiran.
Sekejap rumah si gorila berbunyi rekordernya. Sekejap dengar pulak rumah zirafah bunyi melodionnya. Last last mak aku cakap korang pergi lah keluar main sama sama ha. Senang bising serentak katanya.
Dipendekkan cerita, keluarga aku ni juga ada masalah. Biasalah ketika anak anak membesar ni macam2 onar dibuatnya. Kebetulan ayah aku masa tu bekerja di daerah lain, maka kami pun berpindah ikut ayah.
Sedihnya aku sebab berpisah dengan kawan kawan baik. Masa budak, aku tak fikir mereka tahu masalah keluarga aku. Tapi bila dah dewasa ni, aku tahu sebenarnya mereka tahu.
Sahabatku, aku tahu kamu semua tahu apa yang berlaku dulu. Tapi kamu terlalu baik untuk menjaga aib kawan. Maka tak seorang pun dari kamu bertanyakan hal itu kepadaku.
Walaupun sampai sekarang kita masih berhubungan, kamu semua tetap sama seperti dulu.
Dari kami berlima ini, ada yang menjadi akauntan, doktor dan selebihnya guru. Apa yang aku ingin luahkan,
Aku rindu kamu. Aku rindu sahabat kecilku.
Aku rindu sangat. Semuanya sudah jauh tinggal di negeri berbeza. Cuma seorang sahaja masih setia di negeri itu.
Kamu semua kawan terbaik aku ada. Keluarga kamu, mak ayah kamu, adik beradik kamu semuanya saling mengenali.
Mak ayahku juga kenal setiap keluarga kawan kawan ku ini dan begitulah sebaliknya.
Kini tinggal kenangan. Taman itu juga sudah ditinggalkan. Kosong. Rumah rumah di situ dimakan semak, usang. Pokok pokok kian meninggi menutupi rumah rumah. Pagar tinggi yang melingkari taman itu juga dipanjat dek semak.
Aku hanya mampu melihat sayu setiap kali lalu di situ. Semuanya kian kelam terkambus bersama ketawa dan jerit anak2 yang bermain di situ.
Namun, kenangan manis ini sentiasa tersemat utuh di sanubari.
Aku sudah lama tidak bertemu mereka yang semuanya sudah berumahtangga dan sibuk dengan kerjaya masing masing.
Namun, andai suatu hari nanti ada antara kita yang pergi dahulu. Aku harap kita akan bertemu lagi di syurga bersama sama macam kita kecil dulu. Aku masih belum puas bersama kalian.
Aku doakan kita semua dikurniakan kesihatan, rezeki dan umur yang berkat, selamat di dunia dan akhirat. Juga doa ini buat semua pembaca setia IIUM Confession.
Hati ku berkocak riang sebab kini aku dah semakin menghampiri tanah tumpah darahku.. Semoga kita semua selamat dalam perjalanan walau di mana kita berada.
Sekian.
Sahabat dunia akhiratmu,
– Kekure (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit