Assalamualaikum pembaca IIUM Confession, Terima kasih kepada admin IIUM confession jika sekali lagi artikel Si Seri terpilih untuk di pamerkan di ruangan confession.
Tajuk tips kali ini sangat dekat di hati Seri kerana seorang Si Seri baru sahaja mengalami panic attack ketika berada dalam rawatan di hospital baru baru ini (Seri dimasukkan ke hospital kerana masalah lain, bukan kerana anxiety).
Semoga dengan perkongsian ini, dapat membantu pasangan/orang terdekat untuk lebih memahami mengenai apa yang perlu dilakukan ketika penghidap anxiety mengalami serangan panik/panic attack.
Seri dah lama tak menghadapi serangan panik secara tiba tiba.
Kebiasaan Seri, dapat mengandaikan panic attack yang akan berlaku dan dapat menelan kelemasan sendiri, kebiasaan panic attack seri tidak berlanjutan dan ringan sahaja kerana Seri mempunyai kawalan ke atas fikiran separa sedar.
Namun panic attack yang menyerang Seri di hospital tempoh hari datang tanpa dijangka, dengan keadaan Seri yang terkejut oleh penemuan doktor ketika itu (waktu ini doktor mencari cari punca kesakitan Si Seri).
Dalam keadaan lemah berbaring di unit ER, panic attack nyaris menguasai diri seorang Seri.
Ingin Seri kongsikan apa tips yang boleh di lakukan jika menghadapi serangan panic attack,
Untuk Caregiver/ pasangan/ orang terdekat :
1. Sebagai peneman yang memberikan moral support.
Jika di hospital ,minta untuk bersama pasangan anda jika anda mengetahui beliau mengalami serangan panik.
Orang yang mengalami serangan panik khususnya secara tiba tiba dan terkejut sangat memerlukan seorang peneman buat penenang dan buat dia merasakan bahawa dia masih berada di bumi yang nyata.
2. Sentuhan.
Sentuh dan picit lembut tapak tangan atau tapak kaki seseorang yang sedang mengalami serangan panik.
Sentuhan adalah stimulasi yang dapat mengalihkan perhatian minda separa sedar mangsa serangan panik dan sekaligus mengurangkan rasa lemas dan ketakutan.
3. Berbual.
Sambil memicit anggota badan pesakit, cuba berbual dengan mereka, biarkan pesakit meluahkan semua rasa kelemasan dan kesakitan kepada kita.
Elakkan bualkan perkara yang boleh menyebabkan pesakit berfikir dengan lebih cemas.
4. Ingatkan tentang teknik pernafasan dalam.
Ketika serangan panik, tidak ramai pesakit dapat mengikut semua step untuk pernafasan secara betul, apa yang penting pesakit dapat menghirup nafas sedalam dalamnya. J
ika pesakit dapat bertahan lebih lama ketika menghirup nafas dalam, daripada sebelumnya, ini tanda bahawa serangan panik semakin menghilang.
5. Rendam kaki pesakit dengan ais @ kunyah ais.
Serangan panik akan berakhir apabila badan terganggu dengan rangsangan lain seperti terkejut, dan rasa ekstrem yang lain.
Oleh itu amat disaran untuk memberikan ais kepada pesakit samada merendam kaki pesakit ke dalam ais atau menyarankan pesakit mengunyah ais.
6. Perhatikan keadaaan pesakit.
Serangan panik yang teruk akan mengakibatkan pesakit muntah, ketika pesakit muntah jangan disuruh makan ais hihi… biarkan pesakit muntah dahulu. Muntah sedikit sebanyak akan mengurangkan rasa sesak di dada.
Kemudian boleh hulurkan air sejuk (jikalau pesakit ok, jika tidak beri pesakit air suam untuk diminum).
Kemudian baru mulakan dengan picitan halus dan lembut di badan pesakit khususnya di tapak kaki dan telapak tangan.
Ingatkan pesakit untuk terus bernafas sedalam dalamnya, jika boleh tolong kirakan, apa sahaja yang dapat mengalih perhatian pesakit ketika serangan amat dialukan (fokus kepada suara kiraan juga dapat mengubah perhatian fikiran separa sedar)
Pujuk dan katakan semua ini akan berlalu, terus stimulate deria rasa pesakit dengan picitan, boleh juga beri pesakit genggam sikat di bahagian yang tajam menghala ke atas, genggam lah seeratnya dan ulang menggenggam sehingga rasa lebih baik.
Sejujurnya ketika Si seri diserang panik tempoh hari, dari posisi berbaring di katil,
Seri terus bangun duduk, dan minta nurse tutup sedikit tirai katil yang Seri gunakan kerana Seri mahu longgarkan/ membuka tudung untuk mendapatkan udara yang lebih bagi membuang rasa menyesak dada.
Seterusnya Seri mengakui kepada nurse bahawa Seri mempunyai masalah anxiety dan mahu di temani suami.
Walau suami tak dapat menemani Seri ketika itu, seorang nurse berada dekat dengan Seri, sentuhan tangan beliau memberikan Seri rasa sedikit lega dan dapat berpijakk di Bumi yang nyata.
Ada penghidap anxiety yang membela kucing, dan usapan tangan di badan kucing dapat mengurangkan rasa keresahan tersebut. Bereksperimen lah dengan stimulasi deria anda.
Ada yang tenang mendengar white noise, ada yang tenang mendengar bunyi piano, deruan ombak atau hujan.
Carilah apa sahaja stimulasi yang dapat mengajar minda separa sedar anda terus tenang diwaktu yang menyesakkan. Dan yang paling penting , jangan ditinggalkan terapi jiwa kita, Al-Ma’thurat.
Salam Sayang,
– Si Seri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit