Aku Anak Ketiga

Aku Indra, Anak pertama perempuan dalam keluarga, dan anak ketiga selepas Bangah aku.

Aku baca luahan seseorang yang aku tak berapa ingat tajuknya, tapi yang aku faham si penulis meluahkan isi hatinya yang dilayan bagaikan kaca dalam keluarga sendiri.

Perkara yang sama aku perasan dalam luahan tu; dia anak ketiga. Aku secara peribadi memahami keadaan dia kerana aku mengalami situasi yang sama.

Aku dapat rasakan emosi yang tersimpan dalam luahan tu. Aku sedih baca sebab aku sangkakan hanya aku yang hadap keadaan macam tu dalam dunia ni.

Sejak di sekolah, aku dapat rasakan layanan keluarga aku ada turun naiknya sebab aku pilih duduk di asrama dan di sekolah agama. Ayah aku paling membangkang idea aku nak belajar di sekolah agama.

Aku faham sebab beliau ada trauma dengan ustaz-ustaz di taman perumahan aku. Sebab tu beliau susah nak nampak muka di surau setiap kali ada ceramah agama.

Pencapaian aku setakat aku hidup alhamdulillah, tidak mengecewakan. Sekurang-kurangnya untuk diri aku, aku masih boleh berbangga.

Dari UPKK sampai aku masuk universiti, hampir setiap waktu aku sambut kejayaan aku sendiri. Ya, Ibu aku ada meraikan. Tapi itu sampai SPM. Aku tetap bersyukur.

Aku dilabel sebagai kepala batu oleh Ayah aku sebab aku sejenis yang pantang dilarang. Aku akui aku degil. Aku jenis yang agak memberontak.

Tapi jauh di sudut hati, aku terlalu sensitif. Dengan kehidupan aku yang susah untuk dapat kawan dari sekolah rendah, sehingga kini aku lebih memilih menyendiri dan hanya ada bakal suami di sisi yang boleh aku kongsi segala isi hati.

Di sekolah rendah, aku dilabel oleh guru sebagai bodoh dan lembap. Jadi aku simpan benda tu sampai ke sudah.

Bila keluarga sendiri label aku benda yang sama, aku di awalnya tak ambil peduli. Sudahnya aku semakin berjauh hati.

Masuk sekolah menengah, ya mereka masih melawat aku setiap minggu. Cuma di kebanyakan waktu, aku tak bercerita tentang sakit hati aku dengan kawan-kawan yang mengejek dan membuli aku.

Aku tak nak dikatakan lembik. Aku bertahan. Lama-kelamaan, aku bina kekebalan dalam diri.

Segala kesedihan aku simpan. Balik setiap bulan ke rumah, aku berlagak macam tak ada apa-apa. Aku luahkan semuanya dalam diari.

Setiap tahun, akan ada satu diari bersama. Sekarang aku bakar diari tu sebab aku tak nak baca kepahitan yang pernah aku alami.

Lepas aku keluar dari PLKN, aku uruskan semua pendaftaran masuk U sendiri. Barang-barang hampir semuanya aku beli pakai duit simpanan.

Waktu tu, Ayah aku baru berhenti kerja, jadi aku tak nak bebankan diorang dengan urusan universiti.

Aku daftar jurusan bahasa, sedangkan aku pelajar sains tulen. Tapi waktu tu aku dilabel sebagai orang kuat berangan dan jurusan aku tidak membawa aku ke mana-mana. Itu kata Bangah aku yang masih aku simpan sampai sekarang.

Waktu mereka tahu yang aku tak terkesan dengan kata-kata tu, perlahan-lahan aku dapat rasakan ada jarak antara aku dan keluarga.

Aku nekad untuk belajar. Lima tahun di kampus bukan mudah. Tahun pertama aku berkenalan dengan seseorang, niat nak kahwin. Ibu aku syaratkan supaya habis belajar baru kahwin. Aku iyakan saja.

Ikutkan kata beliau. Aku minta nak jumpa, Ibu aku tak bagi. Sedangkan Adik aku berpakwa sampai dibawa datang ke rumah, sikit pun orang tua aku tak kisah. Aku telan benda tu.

Tahun kedua, ada lelaki yang datang jumpa Ayah, dan Ayah aku bagi sebab nampak dia bersungguh.

Aku uruskan perkahwinan tu dan ya, setakat kahwin kat pejabat agama, jiran keliling rumah berkata sampai Ibu aku bawak modal benda tu kalau berselisih faham. Aku telan benda tu.

Perkahwinan aku dengan lelaki tu tak lama, tiga tahun bertahan. Tahun terakhir aku belajar, aku hampir dibuang universiti, aku diceraikan dan dia jumpa isteri baru. Aku bahagia buat dia.

Tapi aku perasan, sejak aku bercerai, jarak antara aku dan keluarga semakin jauh.

Kalau aku nak berkenalan dengan lelaki, Ibu aku akan ulang status aku sebagai janda.

Dan aku pula, sepuluh kali aku kenal, sepuluh kali aku tak bernasib baik. Aku tak sedih bahagia tu. Cuma, aku terkilan dan tertanya sendiri, kenapa aku tidak dilayan seperti Adik aku?

Mungkin sebab dia ikut saja kata-kata atau keputusan yang dikeluarkan oleh keluarga aku, mungkin sebab itu… Tapi aku juga sedar akan kapasiti dan kekuatan diri aku. Aku bukan saja-saja nak menentang.

Mereka juga tidak meraikan pandangan aku walaupun mereka sedar (seperti yang mereka kata) mereka kurang berilmu.

Lepas aku bercerai, di awalnya mereka membantu. Tapi lepas aku habis iddah, mereka berubah seperti di awalnya. Sampaikan pernah satu ketika aku dilabel cemburu dengan Adik sendiri sebab aku tak dapat macam mana dia dapat.

Jauh di lubuk hati, aku tertanya, di mana kurang aku. Sedangkan setiap kali mereka memarahi aku, walaupun di khalayak ramai aku tetap akan diam.

Adik aku pernah bercinta dengan orang utara, dan ya betapa supportivenya Ibu Ayah aku sampaikan jalinan ukhuwwah terbina antara orang tua.

Aku ingat masa orang tua lelaki tu datang Melaka, aku menyambut mereka mesra (ya, aku orangnya mesra di awal perkenalan, tapi aku jenis tak suka nak bercerita secara peribadi. Cukup sekadar batas menjadi tamu).

Orang tua pakwe Adik aku puji aku. Lelaki tu gatal mulut bagitahu Adik aku pasal tu. Adik aku marah dan mengadu kepada Ibu. Ibu aku menyalahkan aku sebab aku punca mereka berdua bergaduh. Sedangkan aku? Aku tak tahu pucuk pangkal cerita.

Tiba-tiba saja jadi topik perbualan. Dan Ibu aku sebut ayat ni, “Kau kena ingat, kau tu janda. Jaga sikit pergaulan”. Remuk? Sudah tentu.

Aku semakin merendah diri.

Sedangkan aku biasanya keluar sendiri. Kawan yang ada memahami keadaan aku yang tak suka melepak. Bila Ibu aku sebut status aku setiap kali ada selisih faham, aku jadi sedih sendiri. Semakin aku takut nak kenal orang.

Aku putuskan untuk duduk di ibukota, biarlah jauh dari keluarga dan berdikari. Lagi pula, aku dah terbiasa jauh dari remaja. Ibu aku pernah cuba nak suruh aku kerja dekat dengan rumah.

Tapi, biarlah aku jauh. Jauh bau bunga dekat bau tahi.

Adik aku ni kerja kerajaan, jadi kiranya dialah kebanggaan keluarga. Memang aku nampak benda tu semakin ketara. Aku tak nak kerja kerajaan sebab peribadi. Senyap-senyap aku atur strategi, aku beli rumah dan beli kereta.

Aku ingat masa PKP bulan Jun 2021 ni, Ayah aku suruh aku tolak balik kereta dan rumah yang aku beli. Alasannya aku boleh jaga rumahnya di Selangor.

Kereta pula boleh beli dengan Abang aku sementelah dia ada masalah kewangan. Jadi Ayah aku berharap aku dapat tolong Abang aku.

Bukan aku tak nak tolong. Aku ada perancangan sendiri dan Abang aku mungkin perlukan kereta tu di masa hadapan.

Aku tetap dengan pendirian aku; aku takkan jual mana-mana harta yang aku dah beli di awalnya. Aku keras hati, ya. Sebab banyak impian aku dicantas dari dulu. Kali ni aku takkan biarkan ia dicantas lagi.

Tahun ni patutnya aku boleh berkahwin dengan lelaki yang aku kenal sekarang. Tapi Ayah aku enggan jadi wali. Sudahlah masa umrah, beliau tukar keputusan tak nak jadi mahram.

Aku menangis merayu minta beliau jadi mahram. Tapi beliau buat tak tahu. Aku sedih, aku simpan benda tu.

Bila aku nak kahwin, Ayah aku dah pesan, nak kahwin boleh, jangan balik kampung lagi. Tapi aku yakin, kalau yang nak kahwin tu Adik aku, mesti Ibu Ayah aku bagi kan.

Benda ni aku simpan. Teman lelaki aku tahu dan kitorang memilih untuk bersabar. Tapi di kebanyakan waktu, aku memilih untuk termenung dan menyendiri.

Sakit pening aku di ibukota, aku nekad takkan ceritakan dengan orangtua aku. Aku pindah rumah, angkut barang sendiri, aku nekad aku akan uruskan semuanya sendiri.

Aku tahu ada yang pernah rasa. Aku harap korang kuat.

Aku rasakan ada yang tak pernah alami dan mungkin terkejut baca luahan ni, tapi tolong jangan adili aku tanpa merasa jad seperti aku.

Aku harap, satu masa biarlah aku dilupakan dan aku akan kuat untuk diri aku sendiri.

– Indra, si wanita yang berkelana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *