Bukan Mudah Untuk Putuskan Hubungan

Assalamualaikum semua. Nama aku Eda. Semestinya itu bukan nama sebenar aku. Aku tak bijak nak mengarang ayat, jadi aku akan terus ke isi yang utama.

Sebenarnya aku cuba untuk putuskan hubungan dengan teman lelaki aku. Pasti ada yang tertanya apa sebabnya. Jawapannya sebab aku serabut. Aku rasa macam nak tinggalkan semua benda dan fokus pada diri sendiri.

Untuk pengetahuan semua, teman lelaki aku punya kerjaya yang stabil dan baik. Aku mengaku kadang-kadang aku sakit hati juga dengan dia. Mungkin sebab kami tidak sekufu pemikiran.

Aku akui, boleh jadi sebab kami tak sefahaman juga. Adat bercinta, hubungan kami ada pasang surut. Tapi kami tak pernah bergaduh.

Cuma dalam situasi aku, kadang-kadang aku terfikir betul ke aku nak habiskan sisa hidup aku dengan lelaki yang berbeza pemikirannya daripada aku. Aku cuba minta untuk berpisah secara baik tetapi teman lelaki aku tak setuju.

Berbalik kepada topik tentang kenapa aku serabut. Puncanya sebab aku telah berhenti kerja. Beberapa bulan yang lepas aku putuskan untuk berhenti kerja dan bercadang untuk dapatkan pekerjaan yang setaraf dengan ijazah aku.

Untuk pengetahuan semua, aku tak pandang rendah pada mana-mana kerja yang bertaraf SPM. Aku sendiri selepas habis belajar terus bekerja sebagai operator.

Hampir tiga tahun aku bekerja baru aku sedar yang aku tak boleh terus berada dalam zon selesa. Mungkin sebab aku terlalu selesa buat aku lupa yang aku dah sia-siakan ijazah aku.

Sebenarnya bukan aku tak cuba untuk naik ke atas, tapi selagi aku tak rapat dengan pihak atas, kaki kipas yang akan sentiasa menang.

Sesuatu terjadi di tempat kerja aku, kemudian kes covid yang meningkat dan majikan pula pentingkan diri buat aku rasa aku nak resign. Jadi aku resign.

Sebelum resign, aku dah ada simpanan untuk aku gunakan dalam tempoh aku menganggur. Sepanjang tempoh aku menganggur, aku cuba buat kerja online. Aku cuba sertai mana-mana pertandingan yang hadiahnya lumayan.

Contohnya contest design logo dan poster. Bagi aku, kalau aku menang, alhamdulillah duit yang aku dapat tu boleh aku simpan.

Jadi sepanjang tempoh tu, aku asyik fokuskan diri aku sampai aku rasa aku dah tak nampak angan-angan aku nak berkahwin dengan teman lelaki aku.

Sebenarnya usia aku pun sudah 26 tahun ke atas dan teman lelaki aku sudah hampir ke 30 tahun. Mesti ada yang kata aku tak tahu nak bersyukur. Tapi aku seolah-olah sudah hilang perasaan untuk dia.

Ditambah pula dengan lokasi dia yang bekerja di negeri lain, kami memang sudah lama tak berjumpa, aku rasa lebih selesa berjauhan.

Aku juga nak tegaskan yang aku tak ada skandal lain. Aku bukan seorang yang aktif di media sosial. Whatsapp pun aku jarang online.

Aku cuma rasa aku tak nak bazirkan masa dia untuk tunggu aku sedangkan aku masih lagi terumbang ambing memikirkan masa depan aku. Aku nak cari kerja tapi tak boleh jauh dari mak ayah sebab mak ayah tinggal berdua sahaja.

Urusan rumah memang kebanyakannya aku yang uruskan. Adik-beradik aku semua dah berkahwin dan tinggal jauh daripada family. Jadi tanggungjawab untuk mak ayah memang akulah yang perlu buat.

Kadang-kadang aku rasa aku pun nak terbang bebas macam adik beradik aku yang lain. Tinggal di negeri lain.

Aku akui peluang untuk dapatkan kerja lagi meluas di negeri lain tapi bila aku tengok muka mak aku yang rasa sedih bila semua anak duduk berjauhan, aku rasa kesian.

Aku pun rasa tak tergamak nak duduk jauh sebab kalau mak aku sakit, aku yang akan bawa ke klinik. Usia mak ayah aku pun dah hampir 65 tahun.

Sejujurnya, mestilah aku juga ada perancangan untuk berkeluarga sebab aku pun perempuan. Aku nak juga merasa ada suami dan anak, tetapi untuk masa sekarang aku tak terfikir lagi soal tu. Mak aku pun pernah suruh aku berkahwin.

Kawan-kawan, dan sepupu semua sarankan kahwin cepat tapi aku rasa aku perlu perbaiki hidup dan diri aku dulu.

Walaupun lagi beberapa tahun aku bakal menginjak ke usia 30-an, aku rasa aku masih ada lagi peluang untuk betulkan apa yang perlu.

Aku sedar yang ayah aku pun berharap aku tak sia-siakan ijazah aku. Aku pun berharap suatu hari nanti aku akan dapat kerjaya yang boleh buat aku sentiasa improve diri aku.

Aku dah beritahu teman lelaki aku yang aku sudah hilang perasaan pada dia. Tapi bagi dia, aku buat keputusan macam tu sebab aku ada masalah. Aku dah tak tahu nak jelaskan macam mana. Aku dilema.

Overthinking buat aku rasa aku takut kawan-kawan kami fikir aku perempuan yang jahat sekiranya aku block dia dan tinggalkan dia macam tu sahaja. Kalau boleh aku nak putuskan hubungan dengan cara yang baik dan tiada dendam.

Dulu, teman lelaki aku pernah putus tunang dan sebab tertekan, dia sanggup berhenti kerja dan pulang ke kampung. Aku tak nak dia jadi macam tu semula sebab bukan senang dia nak dapatkan kerjaya yang dia ada sekarang.

Cara kami berkomunikasi sekarang hanya melalui mesej di Whatsapp. Dia akan mesej aku untuk wish ‘Good morning’ dan kadang-kadang aku tak akan balas pun sebab aku nak dia sedar yang dia patut cari orang yang boleh layan dia lagi baik daripada aku.

Minda aku untuk masa sekarang cuma ada tiga benda. Mak ayah aku, kerjaya dan matlamat yang aku nak capai sebelum usia 30 tahun.

Dulu, aku pernah berdoa jika dia jodoh aku, kuatkan perasaan aku untuk dia. Jika dia bukan jodoh aku, jauhkan kami berdua.

Mungkinkah ini jawapannya? Semudah itu ke doa aku dimakbulkan? Aku tak tahu. Masih relevan ke kalau aku cakap “kalau ada jodoh, ada la..”?.

Nak dapatkan jodoh memang perlu usaha. Cuma kalau aku usaha kekalkan tapi hati aku teragak-agak, itu dikira jodoh atau tidak?

Terima kasih sebab sudi membaca luahan aku. Aku doakan semoga kita semua sentiasa berjaya dalam hidup. Sekian.

– Eda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *