Aku Disudut Paling Bawah

Assalamualaikum.. Coretan aku ini hanyalah sekadar untuk meringankan sedikit rasa beban yang aku alami sekarang.. Aku Shasha berumur 32 tahun seorang isteri dan mempunyai anak 3 orang.

Suami aku bekerja makan gaji sebagai training consultant di sebuah syarikat sebelum dia memilih untuk berhenti kerja dan menjual insurans sehingga Mac 2020.

Sebelum ini aku berniaga di dalam kampus namun disebabkan oleh PKP pembelajaran kebanyakan nya secara atas talian. Jadi sambil aku menunggu untuk pelajar masuk belajar secara bersemuka, aku dan suami menjaja makanan ditepi jalan.

Banyak jugak modal disuntik untuk berniaga ditepi jalan ni. Untuk beli khemah, meja dan peralatan lain serta modal pusingan untuk beberapa bulan pertama.

Pernah juga aku beroperasi semula di kedai dalam kampus tu pada bulan sept 2020 kerana dikatakan waktu itu pelajar baru dan lama akan mulakan pembelajaran secara bersemuka. Namun setelah 3 hari, PKP diumumkan semula.

Barang-barang kedai yang telah di topup masuk untuk memenuhkan gondola hanya 10% yang terjual. Aku tunggu mungkin mengharapkan PKP hanya 2,3 minggu. Kebetulan waktu itu pekerja aku yang menguruskan kedai kerana aku cuti bersalin.

Namun setelah 2,3 bulan PKP masih belum tamat. Barang-barang makanan dan minuman menghampiri tarikh luput. Pembekal mula call untuk dapatkan bayaran masing-masing.

Mana-mana pembekal yang memahami mereka benarkan untuk return tetapi banyak pembekal yang menolak untuk barang dikembalikan semula dan memaksa-maksa untuk bayaran dibuat. Sehingga call dan WhatsApp setiap hari.

Aku mula rasa runsing kerana ada antara mereka yang call sehingga pukul 10 malam. Ada yang hantar surat lawyer. Disebabkan lot kedai aku di bawah tapak komersial, jadi tarif elektrik agak tinggi tak sama seperti domestik.

Caj minimum pun agak tinggi walau tidak digunakan. Pihak kampus yang menyewakan lot pun seakan akan memaksa aku untuk membayar bil elektrik dan air yang tertunggak. Aku jadi stress.

Perniagaan tepi jalan yang aku dan suami jalankan hanya sekadar cukup makan. Jika tak berniaga memang sesak sangat.

Aku dah tak dapat nak bagi wang saku pada ibu kini. Bahkan ketika pulang ke kampung baru-baru ini, ibu yang bagi duit saku pada aku. Katanya duit jajan untuk anak-anak. Malu sungguh rasanya.

Ansuran motor dibuat bawah AEON Credit. Mesti pembaca semua tahu kan bagaimana AEON Credit kalau mintak hutang. Kalau boleh orang dalam kubur pun dorang akan call untuk tuntut hutang.

Kesilapan kami disini kerana beli motor guna AEON credit. Tapi ansuran tinggal setahun saja lagi.

Ansuran kereta dan TNB rumah pun ada yang tertunggak. Mujurlah sewa rumah hanya RM350 sebulan setakat ini masih mampu dibayar.

Cuma tuan rumah selalu datang rumah untuk ingatkan supaya bayar bil TNB hinggakan bila aku nampak kereta dia di kawasan rumah sewa kami aku dah mula runsing.

Dapat I-citra memang habis settle kan hutang semata-mata. Baru-baru ini, pihak pengurusan kampus ada maklumkan pelajar akan masuk belajar secara bersemuka.

Tapi aku dah tawar hati. Aku bercadang untuk tamatkan kontrak sewa lebih awal. Aku dah tak mampu nak suntik modal untuk bangkit semula.

Aku pandang muka anak-anak aku. Rasa sebak. Sebab aku tak mampu nak bagi yang terbaik untuk anak-anak aku.

Aku dan suami memang menjaga solat fardhu kami. Suami juga memang akan cuba solat berjemaah di surau dan masjid ketika masuk waktu.

Kami juga sentiasa untuk cuba bangun awal sebelum subuh untuk solat Tahajjud. Kadangkala hati manusia aku yang jahat ni mengungkit apa kesilapan yang kami lakukan hingga rasa begitu sulit diuji begini.

Rumah sewa kami hanya dua bilik sahaja yang aku dan suami aku mampu sediakan untuk anak-anak. Nak jemput ibu dan keluarga mertua datang pun kami segan. Buntu. Suami aku pun banyak juga cuba bermacam jenis perniagaan.

Tapi mungkin bukan rezeki dia untuk jadi peniaga yang berjaya. Pada saat dan ketika ini, aku rasakan kedudukan aku di sudut paling bawah. Mungkin di bawah alas kaki lagi kecil daripada debu.

Aku cuma follow the flow. Hanya kepada Allah tempat aku mengadu supaya dibukakan jalan untuk aku dan suami dapat selesaikan hutang-hutang kami. Untuk aku dan suami bagi yang lebih baik untuk anak-anak kami.

Sehingga saat ini kami masih berniaga ditepi jalan. Semoga anda semua sudi doakan agar perniagaan kami maju dan berjaya. In sha Allah aamiin..

– Shasha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *