Assalamualaikum, saya menulis untuk meminta pandangan orang ramai mengenai kisah hidup saya. Nama saya Ain. Cerita saya ini ada sedikit tokok tambah mengenai diri saya.
Saya seorang isteri berumur 30. Sudah mempunyai anak dan suami saya seorang yang boleh dikatakan sempurna dari segi rupa paras.
Untuk dipendekkan cerita, saya sangat bahagia dengan rumahtangga saya dan saya seorang isteri yang kuat cemburu dan suami pula sangat menjaga hati saya sepanjang perkahwinan.
Suami saya menjalankan semua tanggungjawabnya sebagai seorang suami dengan baik, dan saya tahu dia sayangkan saya seperti saya sayangkan dia.
Masalahnya, saya seorang isteri yang sangat rumit dan terlalu ingin mengambil tahu mengenai kisah silam suami.
Yang paling saya ingin tahu ialah kisah silam suami mengenai dengan siapa suami pernah bercinta sebelum berkahwin.
Kalau kisah silam tentang perangai buruk yang lain, saya boleh maafkan lagi, tetapi jika kisah silam suami berkenaan dengan perempuan semasa dia belum kahwin, saya sukar untuk terima kenyataan jika suami pernah melakukan perbuatan yang buruk.
Ya mungkin itu dulu, sebelum suami kenal saya dan berkahwin dengan saya, tetapi saya tidak mahu suami saya pernah terlanjur atau pernah memegang tempat2 peribadi di tubuh wanita lain selain diri saya walaupun itu kisah lalu suami.
Dipendekkan cerita, semasa saya belum berkahwin, ada seorang kenalan saya (kawan tidak rapat) telah memberitahu saya bahawa bakal suami saya dulu pernah bawa dia keluar dan ingin melakukan perkara tak senonoh kepadanya,
Perkara itu terjadi beberapa tahun yang lepas sebelum suami saya kenal saya. Kawan saya itu seorang wanita yang telah rosak kerana sering check in ke hotel dengan lelaki yang tiada ikatan sah.
Saya pernah bertanyakan hal itu kepada suami sebelum berkahwin dan suami berkata ya dia pernah keluar dengan perempuan itu dan ketika itu dia memegang peha dan dada sahaja.
Dia meminta maaf dan menangis berkali kali kepada saya dan mengatakan bahawa dia menyesal dengan perkara dahulu dan dia tidak boleh buat apa-apa lagi dengan perkara yang telah lalu.
Katanya itu semasa waktu remaja yang jahil. Dan dia sanggup meminta maaf dengan orang-orang yang dia pernah buat salah dahulu.
Itu kata-katanya kepada saya semasa saya dengan nya dalam proses ingin bertunang. Pada masa itu saya memaafkannya walaupun dalam fikiran saya sudah macam-macam benda yang saya fikirkan.
Untuk menyedapkan hati, saya berfikir bahawa tidak apalah, itu hal dia sebelum dia dengan saya.
Cerita semasa dalam alam perkahwinan pula, saya selalu push suami saya supaya dia menceritakan apakah dahulu dia pernah terlanjur dengan mana-mana wanita lain sebelum kenal saya. Apakah dia pernah menyentuh tempat peribadi kawan saya.
Tetapi suami saya tetap tak mengaku bahawa dia pernah terlanjur atau pernah tidur dengan mana-mana perempuan selain saya.
Tapi apabila mengingatkan kembali kata-kata suami semasa sebelum kahwin tentang ingin “meminta maaf dengan orang-orang yang dia pernah buat silap” dan tentang “kawan saya” itu, hati saya berfikir bahawa suami saya tidak jujur dan hanya ingin menjaga hati saya.
Dan selagi suami saya tidak meyakinkan saya bahawa dia pernah terlanjur atau tidak dengan perempuan lain sebelum berkahwin, selagi itu lah saya akan ulang tanya perkara yang sama dan hal ini sahaja yang membuat saya dan suami bertengkar.
Sungguh suami saya tidak akan mampu memperbetulkan masa lalu,
Tetapi, saya seorang isteri yang sukar menerima hakikat jika laki laki yang saya cintai pernah menyentuh tubuh perempuan lain selain diri saya kerana saya selalu membayangkan seperti mana suami saya melayan saya ketika di atas katil,
Seperti itu juga la suami saya pernah melayani perempuan lain sebelum saya. Sungguh saya sakit jika suami saya dulu nya seperti itu dan saya berasa sangat sebak jika sendirian memikirkan perkara ini.
Apakah saya yang salah? Atau saya ada hak tanya perkara sebenar?Saya nak sangat pendapat dari orang ramai. Terima kasih.
– Ain (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit