Men Are Capable To Love Different Women At The Same Time

Aku taip, aku padam. Aku taip lagi dan aku padam.

Sebelum ada sesiapa trigger dengan tajuk di atas, boleh cuba baca dahulu apa yang aku nak kongsi. Kisah hidup aku sepanjang bergelar 20-an. Boleh panggil aku Juliana (bukan nama sebenar).

Lebih kurang 10 tahun lepas, semasa aku baru masuk universiti, aku dapat panggilan daripada mak di kampung yang kawannya hendak pinangkan aku untuk anak lelakinya.

Lelaki ini kita beri namanya, Abu.

Abu ini bagus. Dari segi agama, latar belakang pendidikan dan pekerjaan. Dia pun datang daripada keluarga yang baik-baik, kawan kepada mak dan ayah aku.

Abu juga adalah senior sekolah aku yang tak pernah pun bertegur sapa semasa di sekolah.

Pendek kata, orang akan kata ‘beruntung kau dapat Abu’ kerana dia ada hampir semua yang wanita idamkan, rupa, agama, harta.

Selepas beberapa ketika, aku pun setuju menerima pinangan Abu. Waktu itu, aku duduk berjauhan dengan keluarga. Ada baiknya juga jika ada lelaki yang boleh dijadikan teman dan bodyguard sepanjang tempoh ijazah.

Kurang dua minggu, mak aku telefon aku semula dan mengatakan keluarga Abu menarik semula pinangan mereka, tak jadi nak jadikan aku sebagai menantunya.

Aku lega sebenarnya, sebab mungkin aku juga belum bersedia berumah tangga. Lebih kepada nak rasa secure dan malas berfikir panjang.

Rupa-rupanya, Abu tidak mahu pun bernikah dengan aku kerana dia sudah punya calon ketika itu. Terdapat salah faham antara Abu dan ibubapanya.

Abu mahu menikah dengan perempuan yang mana perempuan itu bukan aku. Selang bulan, Abu selamat bernikah dengan gadis pilihannya.

Jadi, sebenarnya aku ini pilihan siapa? Abu atau ibu bapanya?

Aku tinggalkan persoalan itu sampai hari ini, masih tiada jawapan.

Selang beberapa tahun, lagi sedikit masa nak habis degree, ada lelaki lain yang mengaku dia sudah lama jatuh cinta aku.

Lelaki ini kita namakan dia Ali.

Ali kata dari tahun 1 lagi, dia mula menyimpan perasaan dekat aku tapi dia malu dan tahu hendak berumah tangga bukan semudah menyebut lafaz nikah. Jadi dia tunggu sehingga hampir tamat pengajian.

Ali ini juga manusia yang baik-baik. Tidak pernah aku dengar berita buruk tentangnya. Tutur katanya juga sopan dan lembut.

Ramai juga kawan-kawan aku yang pernah kata hendak mencari suami, carilah seperti Ali. Sekali lagi aku dengar ayat ini ‘beruntunglah siapa yang dapat Ali’.

Tetapi bagi aku timing pada waktu itu agak tidak kena. Final dalam beberapa minggu dan kami masih lagi bergelar student, belum ada pekerjaan. Nak kumpul duit, nak berkhidmat untuk mak ayah, nak merasa duit pertama gaji. Semuanya masih kabur.

Jadi aku katakan pada Ali. Aku terpaksa menolak lamaran Ali dengan mengatakan masa depan kita masih jauh dan belum pasti. Boleh kah kau tunggu aku dalam dua atau tiga tahun lagi?

Dan itulah mesej terakhir aku dengan Ali. Ali tidak lagi balas mesej aku selepas itu.

Selang beberapa ketika, Ali selamat bertunang dengan seorang perempuan. Dan perempuan itu bukan aku.

Habis fasa belajar, masuk pula fasa pekerjaan. Fasa yang aku terlebih fokus bekerja sehingga lupa 20-an sudah aku tinggal di belakang.

Dalam masa aku tidak fikir untuk berumah tangga, datang lagi seorang lelaki daripada masa silam menghulurkan tangan.

Lelaki yang kita kenalkan sebagai Awang.

Awang juga daripada keluarga yang baik-baik.

Awang ini mengatakan kepada aku, dia sudah minat sama aku sejak dari bangku sekolah lagi.

Bila aku congak kembali pada waktu itu, hampir 10 tahun sekolah telah kita tinggalkan. Bermakna Awang memendam perasaannya lebih daripada 10 tahun? Kenapa baru sekarang dia muncul kembali.

Aku bersetuju untuk berkenal kenalan. Bagi aku 3 bulan.

Tetapi kemunculan Awang tidak lama. Tiba-tiba dia hilang daripada radar. Senyap yang tidak berkutik. Aku biarkan dia senyap dan teruskan kehidupan seperti biasa.

Beberapa bulan menyepi, aku hantar mesej kepada Awang dengan mengatakan.

Mungkin kita tidak ditakdirkan untuk berjodohan.

Awang bersetuju dan kami tamat disitu.

Selang beberapa purnama, gambar profil Awang sudah bertukar dengan persalinan baju melayu putih dan disebelahnya ada wanita rupawan yang tersenyum ke lensa kamera

Dan wanita itu, bukan aku.

Apabila aku renung-renung kembali pengalaman ‘nak kahwin, tidak jadi’ sepanjang usia 20an, aku teringat kepada pesanan kakak aku sewaktu aku muda- muda dulu, sewaktu baru habis sekolah dan melangkah ke universiti.

Kakak aku pernah mengatakan yang;

“Men are capable to love different women at the same time”

Not just man. Anyone can, in fact.

Tujuan aku menulis bukan nak mulakan pergaduhan alam maya antara lelaki dan perempuan.

Tetapi nak mengatakan, bahawa selepas ketiga-tiga incident yang lebih kurang sama, aku terpaksa bersetuju yang

Ya. Lelaki memang mampu untuk mencintai lebih daripada seorang wanita dalam satu masa yang sama. Sebab itu, Islam membenarkan seorang lelaki mengahwini 4 wanita dalam satu-satu masa. Provided, they need to prove that they can, in every aspect.

Ini hanya sedikit pengalaman kisah cinta tak jadi aku.

Aku yakin ada hikmah yang aku tak tahu.

Lagipun,

Mungkin juga, aku hanya wanita nombor dua atau tiga kepada lelaki-lelaki yang pernah hadir dalam hidup aku.

Tetapi Tuhan mahu menemukan aku kepada lelaki yang hendak menjadikan aku nombor satu selepas ibunya.

Masa depan, siapa tahu?

– Juliana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *