REPLY: Pascasiswazah Tidak Patut Miskin

Salam kepada semua pembaca IIUMC. Sewaktu sedang memandu ke tempat kerja, terbaca sebuah confession bertajuk “Pascasiswazah tidak patut miskin” (link: https://iiumc.com/pascasiswazah-tak-patut-miskin/).

Sebagai seorang pensyarah universiti awam di tanah air ini. Berminat hendaknya saya untuk memberikan pendapat dan pandangan sedikit sebanyak melalui pengalaman mengajar, menyelia dan mengurus di peringkat Universiti Awam ini.

Ini sekadar pendapat semata mata, tulisan ini tidak mewakili mana mana Universiti Awam, Universiti Swasta, mahupun Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Pertama sekali hentikanlah stigma mengecam confessor yang mengambil risiko untuk melanjutkan pengajian mereka hingga ke peringkat tertinggi.

Fahamilah bahawasanya isu yang diketengahkan confessor adalah isu yang saya lihat sebagai isu utama yang menjadikan kerancakan bidang penyelidikan di Malaysia ini tidak mampu menghasilkan banyak kajian yang bertaraf menggegarkan ilmu di peringkat global.

Izinkan saya memberi pandangan mengikut perkara confessor telah tulis.

Perkara Pertama: Boikot pasca siswazah

Ada yang saya setuju, ada juga yang saya tidak setuju. Perkataan boikot mungkin dilihat sebagai terlalu kasar,

Yang mana memberikan kesan buruk dan memberikan stigma negatif kepada masyarakat yang bahawasanya pascasiswazah ini sejenis skim penipuan terancang atau skim yang kejam menghambakan pelajar pascasiswazahnya sendiri.

Pada pendapat saya, saya bersetuju jika pascasiswazah ini dihadkan pengambilannya untuk sementara waktu ini agar mengikut status tertentu bakal pelajar itu;

Seperti keperluan GRA untuk geran penyelidikan, fellowship SLAB/ STAM/ TPM/ Cuti belajar bergaji penuh, tajaan biasiswa penuh JPA/ MARA/ dll.

Hentikan sementara pengambilan pelajar yang menggunakan sumber kewangan sendiri untuk memastikan kelestarian pascasiswazah.

Saya juga menyokong suara confessor, anda telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda, ada lebih baiknya anda memburu kerja dengan sepenuh hati dan mendapatkan gaji yang lebih setimpal dengan berbekalkan Ijazah Sarjana Muda anda.

Usah ditagih harapan palsu Ijazah Sarjana yang dijanjikan gula gula manis dari penyelia tidak berintegriti yang mengatakan “kalau buat master bawah saya, saya adjust jadi pensyarah dekat sini”.

Saya menyeru juga kepada para graduan, jangan jadikan pascasiswazah sebagai satu tempat untuk melarikan diri dari kesukaran realiti alam pekerjaan.

Rebutlah peluang pekerjaan, saya paham ada yang sudah menanti peluang yang tidak kunjung tiba. Nasihat utama saya, berhijrahlah, carilah pekerjaan diluar gelembung keselesaan anda (negeri asal, daerah asal)

Perkara Kedua: Solusi bantuan kewangan seperti MyBrain

Tidak dinafikan, skim MyBrain yang telah dihentikan sebelum ini sangat membantu para pascasiswazah dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Namun begitu, dengan keadaan ekonomi pasca COVID ini, saya menjangkakan skim seperti MyBrain amat sukar untuk ditawarkan secara meluas seperti 10 tahun yang lalu.

Saya mencadangkan KPT (kalau ada orang baca lah) untuk menawarkan skim pascasiswazah dalam bentuk pinjaman boleh ubah yang mempunyai KPI yang sesuai dengan norma pascasiswazah seperti,

Bidang kajian pelajar mampu mendapatkan geran penyelidikan jangka pendek, penerbitan sekurang kurangnya Q3 atau Q4 mengikut bidang, pendaftaran harta intelek, kerjasama dengan industri serta komuniti.

Dengan menggariskan KPI seperti ini, ia secara tidak langsung, dapat menghasilkan kajian dari pelajar pascasiswazah yang berimpak tinggi dalam penyelidikan.

Berikan pinjaman boleh ubah dalam bentuk yuran + elaun bulanan untuk menggalakkan lagi pelajar pascasiswazah ini agar kekal bersemangat dan fokus tanpa perlu memikirkan kesempitan dan kesukaran meneruskan hidup.

Kurniakan taraf biasiswa apabila KPI dapat dipenuhi, jika gagal dipenuhi, jadikan pinjaman boleh ubah dengan memberikan diskaun mengikut KPI yang dicapai.

Perkara 3: FRGS dan yuran pengajian

Idea ini dilihat bernas, namun begitu, adalah menjadi tanggungjawab pelajar untuk melunaskan yuran pengajian menggunakan sumber kewangan yang diperoleh secara peribadi. Gaji GRA adalah salah satu cara untuk menjana sumber kewangan menjelaskan yuran pengajian.

Adalah lebih baik jika pihak kerajaan memberikan dana tambahan untuk mewujudkan skim perkhidmatan sementara,

(seperti skim pekerja sambilan harian) seperti tutor, jurutera pengajar atau pembantu pensyarah sebagai salah satu cara untuk menambahkan lagi sumber kewangan para pelajar pascasiswazah ini.

Selain itu juga, saya ingin memberikan pandangan peribadi saya sedikit sebanyak.

Saya mengerti jika ada pendapat dan pandangan netizen mencadangkan untuk para pelajar pascasiswazah ini mencari pendapatan sampingan melalui penjualan secara online, dropship, e hailing, food delivery dan lain lain cara.

Namun begitu, pada hemat peribadi saya, komitmen mencari kewangan diluar dari lingkungan universiti sedikit sebanyak mengganggu fokus pelajar pascasiswazah untuk memberikan komitmen 100% tanpa menjejaskan kualiti kehidupan seharian mereka.

Peluang mencari sumber kewangan seharusnya bermula didalam kampus itu sendiri, wujudkan peluang peluang untuk pelajar pascasiswazah ini mencari pekerjaan sementara.

Saya pasti bukan kemewahan untuk membeli iphone terbaru atau menukar sport rim kereta yang mereka impikan, kebanyakan dari mereka hanya mahu mencari sepinggan nasi untuk hidup hari demi hari sehingga mereka menamatkan pengajian.

– Pensyarah Haluan Kiri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *