Salam para pembaca,
Tidak menyangka penulisan kali pertama (link: https://iiumc.com/reply-
Dalam saya membelek komen di facebook, terdetik di fikiran saya, apa saya patut kongsikan tentang pascasiswazah ini dalam bentuk kebenaran yang pahit (orang putih cakap bitter truth).
Ini kerana kerap kali saya melihat ramai pelajar yang termakan pujukan penyelia (SV) untuk menyambung pascasiswazah di bawah selian mereka.
Mungkin dapat menjadi panduan sebelum memulakan pengajian, ingin saya menyatakan ini adalah pendapat peribadi saya sahaja,
Penulisan saya ini tidak mewakili mana mana Universiti Awam, Universiti Swasta mahupun Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Saya akan pecahkan kepada beberapa subtopik agar mudah menjadi rujukan anda semua.
Perkara 1: Siapa yang patut sambung pascasiswazah??
Adalah bukan jadi hak saya untuk melarang anda untuk menyambung pengajian kemana mana peringkat sekali pun.
Sama ada anda memilih upstream (ambil pascasiswazah) atau downstream (double degree, double diploma, SKM), ianya adalah pilihan anda dalam merintis jalan hidup.
Namun begitu saya kategorikan kepada dua kategori agar mudah anda melihat anda dalam kumpulan yang mana.
Kumpulan Wajib Sambung: Kumpulan ini adalah individu yang menerima skim menyambung pengajian dari majikan mereka. Baik dari majikan bidang akademik atau majikan dalam industri/pasaran.
Golongan ini lazimnya ditaja oleh majikan mereka, jika dari bidang akademik atau hadiah dalam perkhidmatan, mereka akan diberikan cuti belajar (study leave) gaji jalan dan ditambah dengan elaun berkaitan.
Seperti contoh untuk seorang pensyarah universiti menyambung pengajian ke peringkat PhD, mereka akan diberikan skim fellowship SLAI atau mengikut pakej dari Universiti yang mereka berkhidmat.
Lazimnya mereka ini akan diikat (bonding) dengan majikan mereka untuk satu tempoh yang tertentu.
Golongan ini saya kategorikan sebagai wajib kerana ianya adalah kehendak dalam tugas mereka terutama dalam hal ehwal kenaikan pangkat gred perkhidmatan dari DS45 ke DS51.
Kumpulan Sunat Sambung: Kumpulan ini merujuk kepada kumpulan yang mempunyai pilihan dari sudut kewangan.
Boleh dikategorikan kedalam kumpulan ini adalah mereka yang ditawarkan untuk mengambil skim GRA dibawah geran penyelidikan, ditaja biasiswa (JPA, MARA, PETRONAS, Dll.)
Atau yang menerima bantuan kewangan secara pinjaman (MARA, Bank Rakyat, PTPTN, Yayasan Negeri, Dll).
Mereka yang bekerjaya dan mempunyai keinginan untuk sambung pengajian juga saya kategorikan dalam kumpulan ini (sayalah tu, dulu saya kerja sambil buat sarjana secara parttime).
Kumpulan Makruh Sambung: Kumpulan ini saya kategorikan untuk mereka yang tidak mempunyai dana kewangan untuk membantu pengajian mereka.
Lazimnya mereka menggunakan sumber kewangan PAMA (Pinjaman Anak – Mak & Ayah).
Normalnya kumpulan ini ingin mencapai cita cita peribadi mereka untuk mempunyai sarjana atau PhD sebelum umur tertentu (orang putih cakap bucket list).
Ada juga yang memilih untuk sambung pengajian kerana sukar mendapat pekerjaan, ingin melarikan diri dari tekanan dan jangkaan orang sekeliling (makcik bawang) untuk mendapatkan pekerjaan dan pakai kereta berlogo H.
Perkara 2: Bidang apa saya patut sambung??
Persoalan ini patut dijawab dengan satu lagi soalan, “selepas habis pascasiswazah saya nak kerja apa?”.
Persoalan yang dijawab dengan persoalan ini boleh membantu anda menentukan bidang yang anda ingin dalami diperingkat sarjana mahupun PhD.
Lazimnya bagi penjawat awam, mereka akan menyambung dalam bidang yang berkaitan dengan jawatan mereka.
Bagi mereka yang bekerja di sektor swasta, anda perlu melihat jalan karier anda dan mengenal pasti peluang untuk anda mengembangkan karier anda secara dalam atau luar organisasi anda.
Ahli akademik, sudah pasti semua mempunyai cita cita untuk menjadi ahli akademik. Untuk menjadi ahli akademik, bidang apa mereka patut dalami?
Jawapannya mudah sahaja, sambung pengajian dalam bidang yang sama dengan sarjana muda anda.
Ini kerana untuk menjadi ahli akademik, kriteria penting akan dilihat adalah sarjana muda dan pascasiswazah anda dalam bidang atau sub-bidang yang sama.
Persoalan mengenai sarjana muda bidang lain, pascasiswazah bidang lain kerap saya lihat dalam kumpulan facebook.
Jawapan saya, ia akan menyukarkan Universiti ketika proses akreditasi dan juga audit SIRIM.
Ini kerana jika anda tidak mempunyai bidang yang selari (orang putih cakap tally), ia akan mencetuskan keraguan terhadap kepakaran anda untuk mengajar.
Contoh: Sarjana muda kejuruteraan, Pascasiswazah MBA; paradoks yang akan terjadi adakah individu ini mempunyai pengetahuan yang cukup dalam bidang BA? kerana mereka telah menghabiskan 4 tahun (sekurangnya) dalam kejuruteraan?
Adakah dia mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan, tetapi mendalami bidang MBA diperingkat sarjana? Pakarkah beliau?
Perkara ini pernah terjadi dalam organisasi saya sendiri, kacau bilau dibuatnya bila ia membabitkan badan akreditasi yang lebih tegas seperti EAC dan ETAC dari Board of Engineers.
Perkara 3: Caj tersembunyi.
Dalam pascasiswazah, terdapat beberapa caj tersembunyi yang anda tidak nampak pada awalnya.
Caj yang saya maksudkan boleh jadi caj untuk menerbitkan kertas penyelidikan yang boleh mencecah ribuan ringgit.
Jika anda ingin manuskrip anda diterbitkan dalam jurnal yang menerbitkan secara percuma, lazimnya anda perlu membayar kos proofread yang boleh mencecah ratusan ringgit.
Selain itu juga, penyertaan ke persidangan dalam dan luar negara juga memerlukan anda melaburkan ratusan ringgit untuk pergerakan dan penginapan,
Beruntung jika anda ditanggung oleh geran penyelidikan kerana perkara ini sudah dimasukkan dalam peruntukan geran.
Malang untuk kumpulan makruh sambung, kerana kos kos seperti ini yang menjadi beban tambahan kepada mereka kelak.
Belum lagi penyelia yang tidak berintegriti, mengambil sebahagian elaun GRA untuk duit poket mereka.
Ada juga penyelia yang membahagikan elaun GRA yang sepatutnya diterima seorang pelajar tetap dikongsi dengan beberapa pelajar pascasiswazahnya yang lain tanpa geran penyelidikan.
Perkara 4: Janji manis
Ingin saya nasihatkan, jangan termakan dengan janji manis seperti “lepas habis master/PhD saya adjust jadi pensyarah dekat sini”.
Untuk pengetahuan pembaca, kuasa untuk memilih calon pensyarah terletak pada dekan/ketua program, kuasa untuk melantik adalah pada Pendaftar, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Naib Canselor.
Jadi tiada “adjust” yang berlaku kerana kuasa untuk melantik tidak terletak kepada seorang individu sahaja.
Jadi untuk mereka yang berminat untuk menyambung pengajian, teruskan niat anda. Namun pepatah melayu ada mengatakan “ukur baju dibadan sendiri”.
Untuk saya secara peribadi, walaupun pelajar saya dalam kumpulan makruh sambung menawarkan diri untuk menjadikan saya sebagai penyelia, kerap kali saya tolak.
Saya nasihatkan mereka untuk mencari pekerjaan sementara usia masih muda, kerana saya tidak mampu menjamin pekerjaan akan datang lebih mudah selepas mereka tamat pascasiswazah.
Saya tidak mahu menganiaya pelajar untuk menjadi penganggur yang highly educated.
Sedikit perkongsian dari saya, maaf jika ada terkasar atau terjujur, kerana saya tahu, tidak ramai pensyarah yang ingin berkongsi seperti ini, hanya gula gula manis sahaja diberikan.
– Pensyarah Haluan Kiri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit