Bercerai atau Bertahan?

Assalamualaikum semua. Saya nak mintak pendapat. Saya tahu sepatutnya lebih baik saya ke pejabat agama. Tapi saya buntu. Saya juga malu.

Tak tahu nak mula dari mana. Saya berkahwin nak masuk 5 tahun. 2 anak. Saya dan suami sama-sama penjawat awam. Sama-sama kerja yang berlainan shift.

Nak cerita pasal pendapatan. Cukup lah saya rumuskan. Saya lah penyumbang utama untuk perbelanjaan kami.

Soal pendapatan sebenarnya saya tak lah berkira sangat. Saya rasa mesti ramai perempuan seperti saya. Kita perempuan tak kisah pun kalau perlu hidup bersusah. Asalkan anak-anak cukup makan pakai. Hidup sederhana yang selesa.

Apa yang buat saya rasa terkilan. Bila suami macam tak hargai segala usaha saya. Pengorbanan saya. Penat lelah saya. Saya tak suka hidup dalam konflik. Bergaduh, masam muka, ungkit mengungkit.

Mungkin masa awal perkahwinan saya banyak bergaduh dengan suami soal kewangan. Sebab saya penat. Saya kerja 3 shift. Jarang dapat cuti. Time cuti selalunya saya terpaksa naik kerja kerana tuntutan jabatan akibat kekurangan staff.

Tapi suami jarang membantu saya uruskan anak dan kerja rumah (masa tu baru seorang anak) pengasuh saya cuma jaga anak saya seorang. Walaupun suami cuti, anak tetap hantar ke pengasuh mengikut waktu kerja saya.

Suami juga jarang membantu saya dalam menguruskan kerja-kerja rumah. Saya letih nak buat benda yang sama hari-hari. Suami bukan seorang yang berdisiplin dalam kehidupan seharian. Mungkin sebab cara dia di besarkan.

Keluarga dia hidup dalam keadaan rumah yang tunggang langgang. Walaupun di awal perkahwinan kami kerap bergaduh sehingga hampir bercerai. Alhamdulillah. Masih kekal hingga sekarang. Dengan 2 anak. Anak no 2 belum setahun.

Bila anak masuk 2. Saya boleh nampak perubahan suami. Dia makin bertanggungjawab dan lebih banyak luangkan masa di rumah apabila dia cuti.

Kalau dulu. Dia lebih suka melepak dengan kawan-kawan time cuti. Jarang ada di rumah. Mungkin sebab saya juga jarang ada di rumah kerana tuntutan kerja.

Suami juga ada sesekali membantu uruskan kerja-kerja rumah. Tapi selalunya apabila saya pesan. Kalau saya tak pesan memang tak bergerak segala kerja macam tiada common sense langsung bagi suami.

Disebabkan saya sudah lali dan penat bergaduh untuk benda yang sama. Saya cuma diamkan.

Selagi saya mampu saya akan uruskan. Saya redha dengan suami yang Allah bagi pada saya. Tidak ada apa yang boleh saya buat lagi. Ini lah jodoh saya walau macam mana pun diri dia.

Saya redha bila suami saya tidak mampu untuk beri saya nafkah zahir yang secukupnya. Bagi saya. Tidak mengapa lah. Mungkin ini lah maksudnya dalam rezeki saya ada rezeki orang lain. Iaitu suami saya.

Saya juga redha bila suami saya seorang yang kurang disiplin mungkin ini lah ujian saya. Saya akan terus berusaha untuk didik dia supaya dia dapat ubah budaya yang sudah sangat sebati dalam diri dia.

Tapi apa yang buat saya terkilan sangat. Suami juga kurang beri saya nafkah batin. Suami tidak mesra dengan saya. Jarang berpegangan tangan. Berpeluk. Bergurau senda. Saya selalu positifkan diri. Mungkin penat. Tapi saya juga penat.

Saya bekerja. Ada masa saya bekerja double shift tetapi balik rumah saya masih mampu menguruskan kerja rumah. Kerja saya memang kerja yang memenatkan. Tetapi saya latih diri saya untuk jadi seseorang yang lebih kuat demi anak-anak.

Kadang- kadang cuti kami jatuh pada hari yang sama. Saya tertunggu-tunggu untuk suami mengajak saya untuk tidur bersama. Tetapi tak ada pun. Ada masa saya tebalkan muka saya dengan bersiap dan ‘meminta’ dari suami walau pun ada masa dalam nada bergurau.

Ada masa saya meminta dengan bersungguh dan serius. Tetapi jarang suami melayan saya. Mungkin silap nya kami tido berasingan. Saya tidur di dalam bilik dengan anak no 2 manakala suami di ruang tamu dengan anak sulung saya.

Suami hanya bersama dengan saya mengikut kehendak dia. Tetapi hanya sebulan sekali. Sebulan sekali tu kira ok berbanding dulu hampir 4 bulan tiada hubungan suami isteri.

Soalnya sekarang. Saya sudah tidak mampu untuk berpura-pura kuat dan bahagia. Saya kesian kat diri saya yang banyak makan hati. Saya bukan tak cantik. Tak perlu saya zahirkan diri saya. Tapi saya yakin dengan kerjaya dan rupa saya. Saya sayang keluarga saya.

Tetapi saya sedih kenapa suami saya tidak melayan dan menghargai saya dengan baik. Saya banyak kali rasa ingin bercerai tetapi saya tahan diri saya demi anak. Sehingga ke anak no 2.

Bagi saya. Saya hidup hingga hari ini dengan ibu bapa yang sangat bahagia walaupun hidup dalam sederhana sahaja.

Jadi saya tak nak anak- anak saya membesar dalam keluarga yang berpecah. Tambah meraka kecil lagi. Tak sanggup saya memikirkan hidup mereka apabila saya dan suami bukan lagi pasangan suami isteri dan hidup dalam kehidupan yang berbeza.

Cuma sebagai seorang perempuan. Saya sedih bila dalam kehidupan dan pandangan mata orang luar mesti rasa kami mempunyai keluarga yang sempurna. Sedangkan hakikatnya. Saya sunyi. Hati saya kosong.

Saya selalu menangis mengenangkan kehidupan yang saya lalui sekarang. Kadang-kadang saya rasa macam tak ada siapa yang sayang saya.

Saya cuma nak suami saya melayan saya pandang saya dengan penuh kasih peluk saya dengan rasa cinta seorang suami pada isteri. Tapi saya tak pernah rasa semua tu. Pernah saya meluahkan segala apa yang rasa buat suami.

Tapi suami buat biasa sahaja. Macam tidak ada rasa apa pun dengan linangan air mata saya. Bila saya tanya dia faham ke dia cuma jawab faham sahaja. Selalunya dia cuma beranggapan saya melalut dan mengarut sengaja cari masalah untuk bergaduh.

Seolah-olah tak ada sekelumit pun rasa bersalah atau kasihan pada saya. Dulu saya pujuk hati saya mungkin cara dia membesar dalam keluarga dia yang buat dia jadi lelaki seperti sekarang. Sebab tu saya masih bersabar dan bertahan.

Tapi sekarang. Makin hambar dan makin tawar. Hati dan perasaan saya rasa kosong sebab saya dah terlalu lali dengan kekecewaan yang saya selalu rasa.

Saya cuma fikirkan anak-anak yang masih kecil. Mereka perlukan ibu bapa. Saya tak nak anak-anak saya membesar dan jadi seperti ayah dia dan keluarga mertua yang tak mesra.

Tapi demi anak saya perlu korbankan jiwa saya. Bahagia saya cuma anak-anak sahaja. Tak merasa saya bahagia sebagai seorang perempuan. Ada ke yang sudi bagi pandangan… perlu ke saya bertahan ?

– Sarah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *