Salam admin dan readers. Terima kasih kerana wujudnya platform ini untuk orang seperti aku meluah perasaan yang terbuku di dada kerana bukan semua orang sudi mendengar luahan kita dan bukan semua tahu meluah rasa pada orang lain.
Cuma hanya mampu meluah rasa melalui perkataan untuk menggambarkan apa yang terbuku di hati. Contohnya seperti aku. Banyak hati perlu dijaga tapi sebagai manusia biasa, ada masa rasa ‘berat’ tu sakit untuk ditanggung.
Aku seorang M40 mempunyai kerjaya yang agak bagus. Berkahwin dengan seorang yang berkerjaya profesional ketika masing-masing telah stabil dalam kerjaya masing-masing.
Kini dah berumur 40an dan ada 2 orang anak yang sedang meningkat remaja dan seorang masih lagi di tadika.
Semua ok sahaja dalam keluarga kecil kami. Gaji aku RM3k dan suami RM7k membuatkan kami mampu mempunyai rumah sendiri walaupun hidup di kota yang semua tahu memerlukan belanja yang tinggi.
Mampu membeli kenderaan buatan luar negara untuk pergi kerja dan menghantar anak-anak ke sekolah serta balik kampung.
Mampu membayar bil, berbelanja dapur dan makan luar sesekali tanpa risau dengan kos. Mampu untuk berkongsi rezeki dengan keluarga aku dan keluarga sebelah suami serta anak buah di pejabat.
Mampu untuk bershopping sesekali walaupun bukan berjenama mewah. Mampu melancong dalam negara setahun sekali. Mampu menabung sedikit sebanyak.
Pada usia ini dan di takuk kerjaya ketika ini, patutnya aku dan keluarga berada sudah selesa. Boleh lenang dengan pendapatan aku dan suami. Bukan mahu kaya dan mempunyai harta melimpah-ruah. Cukup sekadar selesa.
Apatah lagi suami sudah mempunyai gelaran yang diimpikan oleh golongan profesional sepertinya. Gaji RM10k ke atas ibarat dalam genggaman dia dan banyak offer yang dia terima untuk peluang kerjaya yang lebih bagus dan tinggi gajinya.
Namun suami membuat keputusan untuk melepaskan semua sekali termasuk jawatan sedia ada dan melangkah sendiri.
Sebagai isteri, aku menyokong sahaja perancangannya disebabkan aku yakin setiap langkah yang diambil pasti sudah dibuat perancangan dan perkiraannya sendiri. Ini termasuklah perbelanjaan keluarga yang selama ini kami ada kira-kiranya.
Namun gunung yang ditarah pun lama-kelamaan akan runtuh. Apatah lagi simpanan yang ada untuk meneruskan kelangsungan hidup sementara menunggu langkah suami membuahkan hasil.
Ya, kami masih tidak perlu risau akan bayaran ansuran rumah. Suami masih mampu lagi untuk membayarnya.
Cuma untuk belanja-belanja lain, semua telah jatuh atas tanggungjawab aku seorang berikutan suami perlu memastikan simpanannya mampu untuk memastikan kami masih mempunyai tempat berteduh dan meneruskan usahanya untuk mencari pendapatan seperti dulu.
Kini, semua bil, belanja dapur, kos persekolahan anak-anak tertanggung atas bahu aku.
Suami tidak melepaskan tanggungjawab sepenuhnya atas bahu aku tapi aku tahu dia sendiri pening kepala mencari pendapatan. Apatah lagi dia juga menanggung ibu dan adik di kampung.
Kereta suami juga telah dijual dan dia menggunakan kereta lamanya yang telah bebas hutang.
Daripada household income RM10k kepada RM4.5k…. Disebabkan itu, aku cuba membantu sedaya aku.
Selepas ditolak duit kereta dan rumah, hanya RM2.5k untuk memastikan kelansungan hidup kami sekeluarga dan juga keluarga di kampung.
Itu tidak lagi mengambilkira kos anak-anak yang RM1k sebulan (transit, tadika swasta, duit makan di sekolah, keperluan PDPR).
Tiada lagi duit poket untuk berbelanja. Malahan membawa bekal atau berpuasa setiap hari di pejabat untuk memastikan duit minyak dan tol ke pejabat masih ada, dapur di rumah berasap, bil-bil dibayar agar tidak tertunggak.
Untuk menjual rumah dan menyewa bukanlah sesuatu yang bijak ketika ini disebabkan bayaran ansuran rumah dan kos sewa rumah di lokasi ini tidak jauh bezanya.
Dan tidaklah terdesak sebegitu sekali untuk menjual rumah. Cuma perlu downgrade belanja hidup setakat mana yang boleh.
Itu pendekatan kami. Pada masa yang sama aku dan suami cuba mencari pendapatan tambahan. Belum menampakan kejayaannya lagi tapi insyaAllah usaha tangga kejayaan. Cuma cepat atau lambat. Asalkan hati terus tabah dan kuat.
Ya, aku tau ada lagi manusia yang lagi susah hidupnya. Aku tidak meminta simpati. Cuma meluah rasa dan memohon pintu rezeki suami aku dipermudahkan.
Tidak bermimpi untuk menjadi kaya, cukup sekadar hidup ini tenang tanpa memerlukan berkira pada perkara-perkara asas seharian.
Cukup sekadar mampu menggembirakan hati anak-anak dan orang tua di kampung. Cukup sekadar mampu tidur tanpa risau apa dugaan akan datang esok hari.
Doakan kami sekeluarga. Dan aku juga mendoakan mereka yang diduga dalam kehidupan akan terus kuat dan tenang dalam kehidupan seharian. Aamiin.
– Yang diduga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit