Saya rasa terpanggil untuk menulis di ruangan IIUM Confessions ini setelah saya baca dan amati tulisan seorang Doktor perempuan yang telah ditipu oleh suami sendiri hidup-hidup di media sosial.
Suaminya didapati berselingkuh dan telah ‘pergi jauh’ bak kata Doktor tersebut dengan rakan sekerja suami. Pendek kata, lelaki dan perempuan itu telah menjadi orang paling popular di internet akibat hantaran tersebut.
Saya baca dan saya dapat rasakan emosi wanita itu. Tindakannya mengviralkan semua yang terselindung mungkin bagi kita agak keterlaluan, tapi siapalah kita untuk menghakimi beliau? Hanya yang mengalami sahaja faham.
Dan juga siapalah kita untuk menghukum tindakan bekas suami dan wanita tersebut? Kita tidak berada di kasut mereka, dan tak berada dalam pemikiran mereka untuk memahami atas dasar apa sanggup melakukan perbuatan sedemikian rupa.
Berbalik pada tajuk. Akulah Perempuan Itu. Yang mana satu? Saya ingin mengaku, sayalah wanita luar dan asing yang pernah terjebak dengan cinta suami orang beberapa tahun lepas. Lebih kurang sama premisnya, tempat kerja.
Saya bekerja dalam industri yang mencabar dan rezeki/nasib dikurniakan rakan sepasukan yang sangat toxic dan negatif. Saya rasa keseorangan.
Saya ingat saya begitu tertekan bekerja sehinggakan saya selalu membayangkan keadaan kalau saya sengaja berlanggar dengan kereta di hadapan saya sewaktu memandu, tidur saya tak tenang dan saya tak gembira.
Kehadiran lelaki tersebut adalah penyelamat, dan jujurnya banyak membantu saya dalam hal kerja. Saya dan dia selalu berhubung dan lama-kelamaan makin mesra.
Saya tahu dia suami orang. Sampai masing-masing meluahkan perasaan suka sama suka. Jujur waktu itu saya terduduk, kaki rasa lemah, saya tak pernah mengalami perasaan sebegini kuat.
Tapi tipulah kalau saya katakan yang saya tidak rasa bersalah. Pada masa sama nafsu sibuk terbayang kan si dia, si akal sudah memberi amaran berkali-kali supaya takut dan sedar apa yang saya lakukan waktu itu salah.
Saya sedar semua itu, tapi nafsu yang kuat dan akal lama-lama tenggelam dek rasa ‘sayang’.
Kami sempat pergi makan bersama beberapa kali dan berhubungan melalui media sosial mengeluarkan perkataan Sayang dan Rindu. Kami tidak pernah melakukan apa-apa secara fizikal tapi apa gunanya untuk saya jelaskan hal ini?
Curang tetap curang, baik fizikal atau emosi. Semuanya sekejap sahaja, dan rahsia terbongkar. Waktu tu, perasaan bercampur baur. Malu, sedih, marah… tetapi perasaan yang paling saya tak sangka saya boleh rasakan adalah… LEGA. Akal saya LEGA.
Saya tahu akhirnya saya berani untuk kawal nafsu dan mengaku yang saya SALAH. Saya sudah kecewakan hati seorang wanita yang sanggup berkorban diri untuk keluarga. Itu sudah cukup untuk buat saya sedar.
Saya ambil masa beberapa hari untuk tenangkan hati. Kemudian saya beranikan diri untuk berjumpa dengan Kakak itu di sebuah kedai makan. Saya terus menangis tanpa malu dan saya betul-betul insaf dengan apa yang saya sudah lakukan.
Saya cuba jelaskan situasi saya sebab pada waktu itu saya rasa saya tak boleh disalahkan untuk semuanya tapi… apa gunanya? Saya sudah hancurkan hatinya menjadi beribu kepingan kecil bila saya hantar perkataan Rindu pada suaminya.
Kakak itu sangat baik, lemah lembut dan cantik. Lagi tak sanggup saya dibuatnya sebab waktu itu saya memang layak untuk dimarahi, dicerca, dimaki dan dikeji. Terima kasih Kak, saya takkan lupa itu.
Saya tekad untuk betulkan keadaan. Saya maki lelaki tersebut di media sosial dan hentikan semuanya. Tapi tidak…. Lelaki itu masih lagi mencuba nasib.
Mungkin cara penyampaian saya yang tidak terus menyebabkan salah faham dan lelaki itu masih menganggap ada peluang.
Saya cuba bertahan kerja di situ. Semuanya berakhir apabila Kakak itu menghubungi saya suatu hari secara tiba-tiba untuk dapatkan kepastian adakah saya masih menghubungi suaminya… waktu itu saya faham.
Selagi saya berada di sini, di tempat kerja sama, selagi itu wanita ini tidak akan tenang dan sentiasa curiga walaupun saya sudah putuskan semuanya. Mungkin curiga wanita ini timbul semula akibat perangai suaminya sendiri.
Saya sendiri takut saya akan mengkhianati kepercayaan yang telah diberi. Yang pasti, bila saya sudah bersemuka dengan Kakak itu, saya insaf. Saya masih menghubungi lelaki tersebut, tapi semuanya atas dasar keperluan kerja sahaja.
Tidak ada kata-kata yang melampaui batas lagi dari saya sendiri.
Saya berhenti kerja dengan segera dan drastik. Sebelum saya tinggalkan tempat kerja dan menghalang media sosial kedua-dua suami isteri tersebut, saya sempat mohon maaf sekali lagi. Saya betul-betul menyesal dan tak sepatutnya berlaku perkara sebegini.
Saya doakan agar Kakak tersebut boleh mempercayai semula suaminya dengan tindakan yang saya lakukan.
Begitulah sedikit kisah ringkas hidup saya. Banyak butir-butir yang sengaja saya tinggalkan agar cerita ini ringkas dan mesejnya sampai.
Pengajaran dari kisah saya ini:
1. Saya menyeru semua kaum wanita yang sedang berpacaran dengan lelaki orang, tidak kisah secara emosi atau fizikal, saya percaya dan tahu yang anda semua TAHU apa yang anda buat itu salah.
Percayalah akan gerak hati dan kata akal itu. Cuba melihat semuanya dari kaca mata logik. Berhentilah. Put a stop to it.
2. Lelaki ini boleh tahan cepat perasan juga dan lambat faham. Sampaikan yang anda sudah tidak mahu kepada lelaki itu dengan ayat jelas tanpa berselindung.
Itu sahaja cara untuk buat mereka faham. Jangan berbahasa puitis untuk menjaga hati, nanti akan disalah erti.
Percayalah, saya sudah mengalaminya. Jangan anggap mereka faham dengan ayat double meaning anda.
3. Yang paling penting sekali, setelah anda tekad untuk tinggalkan maksiat, meminta keampunan dari pihak yang berkenaan dan bertaubat, maafkanlah diri sendiri. Ini adalah perkara paling sukar bagi saya. Lepas peristiwa ini berlaku, saya depresi, murung.
Semua perkara buruk yang menimpa diri saya waktu itu saya rasakan seperti bala. Tapi tidak wahai wanita kesayanganku sekalian..
Bila anda cuba untuk betulkan keadaan, tekad untuk berubah dan bertaubat, percayalah…rahmat dan keampunan Allah itu sangat luas.
Bersyukur Allah bagi kita peluang untuk betulkan keadaan dan berhenti sebelum menjadi parah. Percaya yang perbuatan kita lambat laun akan dimaafi oleh pihak yang disakiti, dengan syarat jangan ulangi lagi.
4. Terakhir sekali, jangan kita menghakimi orang sesuka hati. It’s not all black and white. Sesungguhnya kita takkan pernah tahu semua butir hidup orang yang mengalaminya melainkan kita hidup dalam kasut orang tersebut.
Jangan rasa angkuh dengan berfikir perkara sebegini tidak akan terjadi pada anda, sebab siapa kita untuk menentukan masa hadapan dan mengawal hati orang? Semuanya boleh berubah sekelip mata tanpa kita sedar.
Saya bersyukur saya diselamatkan oleh sekelumit iman yang ada waktu itu dan juga akibat amaran oleh Kakak tersebut. Pada semua wanita yang sedang berada dalam situasi seperti saya, Be Brave. Just Say No and Move On. IT’S NOT WORTH IT.
P/S: Kakak, saya sayang Kakak demi Allah. Moga Allah lindungi keluarga Kakak dari segala dugaan.
P/S 2: Kepada lelaki tersebut, harap sudah bertaubat dan eratkan hubungan kekeluargaan. Mungkin saya bukan mangsa yang pertama, tapi biarlah jadi yang terakhir.
– Annonnimoss22 (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit