Assalamualaikum dan hai. Aku seorang isteri, mempunyai seorang anak. Suamiku muda setahun.
Sebelum berkahwin, suami bercadang untuk menyewa tapi silap aku sendiri aku membuka peluang dengan menyatakan tidak kisah tinggal dengan mertua setahun dua demi untuk mencari rumah sewa yang betul- betul sesuai sebelum berpindah.
Dipendekkan cerita, setelah dua tahun berkahwin, aku mengajak suami tinggal berasingan, maka bermula lah macam2 drama dan alasan.
Malah suami menyuruh aku membayar sendiri sewa rumah dan bil utiliti kalau mahu menyewa. Ini kerana aku lebih prefer tinggal sendiri, untuk mendidik suami lebih bertanggungjawab.
Aku akui aku memang buat2 malas, malas masak, malas buat kerja rumah dan buat hanya bila aku rasa ikhlas saja. Aku jadi macam ni sebab orang sekeliling aku.
Alhamdulillah anak aku jenis overly attached, so senang aku nak lepaskan tanggungjawab kerja rumah.
Mak mertua aku awal aku kahwin dulu memang tak masak sangat. Maybe sebab dah terbiasa macam tu dulu waktu bekerja, sekarang dah pencen.
Tetapi bila akulah masak, akulah mengemas, akulah mencuci pinggan mangkuk belanga, aku dah mula kurang masak.
Lebih lagi kadang bahan memasak pun aku sendiri sediakan. Tambah lagi bila time aku masak, aku perasan mak mertua sedang layan HP, kadang berbual dengan orang, kadang melayan Facebook, Instagram dan TikTok.
Dan bila dah makan, tinggal saja di mana dia makan termasuk sampah sarap. Sedangkan, hari-harinya dipenuhi dengan keluar ke sana-sini, bermaksud masih kuat tenaga dan kudrat (selepas PKP) aku terasa seperti diperhambakan.
Selepas PKP, suamiku terkesan dan terpaksa berhenti kerja. Tetapi sampai sekarang, dia masih belum betul2 bekerja buatkan aku bertambah stress. Bila diadu kepada mertua, kata mereka bersabar, ini dugaan perkahwinan.
Dan aku semakin stress bila anak dah lahir, semuanya aku uruskan. Dari bangun pagi, uruskan makan minum, mandikan tukar pampers anak Dan ulang rutin yang sama hingga anak tidur malam. Pendek kata semua berkaitan anak aku buat.
Suami hanya tolong tengokkan anak itupun apabila diminta tolong. Malah keperluan suami juga aku cuba penuhi, makan minum, pakaian, etc. Aku jadi semakin bebal. Perlahan-lahan aku mula kurangkan buat kerja rumah.
Aku bekerja namun gaji tidaklah begitu besar, cukup untuk komitmen kereta, minyak, bil phone dan ada sedikit baki malah tiada simpanan.
Aku mengharapkan sedikit huluran dari suami, tetapi hanya ketika dia berduit sahaja, itupun banyaknya dari bantuan kerajaan. Ya, aku redhakan sahajalah. Apa lagi yang mampu aku buat.
Malah, kebanyakan barang anak hasil duit aku, even pampers bulan2, makan minum anak. Tapi alhamdulillah sentiasa ada rezeki dia, mainan ramai yang belikan, baju pun ada saja yang hulurkan. Ayah dia?
Cuma sekali beri duit RM400 sebelum aku bersalin untuk belikan pakaian newborn dan keperluan yang aku perlukan. Even duit wad aku dan anak aku bayarkan. Pampers? Kalau ada, ada lah, lebih kurang 6 kali setahun.
Aku akui memang mertuaku baik, menghulurkan bantuan saat anak aku demam, pernah mengeluarkan duit ke klinik, ada mengeluarkan belanja barang anak aku kadang-kadang tetapi bukankah itu tugas dan tanggungjawab anaknya?
Jadi perlukan aku merasa terhutang budi atas pertolongan yang dihulurkan?
Yang paling buat aku berubah adalah sikap tidak ingin berubah atau membaiki perangai.
Dari awal aku kahwin, pinggan alhamdulillah angkat tapi letak disinki sahaja sampai aku tegur siapa nak basuh, bukan ada orang gaji di rumah jadi sampai sekarang dia basuh tapi pinggan sendiri sahaja.
Pinggan lauk yang dah kosong pun ditinggalkan. Belum masuk adik ipar lagi, apa yang dimasak, dimakan cuma diletak di sink malah kadang lebih teruk letak sahaja di atas meja makan. Kalau adik aku sendiri dah lama kena marah, kena berleter.
Dan aku jadi berkira-kira sebab mertua tak rasa anak dia bermasalah. Malah tolong kemaskan lagi untuk anak mereka.
Di bilik juga sama keadaan baju dan pakaian, ikut suka sahaja di mana nak letak even atas lantai. Aku biarkan, sebab bagi aku suami dah cukup dewasa, dah sepatutnya reti at least letak tempat yang sesuai.
Aku perasan mertua kurang berkenan dengan aku, dan aku malas nak ambil kisah. Labelkanlah aku ni pemalas kah, penyegan kah, aku tidak kisah.
Laki aku bangun lewat tak perlu pergi kerja, jadi why not aku pun buat benda yang sama, tak perlu buat segala kerja rumah. Btw, aku work from home for now.
Perlukan aku bersikap sama seperti mertua? Ikhlas menolong tanpa berkira?
Bagaimana cara terbaik mendidik suami kalian, jika tinggal bersama mertua seperti aku? Silapkah cara aku? Sedangkan didikanku di rumah bukan sebegitu.
– Lily (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit