Pertama sekali, terima kasih sekiranya coretan ini disiarkan. Perkenalkan diriku, Mar (bukan nama sebenar), berusia akhir 20-an, berasal dari Sarawak.
Sejak kecil, aku selalu berusaha untuk menjadi yang terbaik. Aku selalu berusaha membanggakan ibu dan ayahku. Apa sahaja yang mereka mahu, aku turutkan walaupun kadang-kadang aku tak rela tetapi demi kasihnya aku kepada mereka, aku akur.
Setiap tahun di sekolah menengah aku menerima hadiah dan sijil penghargaan di atas prestasi pembelajaranku yang baik, ibu dan ayahku tak pernah datang walau hanya sekali.
Alasan mereka, sibuk bekerja. Tapi ketika ibu dipanggil Pengetua ke sekolah ekoran masalah disiplin adikku, ibu datang dan hadir tanpa gagal. Begitu juga dengan adik bongsuku setiap kali ada event di sekolah, ibu dan ayah memang berusaha menghadirkan diri.
Sedangkan saat aku masih bersekolah, mereka tak pernah datang. Mereka tak pernah mengosongkan jadual sehari hanya untuk aku.
Ketika rakan sekolah yang lain turun dari pentas disambut senyum tawa keluarga mereka, aku hanya mampu tersenyum hiba. Kerana aku tak pernah merasa diraikan.
Aku membesar sebagai anak gadis yang pendiam, kurang keyakinan, rendah diri. Semua kerana pergerakanku dikawal ketat. Aku dikongkong tidak dibenarkan berkawan. Aku hanya boleh menghadap buku, buku, buku dan buku.
Hendak bercerita soal masalah peribadi dengan ibu? Hendak mengadu soal beban hati dengan ayah? Jawapannya TIDAK.
Aku pernah pengsan dipukul dengan tali pinggang, rotan, ditampar diterajang hanya kerana salam perkenalan dari seorang pelajar lelaki yang ku kenali di sekolah, yang akhirnya sampai ke pengetahuan ibu dan ayah.
Bermula saat itu aku tutup terus social circle aku yang sememangnya tak pernah terbuka luas.
Tamat SPM, aku melanjutkan pelajaran Tingkatan 6 di sebuah sekolah menengah. Pada mulanya aku ingin mendaftar masuk di Aliran Geografi, tetapi aku dipaksa ibu dan ayah untuk masuk Aliran Sastera.
Aku cuba berdiplomasi dan menolak tetapi ibu dan ayah mengugut tidak mengaku anak sekiranya aku melawan. Dan sekali lagi, aku akur. Aku akur lagi dan lagi. Banyak lagi sebenarnya tapi aku cuba ringkaskan cerita semampu yang boleh.
Aku bertemu jodoh awal dengan suami pertamaku. Dan kerana itu pertama kali dalam sejarah hidupku aku melawan kata mereka.
Dan sejak itu layanan yang sememangnya tak pernah elok, menjadi semakin teruk dan buruk. Aku dilayan seperti orang asing di keluarga sendiri. Dicaci. Dihina.
Malah disamakan dengan bab*. Sumpah seranah maki hamun memang dah lali aku terima. Dapat pula suami yang baran. Salah sedikit sahaja, kaki dan tangannya naik sama.
Sebut sahaja mana bahagian tubuhku yang tak pernah lebam, semuanya tidak pernah ketinggalan menjadi sasaran.
Kepalaku dipijak. Dicekik sehingga kehabisan nafas. Tapi bukan itu yang hendak aku ceritakan di sini.
Beberapa tahun berlalu. Sekarang aku telah memulakan hidup baru dengan suami kedua setelah bercerai dengan suami pertama. Puncanya dia main kayu tiga. Waktu aku dapat tahu, aku tak rasa apa-apa. Aku tak marah. Aku rasa kosong.
Sebab hati aku memang dah lama penuh dengan luka sejak kecil sampai sekarang. Luka yang dia beri dah tak jadi kudis buat aku.
Jadinya, aku tak rasa apa-apa dengan perbuatan bekas suamiku itu. Aku minta cerai. Dan kembalilah aku hidup semula bersama keluargaku sehinggalah aku bertemu dan berkahwin dengan suamiku yang sekarang.
Konflik dengan ibu dan ayah makin meruncing. Aku berusaha sebaik mungkin nak ambil hati mereka. Pandang sedikit sahaja pun tak apa, itu sudah lebih dari cukup. Tetapi masih sama.
Hingga kadang-kadang aku rasa menyesal dengan keputusanku berhenti belajar di peringkat Diploma semata-mata ingin menjaga ibu dan ayah yang ketika itu sedang tidak sihat.
Ibu baru selesai menjalani pembedahan membuang hempedu, dan ayah menghidap sakit buah pinggang kronik.
Aku ambil keputusan tidak melanjutkan pelajaran sebab aku tak mahu ibu dan ayahku tidak terurus. Aku pekakkan telinga apabila terdengar desas desus tidak enak tentang tindakanku berhenti belajar.
Tapi ibu dan ayah tak pandang itu semua. Pada mereka, aku hanya anak sulung yang bermasalah.
Ayah pernah kata dia menyesal aku lahir sebab aku anak yang menyusahkan, aku tak pernah menyenangkan hati mereka, aku tak pernah buat mereka bangga. Aku kakak yang tidak boleh dijadikan contoh untuk adikku.
Ya, aku tahu aku salah dan aku pernah khilaf dalam memilih keputusan, tapi adilkah aku dibenci hanya kerana sekali sahaja aku melawan kehendak mereka?
Sekarang, setiap masa tindakan ku berhenti belajar itu diungkit. Dikatakan aku anak yang memalukan keluarga. Bukan hanya ayah, malah ibu juga sama.
Di depan orang lain, ibu selalu kata dia tak pernah bezakan kasih sayang antara kami adik beradik. Tapi pada aku yang merasa, ungkapan itu sudah tiada makna.
Aku tak pernah minta dilahirkan. Aku tak pernah minta kehidupanku diuji begini. Aku tak pernah minta hidup seperti ini.
Petang tadi, aku hampir sahaja membuat keputusan membunuh diri selepas bertengkar dengan ibu dan ayah, ditambah adanya pula ibu saudara yang menjadi batu api, yang mengapi-apikan kemarahan ibu dan ayah terhadapku.
Andai sahaja satu-satunya anak perempuan yang aku ada tidak menghampiriku, mungkin sekarang aku sudah tak bernyawa.
Orang lain lihat aku ketawa. Hidup aku seakan bahagia. Aku anak orang berada. Ya, itu kata mereka. Tapi aku setiap hari, aku berperang melawan perasaan ingin bunuh diri yang amat kuat. Setiap kata-kata yang dilontarkan seakan belati tajam yang menghiris.
Sering kali diungkit aku hanya menghabiskan beras, tidak ada guna. Layak mati sahaja. Begitu rendahkah nilai nyawaku di mata orang yang melahirkanku dahulu?
Hendak bekerja, tiada sesiapa sudi menjaga anakku termasuk mereka. Hendak berniaga online, rangkaian perkhidmatan di sini hidup segan mati tak mahu.
Dan sekarang aku dengan suamiku sedang berusaha menyiapkan rumah untuk keluarga kecil kami. Kecil pun tak apa. Kosong pun tak apa.
Bukan aku kejam mementingkan diri sendiri keluar daripada rumah keluargaku, sebab aku rasa sudah sampai masanya aku mementingkan diri sendiri.
Selama ini aku selalu meletakkan mereka dalam kepentingan utama, setelah itu baru anak dan suamiku. Kini, aku mahu sedikit menjauh.
Bukan aku benci tapi saat ini aku rasa inilah keputusan terbaik. Aku sayang ibu dan ayah sangat-sangat walaupun mereka tak pernah nak pandang aku walau sebelah mata. Aku berterima kasih sebab sudi melahirkan dan membesarkan aku.
Aku sayang adik-adikku. Mungkin dengan cara ini aku boleh dapat ketenangan hati. Aku tak nak kebencian ini menjalar menjadi dendam.
Aku tak nak. Sebab aku sayang ibu dan ayah sangat-sangat.
Kalian tahu tak apa yang paling aku ingin dalam dunia ini?
Aku teringin sangat nak peluk ibu dan ayah seerat mungkin. Aku nak sangat tengok senyuman ikhlas mereka pada aku, sama macam mereka tersenyum pada adikku. Aku nak sangat ibu belai pipi dan rambut aku sama macam dia belai adik aku.
Aku nak sangat ayah bergurau senda dengan aku macam dia buat dekat adik aku. Tapi aku tahu semua itu tak akan berlaku dan tak mungkin berlaku. Tak apalah.
Aku sudah berjanji pada diriku sendiri aku tak nak anak aku rasa pengalaman yang sama. Aku tak nak anak aku rasa macam apa yang aku rasa.
Aku tak nak anak aku membesar dengan perasaan takut kepadaku. Aku tak nak anak aku takut berkongsi rahsia hatinya denganku.
Aku tak nak anak aku takut buat kesilapan kerana takut akan kemarahan aku. Aku tak nak anak aku juga merasai semua ketakutan itu. Aku nak anak aku jadi dirinya sendiri.
Aku nak jadi kawan dan juga ibu untuk anak aku. Aku tak nak aku gagal jadi ibu makanya aku putuskan tidak mahu mengandung lagi.
Cukuplah hanya seorang sahaja anakku. Biarlah kasih sayangku hanya tertumpah untuknya seorang.
Tapi normalkah perasaan selalu ingin bunuh diri ini? Aku mohon doa dan sokongan kalian yang membaca, bukan kecaman. Aku hanya mahukan sedikit kekuatan. Terima kasih.
– Mar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit