Assalamualaikum hai. Saya Sya. 26 tahun. Pengikut setia IIUM Confession. Single but not available.
Sepanjang saya mengikuti luahan-luahan di sini, saya dapati banyak sekali mereka yang ditimpa pelbagai dugaan dalam rumahtangga. Saya sangat simpati dengan kisah kalian para confessor.
Dan saya selalu doakan moga kalian dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi dugaan tersebut dan meneruskan kehidupan ini.
Saya pasti di hujung dugaan itu pasti ada hikmah yang menanti buat kalian. Bukankah matahari tak pernah jemu menyinari walau betapa kelamnya malam yang baru saja menyelubungi?
Tujuan saya menulis ini untuk menyampaikan sudut pandang saya sebagai seorang bujang.
Kisah-kisah rumahtangga yang dicoretkan di sini banyak pengajarannya yang boleh saya dapati. Terutamanya agar membuat pilihan yang sebaiknya sebelum memilih suri hati.
Namun begitu, terujanya saya mengikuti kisah-kisah ini pernah membuatkan saya diselubungi ketakutan ngeri.
Dan ia membuatkan saya memiliki satu pandangan yang tak berapa positif pada alam rumahtangga ini.
Sampailah saya pernah rasa, mungkin hidup sendirian lagi baik, daripada meletakkan diri dalam risiko menghadapi pelbagai masalah rumahtangga ini.
Sampailah suatu hari saya terjumpa post Bro. AA yang menjawab persoalan apa yang saya rasa iaitu takut untuk berkahwin akibat dari mendengar kisah-kisah ngeri perkahwinan dan pasangan (boleh ikuti webinarnya Siri Kawin Live).
Jawapannya ringkas cuma. Di sini saya nyatakan apa yang boleh saya ringkaskan.
Adakah semua perkahwinan itu buruk? Tidak.
Tidak semua perkahwinan itu diduga sebegitu. Banyak saja contoh rumahtangga yang berjaya bahagia. Kenapa tidak diambil contoh yang ini?
Terpukul saya dengan jawapan itu. Betul kata Bro AA. Kita yang memilih apa yang kita ingin ia masuk di dalam kepala (input). Jika hanya bacaan yang negatif saja yang kita pilih, maka negatiflah outputnya.
Jadi, adakah kita tidak boleh membaca luahan yang membuat kita berfikiran negatif itu?
Boleh. Pasti boleh.
Tapi kita mesti pandai balancekan. Jangan hanya mendengar kisah-kisah yang begitu saja. Cari juga kisah-kisah yang bahagia berjaya.
Barulah emosi kita juga stabil gembira.
Jadi, saya yang mewakili pihak bujang yang takut untuk berumahtangga menyeru kepada para pembaca budiman sekalian yang sudah berkahwin, yang sudah memiliki anak dan cucu.
Marilah, kongsikan juga kisah bahagia kalian. Kami amat memerlukannya agar ruangan ini menjadi warna-warni seindah pelangi, tidak hanya kelam diselubungi kisah duka suami isteri.
Di sinilah medannya. Tiada siapa tahu identiti kalian. Tiada sebab untuk kalian dituduh bongkak ujub mahupun menunjuk-nunjuk.
Malah pasti pahala menjadi milik kalian kerana telah membenihkan harapan buat kami para bujang bahawasanya kami juga boleh berumahtangga bahagia, persis kalian.
Bayangkan kebaikan yang berpanjangan yang akan kalian perolehi dari coretan kalian. Dengan asbab tulisan itu, berpuluh pemuda bujang menyimpan harapan suci ingin berumahtangga.
Beratus pemudi hilang ketakutannya mendengar celoteh kalian.
Bukankah siapa yang menunjukkan satu kebaikan akan memperoleh pahala sama seperti orang yang melakukan ajarannya itu?
Ayuh. Mulalah. Kongsikanlah.
– Sya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit