Aku penat, terlampau penat. Aku penat jadi seorang penyokong kepada lelaki yang aku gelar dia suami. Silap aku dari awal perhubungan.
Terlampau memberi peluang dan ruang. Terlampau mudah kasihan. Terlampau pemurah hingga aku ketepikan keperluan diri aku.
Seawal perjumpaan kali ketiga, aku dah bermurah hati meminjamkan wang. Fikirku mungkin kali itu memang dia betul-betul terdesak.
Dan bermulalah setiap bulan, dia tak pernah terlepas untuk meminjam duit dariku. Alasan demi alasan, aku juga dengan mudahnya mempercayainya.
Hingga tahun ke- 5 bersamanya, aku mula merasa diperguna. Adakah dia hanya mahu pada aku kerana wang.
Gaji bulanannya tidak pernah cukup sedangkan dia tidak mempunyai komitmen yang banyak. Tapi masalah utamanya kerana dia suka meminjam.
Setiap kali gaji, separuh daripada gaji digunakan untuk membayar hutang pada awal bulan.Dan bila tiba hujung bulan, seperti kebiasaan, meminjam adalah satu kebiasaan.
Jadi hutang-hutangnya tak pernah habis. Berlarutan bulan ke bulan.
Setiap kali dia membeli motor atau apa komitmen bulanan lain, dia tak pernah habis membayarnya. Jadi tunggakan demi tunggakan membuatkan namanya di senarai hitam.
Hingga aku juga terikut dengan kebiasaannya. Gajiku hampir habis membantunya melangsaikan hutang.
Jadi aku juga mula meminjam dengan agensi-agensi berlesen. Jika tiba hari gaji, kebiasaannya orang gembira, tapi aku terseksa kerana gajiku banyak digunakan untuk hutang dan komitmen tetap yang lain.
Aku tak tahu mana salahnya, i sinar, i-citra, i -lestari turut kami berdua keluarkan. Sangka ku mampulah memudahkan. Namun perkara yang sama juga.
Adakah rezeki ku tidak berkat. Duit kahwin serta hantaran, kononnya berkongsi seorang setengah, tapi ku hitung balik, hanya suku saja duitnya.
Ku kira selepas berkahwin ,mungkin lebih murah rezeki, tapi aku merasa sebaliknya.
Barang kemas yang dibeli ketika berkahwin, aku gadaikan kerana aku tak mahu dia menambah hutang lagi.
Dia selalu meminta aku bersabar, dia selalu meminta maaf kerana tak dapat buat aku hidup selesa. Itulah kelemahanku. Aku mudah memaafkan.
Makin lama aku mula bersikap agresif dan perkataan-perkataan yang keluar banyaknya menyakitkan hati.Perlian juga sudah jadi makanan dia setiap hari.
Aku berdosa sebagai isteri, kerana melukakan hati dia. Tapi hati aku. Penat aku. Hendak aku luah pada ibu bapa ku pun tak boleh kerana aku berusaha menjaga aibnya.
Aku sentiasa memuji suamiku yang memberi duit belanja dan membeli barang-barang. Tapi hakikatnya, aku hanya berpura -pura.
Kadang-kadang ketika seorang diri, terlintas di fikiran, kalau aku tidak berkenalan dengan dia, pasti aku hidup senang. Pasti aku dapat merasa gaji hasil susah payah aku bekerja sepenuhnya.
Mungkin aku juga dah mempunyai aset-aset lain. Adakah aku menyesal? Aku penat, dalam hati dan fikiran, hanya hutang yang aku fikirkan.
Aku cuba cari pelbagai cara untuk tambah pendapatan.
Aku tulis kali ni hanya untuk mencurahkan rasa hati, sebab kalini aku terlampau merasa beban dan penat. Menangis seorang diri dah menjadi peneman bila aku seorang diri.
Aku tahu ramai yang akan mengecam aku kerana terlampau mudah memberi duit kepada dia. Tak apa, aku tahu memang itu kenyataannya.
– Dayang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit