Assalammualaikum. Terima kasih sebab sudi baca cerita aku ni. Dah lama aku karang dan letak dalam draft email aku sebab masa tu aku masih lagi mencari kekuatan nak “paste and send”.
Izinkan aku kenalkan diri. Aku D, berumur awal 30, berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Aku surirumah sepenuh masa.
Suamiku bekerja 8am hingga 5pm macam orang lain. Hari cuti suamiku rajin buat “side income” jadi rider.
Iyalah duduk di Kuala Lumpur ni kalau nak harapkan makan gaji je memang tak kemana. Kenapa aku tak bekerja?
Suami aku minta aku duduk dirumah untuk jaga anak anak. Alhamdulillah semua cukup suami aku bagi sebabtu aku tak membantah apa pun.
Berbalik kepada tajuk. Sakit ke aku ni? Tahun lepas (2021) aku diuji pelbagai masalah. Rumahtangga, keluarga. Terlalu banyak sampai terlalu padat untuk diproses dalam kepala.
Aku sunyi. Hidup aku hanya dirumah dengan anak anak. Kadang kadang ada la suami aku bawak keluar. Tapi aku tetap rasa sunyi.
Cerita pasal masalah rumahtangga aku. Suami aku kantoi curang. Cliche kan? Segala macam “dating apps” aku jumpa dalam handphone dia.
Mengaku bujang, mengaku duda. Semua cukup. Sakit, perit. Memang. Bila aku confront suami aku, dia cakap cuma cari teman nak berborak. Tak lebih dari itu.
Bukan sekali aku jumpa. Banyak kali dah sebenarnya. Aku minta suami aku lepaskan aku tapi dia tak nak.
Semua benda yang dia buat tu jadi luka dalam diri aku. Aku cuba pulihkan diri sendiri, tapi makin lama luka tu makin dalam. Kenapa aku tak cabut lari ke?
Wahai pembaca yang budiman, aku pasti akan ada antara kalian yang tanya.
Perkahwinan tak semudah itu. Tak semudah kalau kita tak suka, kita boleh lari. Lagi lagi bila kau ada anak. Banyak perkara nak kena fikir.
Aku pulak bukan jenis orang yang give up. Aku nak tolong suami aku betulkan “habit” buruk dia. Takkan sampai tua dia nak macamtu.
Baikkan aku?
Tapi lama lama aku mula soal diri sendiri. Sampai bila?
Aku tak mampu nak luahkan ni pada sesiapa, termasuk mak aku atau kawan baik aku sendiri sebab aku taknak air muka dia jatuh.
Aku tak suka bila orang hilang hormat pada dia. Suami aku bukan orang jahat. Dia tak pernah pukul aku.
Nafkah cukup kadang kadang terlebih. Peti ais sentiasa penuh, keperluan anak anak dia ikuti. Cuma satu je masalah dia, perempuan.
Bila makin lama aku pendam, aku makin rasa diri tak sihat. Aku mula cakap sorang sorang.
Setiap kali aku stress aku tengah bergaduh dengan dia, akan ada suara yang datang seolah olah ajak aku bersembang.
Bila habis aku cerita semua dengan siapa yang aku pun tak tahu tu, aku akan rasa lega. Sakit ke aku ni?
Aku tak boleh tengok handphone suami aku. Nak pegang pun aku tak boleh. Aku automatik boleh jadi seram sejuk.
Badan sejuk macam baru keluar dari ais, tangan menggeletar, jantung laju, perut memulas rasa nak muntah. Sakit ke aku ni?
Aku berterima kasih dekat IIUM Confession. Sebab boleh aku bercerita sebagai “anonymous”.
Jadi aku nak tanya, apa aku perlu buat? Aku tak tahu mana nak tuju atau pergi?
Kalau sesiapa yang tahu, tolong lah bantu aku. Aku cuma nak tahu, sakit ke aku ni?
– D (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit