Impian Yang Tertangguh

Sedikit pengenalan tentang diri aku, nama aku Jiwa (bukan nama sebenar) wanita berusia lewat 30-an, bekerja tetap, mempunyai anak 2 orang dan baru sahaja menggalas gelaran ibu tunggal.

Sedih? Tidak sama sekali.. lebih sedih bila fikirkan kenapa aku tidak buat keputusan seawalnya.

Aku berkahwin pada usia 23. Terlalu muda kalau nak diikutkan. Tak sempat sambung belajar pun. Awalnya lepas SPM nak kerja dulu sambil kumpul duit sebab aku ada 2 orang lagi adik yang masih bersekolah.

Mak aku ibu tunggal, abang aku masa tu dah kahwin dan ada anak, jadi aku ambil keputusan untuk bekerja dulu sambil bantu emak sara adik yang masih bersekolah.

Tapi selepas 2 tahun bekerja di pasaraya, aku ditawarkan pekerjaan dalam sektor kerajaan. Rezeki barangkali, aku terus terima dengan harapan ada peluang untuk sambung belajar.

Ya, aku sangat teruja untuk sambung belajar sebab keputusan SPM aku sangat baik untuk disia-siakan. Aku tanam niat, lepas dah ada kerja tetap, bolehlah mohon untuk lanjutkan pelajaran secara part-time.

Tapi tak lama lepas tu, aku berkenalan dengan seseorang di tempat kerja baru. Aku namakan dia Naf. Naf seorang yang berpewatakan sangat kemas dan menarik walaupun gred dia sama saja dengan aku, SPM level.

Mulanya kami sekadar berkawan baik tetapi lama kelamaan timbul perasaan lebih mendalam dan akhirnya kami ambil keputusan untuk berkahwin.

Perkahwinan yang pada awalnya sangat indah, yang menjadi idaman setiap wanita. Naf seorang lelaki yang sangat sayangkan emaknya.

Segala kemahuan emaknya diturutkan tanpa ada rungutan. Adik beradik Naf lebih ramai perempuan, hanya Naf seorang anak lelaki.

Jadinya, tanggungjawab Naf tehadap emaknya lebih utama di bahunya.

Selepas 4 tahun berkahwin, kami dikurniakan sepasang zuriat. Pada aku, sangat sempurnya perkahwinan kami kerana semuanya seperti dirancang.

Cuma impian aku untuk sambung belajar masih terpendam kerana kehadiran 2 orang cahaya mata yang telah memenuhkan komitmen aku pada waktu itu.

Tapi aku tak kecewa sebab apa yang aku peroleh pada waktu itu, semuanya rezeki. Aku sangat bersyukur dengan Naf yang sangat sayangkan aku dan anak-anak. Naf seorang yang sangat romantik, lelaki idaman wanita.

Aku kehilangan ayah pada usia 15 tahun, jadi bila dikurniakan Naf, aku fikir dialah pengganti ayah kerana kasih sayang Naf pada aku sangat banyak aku kira. Ya, sangat bahagia pada waktu itu.

Sehingga pada satu hari, kami berpindah dari rumah sewa ke rumah yang baru kami beli. Rumah tersebut merupakan pilihan Naf, dekat dengan tempat kerja dan kami biaya rumah tersebut secara join loan di bawah pembiayaan kerajaan.

Di kawasan perumahan tersebut, ramai juga kawan sepejabat kami yang turut membeli di situ. Antaranya kawan-kawan yang sangat rapat dengan Naf, adalah dalam 3-4 orang.

Naf seronok sebab setiap hari dapat melepak bersama kawan-kawannya, buat aktiviti bersama dan aku pula mula berniaga secara sambilan dengan membuat kuih tradisional.

Aku buat secara sambilan di rumah sambil menjaga anak 2 orang, sedang Naf ketika itu juga makin sibuk dengan aktiviti luar bersama kawan-kawan. Aku cuba untuk dapatkan duit lebih sebab aku masih ada 1 impian yang tertangguh yang aku ceritakan di atas.

Makin selesa agaknya, sebab semua yang dirancang Allah permudahkan segala. Naf mula berubah. Makin kerap melepak sampai ke subuh.

Perangainya juga sudah mula berubah. Culas dalam kerja-kerja rumah, culas dalam memberi nafkah. Bertengkar mulut tu dah tak ingat nak kira. Makin hari ada saja perkara yang nak digaduhkan. Tak buang sampah, baju kotor bersepah, tak sempat nak masak..

Mungkin masa tu aku dah terlampau penat sebab bekerja, menguruskan anak, ambil tempahan kuih dan aku seoang uruskan segala. Segala hal remeh buatkan aku stress.

Aku hilang seorang ‘kawan baik’ sebab selama ini Naf memang jadi tempat aku meluah segala stress dan kekusutan dalam kepala. Dah lama tak ada urutan kepala dari Naf.

Dah lama tak spend time dengan Naf, keluar mengopi berdua, melayan movie kegemaran kami, food hunting makanan kegemaran aku.

Dah lama tak ada semua relief element, dan aku makin burn out kerana makin disisihkan saban hari. Dan kelakuan Naf juga berubah menjadi seorang yang panas baran dan beberapa kali dah naik tangan kat aku.

Disebabkan prestasi kerja Naf pun semakin teruk, aku tak berdiam diri. Aku cuba cari punca kenapa Naf berubah secara drastik. Selalu tak hadir ke pejabat tanpa alasan.

Kadang-kadang lepas punch card dia terus hilang, tahu-tahu ada kat rumah sedang tidur dan tidurnya seperti orang mati. Ye lah, melepak sampai ke subuh, kadang-kadang balik hanya untuk mandi dan pergi punch card saja.

Aku mula siasat handphone Naf.. dari situ lah aku dapat tahu yang Naf dah terjebak dengan dadah. Dadah sintetik yang orang panggil ice / syabu. Kecewa, rasa macam ada jarum mencucuk ke jantung. Padanlah setiap kali bergaduh, dia macam orang gila, macam orang hilang akal belasah aku.

Bila keadaan dah reda, aku tanya kenapa buat aku macam tu, mati-mati dia menafikan yang dia pukul aku. Katanya nafsu marah yang terlampau mengawal emosi dan kelakuan hingga dia tak sedar apa yang dia dah buat.

Berulang-ulang dia minta maaf dan aku maafkan. Aku tak pernah buat report polis sebab alasan yang sangat cliché dalam isu rumah tangga – dia akan berubah, aku sayangkan perkahwinan, aku malu dengan orang sekeliling dan semua alasan yang membawa sesalan.

Makin lama, keadaan makin buruk. Aku yang dari awal dah mula burn out dengan jutaan beban di bahu, makin stress dengan perangai Naf yang tak nampak perubahan. Masa tu aku bodoh, tak tahu lagi kesan-kesan akibat penggunaan syabu ni.

Naf selalu yakinkan aku, yang dia dah kurang ambil syabu, dan akan berhenti tak lama lagi. Aku yang bodoh selalu saja percaya kata-kata dia sampailah duit simpanan yang aku simpan demi impian aku, Naf ambil senyap-senyap. Simpanan aku kosong!

Makin teruk keadaan rumahtangga kami. Makin meninggi hutang kami sebab Naf dibuang kerja kerana disiplin yang makin teruk. Tinggal aku yang berjuang untuk selamatkan rumahtangga yang makin hari makin musnah.

Solat aku makin banyak, solat sunat pun makin terisi dengan harapan dapat meredakan semua kekusutan dan sebagai talian hayat untuk aku survive. Hanya Allah yang aku harapkan waktu itu.

Aku baca semua kata-kata motivasi, aku ambil semua nasihat yang ada dalam mana-mana laman media sosial.

Waktu tu tindakan yang aku ambil hanya untuk menaikkan semangat aku untuk berjuang. Aku berusaha pulihkan diri sendiri yang rasanya semakin ‘sakit’ tanpa ceritakan pada sesiapa termasuklah ahli keluarga aku.

Aku masih dalam fasa ‘semuanya akan ok’. Tapi sebenarnya tak. Kelakuan Naf makin tak masuk akal. Saat aku solat tahajud, rupa-rupanya Naf sedang berparti dadah dengan kawan-kawannya di garaj kereta rumah aku.

Aku yang naik angin, terus halau semua balik. Aku tak sangka Naf akan mencemarkan rumah kami dengan aktiviti macam tu, aku sangat kecewa.

Esoknya, aku macam orang hilang jiwa.. aku mula menangis tanpa henti. Aku rasa sangat penat dan ‘sakit’ pada ketika itu.

Hampir 2 minggu aku tak tidur dan kerja aku hanya menangis. Pergi kerja menangis, dekat rumah, menangis. Aku hentikan semua tempahan kuih muih. Aku mengurungkan diri.

Aku mohon cuti panjang, tapi aku tetap hantar anak-anak ke pengasuh setiap pagi. Aku cuma nak me-time.

Aku ingat lagi, aku drive kereta dalam keadaan menangis macam orang gila tak tahu mana hala. Tahu-tahu dah sampai tol, dan baki aku tak mencukupi. Baru aku sedar aku dah drive terlalu jauh di tempat yang aku tak pernah lalui.

Naf masa tu bersungguh-sungguh minta maaf, merayu, berjanji, bersumpah untuk berubah. Cerita yang sangat cliché kan? Tapi ketika itu, aku hanya diam, tak bercakap apa-apa. Aku buat silent treatment. Dan Naf perasan keadaan aku ketika itu yang seperti mayat hidup.

Perubahan aku juga disedari oleh seorang kawan pejabat aku. Dia cadangkan aku untuk pergi berjumpa doktor untuk dapatkan nasihat masalah aku yang tak dapat tidur hampir 2 minggu lamanya.

Dan dari situlah aku dirujuk ke bahagian psikiatri hospital kerajaan. Dan ya, psikiatris telah sahkan aku menghidapi Major Depressive Disorder.

Aku kemurungan yang melampau. Berat badan aku susut sebanyak 5kg. keadaan aku seharian hanya ingin menangis saja. Aku cuma normal bila berdepan dengan anak-anak saja sebab aku cuba sedaya upaya untuk tidak memberi kesan kepada mereka.

Aku diberikan ubat anti depressant dan juga ubat sedative untuk bantu aku tidur setiap malam. Aku harungi kemurungan aku sendirian di samping anak-anak.

Akhirnya, adik aku dapat tahu tentang penyakit MDD aku sebab dia terjumpa buku rawatan aku dalam kereta. Dari situlah keluarga aku dapat tahu segala-galanya yang aku sembunyikan selama hampir 10 tahun usia perkahwinan.

Lebih mengejutkan, rupa-rupanya abang aku dah tahu tentang ketagihan Naf dengan syabu lebih awal sebab dia banyak kali terjumpa peralatan menghisap syabu sewaktu berkunjung ke rumah aku.

Tapi dia cuba bersangka baik, mungkin ketagihan Naf tak seteruk mana memandangkan aku pun sangat cemerlang menjaga aib rumahtangga kami.

Naf? Masih tak serik-serik.. masih berterusan dengan syabu walau dah melutut sembah mohon maaf berjuta kali. Tapi aku dah makin bijak, aku explore segala-galanya tentang syabu. Aku kaji kesan-kesan pengambilan syabu, tingkahlaku, perubahan fizikal, dan peralatan yang digunakan.

Walau Naf menafikan yang dia ada mengambil syabu, aku tetap tahu berdasarkan keadaan tingkahlaku dia sepanjang berada di bawah pengaruh syabu. Aku jugak dapat tahu tempat-tempat biasa dia sembunyikan syabu kat rumah.

Check saja dalam bilik air, belakang cermin, dalam pam jamban, bingkai tingkap tandas, dalam beg kerja, dalam straw, dalam kotak rokok, dalam balutan aluminium, balutan surat khabar, paket plastik kecil lutsinar, aku akan jumpa dan aku rekodkan segalanya jadi bahan bukti.

Aku simpan semuanya di dalam 1 folder yang aku sembunyikan dalam e-mel rahsia.

Dan akhirnya aku buat keputusan, tuntut cerai. Macam biasa, Naf tak boleh terima kenyataan. Dituduhnya aku ada hubungan sulit dengan lelaki lain.

Tapi semuanya aku diamkan saja, tak menjawab pun tuduhan tersebut sebab aku dah sedia maklum , memang begitulah otak manusia yang dah rosak disebabkan syabu.

Dia mula hasut ahli keluarga dia dengan cerita-cerita yang tak masuk akal dan aku sedia maklum akan keadaan tu. Aku diamkan semua.

Melihatkan aku yang nekad dan langsung tak mengalah, dia merayu lagi dan berjanji untuk berubah, tapi kali ni aku katakan yang aku dah tak terima lagi segala pujuk rayu mahupun janji.

Aku mula buat tuntutan fasakh di mahkamah. Segala bukti-bukti pengambilan syabu aku simpan dan aku lampirkan dalam tuntutan aku.

Cumanya, selama dia pukul aku, aku langsung tak ada laporan polis, kebodohan yang paling banyak para isteri lakukan atas alasan kasihan dan mengharapkan perubahan dari seorang penagih dadah.

Ya, dia tak akan berubah kerana aku mula sedar, betapa teruknya kesan pengambilan syabu / ice ni pada seseorang.

Dia merubah keseluruhan hidup aku, jadikan suasana keluarga yang awalnya sangat bahagia kepada suasana yang sangat toksik, dia buatkan aku menghidap MDD, dan dia mula berhalusinasi tentang aku bahawasanya aku menjalinkan hubungan sulit dengan ramai kawan pejabat.

Satu persatu kepercayaan aku dia hancurkan.

Setelah hampir setahun aku turun naik mahkamah bagi perjuangkan tuntutan cerai, akhirnya perkahwinan kami dibubarkan atas segala bukti ketidakbertanggujawaban Naf. Ahli keluarga Naf yang tak dapat menerima kenyataan, mula memprovok aku bertubi-tubi.

Dikatanya aku membuka aib Naf di merata tempat, aku punca Naf stress sampai ambil dadah. Aku diamkan saja dan menjauhkan diri dari semua ahli keluarga Naf yang pada aku, langsung tak membantu aku saat aku perjuangkan hak aku.

Dan aku pulang ke pangkuan keluarga aku bersama anak-anak. Aku disambut dengan sangat baik dengan sokongan yang sangat luar biasa.

Ahli keluarga aku semua sepakat untuk bantu aku bangkit semula dari segi kewangan dan nasihat di samping aku teruskan rawatan MDD.

Dan di saat aku sedang menaip cerita ini, hati aku sangat lapang dan tenang.. aku baru saja terima e-mel dari sebuah universiti, sebuah berita bagi impian aku yang tertangguh selama ini – surat tawaran melanjutkan pelajaran.

Walaupun tak dapat mohon bidang yang aku idamkan dahulu, tapi aku bersyukur kerana course yang ditawarkan sangat berkaitan dengan bidang tugas aku ketika ini.

Alhamdulillah.. nikmat apa lagi yang hendak kau dustakan. Segala sakit perit yang aku lalui bersama Naf juga merupakan nikmat. Nikmat berjuang yang tiada henti walau hilang hampir seluruh jiwa ini.

Dan setiap kali aku baca luahan para isteri tentang suami yang kaki dadah dan kaki pukul, aku sangat berharap kalian dapat membuat pertimbangan sewajarnya.

Tiap kali kalian tanya apa yang perlu dilakukan, nak saja aku komen, melangkah dan tinggalkan suami begitu kerana harapan yang ada hanya harapan palsu saja.

Otak mereka dah tak waras . Lihat saja berita-berita yang mengaitkan si kaki dadah – syabu a.k.a methamphetamine. Jika benar mereka ingin berubah, serahkan saja pada pusat pemulihan.

Aku percaya, ada kaki syabu yang berjaya tinggalkan ketagihan mereka kerana sayangkan ahli keluarga dan jika benar, bukan kalian seorang saja yang perlu berjuang, seharusnya suami dan isteri itu yang perlu berjuang bersama-sama, bukan bertepuk sebelah tangan.

Aku nekad tinggalkan Naf sebab aku tahu, aku takkan dapat semula diri Naf yang dahulu walaupun dia tinggalkan syabu. Dan aku tak pasti sampai bila memori hitam yang aku lalui akan bersarang dalam kepala.

Dan kerana aku tahu, kami takkan jadi seperti dulu. Doakan semoga aku berjaya tempuhi alam baru bersama impian yang tak akan tertangguh lagi.

Love yourself.

– Jiwa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *