Kenapa Tanam Harapan Palsu

Salam semua. Aku hanya ingin meluahkan kekecewaanku di tempat kerja. Jabatan tempat ku bertugas pernah dijalankan seliaan mutu perkhidmatan.

Datanglah pegawai-pegawai berkenaan mengkaji sepelosok jabatan kami. Biasalah kerja mereka begitu, semua orangpun tahu.

Sampailah pula giliran tugasku diselia. Sebelum seliaan dijalankan, ketua jabatan sebaik mungkin menguar-uarkan keistimewaanku dalam jabatan kami, bahawa aku telah menerima latihan yang unik berbanding rakan-rakan sekerja yang lain.

Aku sebenarnya tidak gemar diriku diangkat sebegitu rupa, sementelahan selama ini memang aku low profile dalam menjalankan tugasan,

Dan hanya bersama rakan-rakan yang aku boleh bekerjasama dan mereka sememangnya boleh menerima cadangan-cadanganku berkaitan tugasan kami selama ini.

Seusai seliaan, salah seorang daripada pegawai bertugas telah memanggilku untuk diberi bimbingan. Akupun berbincang dengan beliau dan bersetuju dengan cadangan-cadangan penambahbaikan yang diutarakan olehnya.

Sebelum perbincangan, beliau ada bertanya serba sedikit tentang latihan yang telah disebutkan tadi, dan akupun memberi sedikit penerangan yang berkaitan.

Aku agak berkeyakinan apabila beliau bersetuju dengan beberapa kaedah yang telah kujalankan.

Namun, aku agak kesal kerana semasa sesi perbincangan itu, aku tidak dimaklumkan olehnya dengan jelas, yang mana satukah bahagian yang beliau tidak dapat bersetuju dengan kaedah yang aku telah jalankan.

Sebaliknya, aku cuma mengetahui kritikan demi kritikan di khalayak umum bersama dengan kakitangan lain dalam jabatan kami itu.

Malahan pula rupanya sebahagian kaedah yang disebutkan tahniah kepadaku, rupanya dikritik sebagai sebahagian kelemahan dalam tugasan. Sudahlah banyak kritikan, ditambah pula dengan diberikan penilaian rendah.

Aku kira begitulah natijahnya. Tapi bayangkanlah ya, seorang kakitangan yang tadinya dipuji melambung oleh ketua jabatannya, kini apakah pencapaian kakitangan itu? Itulah perasaanku, sungguh menyedihkan.

Mungkin juga pegawai penilai itupun terfikir hal yang sama, memikirkan bahawa kakitangan ini iaitu aku sebenarnya lebih bawah dari biasa, pencapaian di bawah par walaupun awalnya tadi bersungguh dipuji oleh ketua jabatan.

Perkara-perkara baik yang telah beliau bersetuju telah aku laksanakan dengan baik tadi semuanya hilang.

Aku berasa pujian-pujian tadi hanyalah sebagai gula-gula yang menarik perhatianku jauh daripada hasil tugasan yang begitu buruk sehingga tidak sanggup disebutkan oleh si penilai.

Ucapan tahniah yang tidak bermakna langsung sebagai syabas atas hasil tugasan yang baik.

Di antara kami berdua, aku dipujinya, namun apabila sampainya sesi perbentangan dapatan, sebegitu banyak bahagianku dikritiknya. Jadi, bagaimanakah penerimaanku yang sewajarnya?

Aku tidak menolak penambah baikan itu semua, cuma aku rasa tertipu dengan ucapan tahniahnya di awal perbincangan tanpa aku sedari diriku akan dikritik satu persatu di hadapan rakan-rakan sekerja yang lain.

Aku amat terasa seolah-olah sekarang, rakan-rakan sekerja memandang aku dengan pandangan yang rendah.

Aku berperasaan mereka berfikir sebenarnya aku tiada kelebihan yang sebenar, hanya gah pada nama sahaja. Segalanya kini terasa sangat kekok.

Perasaan ini sangat menebal dalam hatiku walaupun sudah kesekian masa sesi itu berlalu.

Kepada mereka semua, aku memohon maaf kerana ayam tambatan ini tidak mampu berkokok. Aku teruskan senyap-senyap saja menjalankan tugasku seperti biasa.

Wasallam.

– Senah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *