Nama aku Hassan (bukan nama sebenar). Aku terpanggil nak bercerita tentang perkara-perkara seram yang pernah berlaku pada diri aku suatu ketika dahulu di bangku sekolah menengah.
Aku pasti semua orang ada juga cerita seram masing-masing tapi cerita aku ni sampai sekarang aku tak dapat lupakan sebab memori tu betul-betul terpahat dalam diri aku.
Jadi macam biasa, aku merupakan seorang pelajar asrama dan sekolah aku terletak di atas bukit.
Dan sebagai pelajar form 1, kami sememangnya pada awal-awal tidak biasa dengan persekitaran asrama yang boleh dikatakan masih lagi baru dan untuk menyesuaikan diri dengan cepat bukanlah satu perkara yang mudah.
Lagi-lagi bila ramai antara kami yang tinggal berjauhan dari keluarga masing-masing.
Pada minggu orientasi, setelah penat dengan segala macam aktiviti pada waktu siang bersama guru-guru, kami disajikan pula dengan aktiviti-aktiviti bersama senior pada waktu malam.
Senior Form 5 boleh dikatakan sangat membantu dan baik lah masa tu. Ada seorang senior nama Haziq telah mengajak kami semua untuk ke dorm satu malam ni sebab dia nak bercerita tentang beberapa perkara seram yang pernah terjadi pada dia dan kawan2 sepanjang diorang di sekolah ni.
Aku pasang telinga juga awal-awal sebab rasa macam menarik dan aku tak pernah ada aktiviti2 macam ni dengan keluarga di rumah. Mula sahaja dia bercerita, aku terus hilang minat sebab aku rasa kebanyakan cerita dia tak masuk akal.
Aku mula dengar cerita tentang nenek kebayan yang suka tegur orang yang masih tidak tidur pada malam buta (aku pasti cerita ni terkenal di seluruh pelusuk Malaysia) dan perihal orang ditarik selimutnya pada malam hari,
penampakan kelibat nenek kebayan dalam loker ketika terjaga tengah-tengah malam setelah loker terbuka dengan sendirinya dan juga tidak lain dan tidak bukan kisah terkenal, penampakan pocong merata-rata di sekolah serta askar berkawad di dataran padang.
Aku tergelak kecil sepanjang penceritaan senior aku dan kawan-kawan aku semua malam tu dalam ketakutan disebabkan oleh cerita2 tu.
Antara yang paling semua orang takut ialah berkaitan dengan kisah senior aku diajak kawan untuk teman kencing malam di tandas dan seusai sampai ke tandas,
tunggu punya tunggu sampai setengah jam, tandas didapati kosong dan sebenarnya kawan yang ajak teman tadi tu masih sedap terlantar di katil. Jadi siapakah yang ajak teman tu?
Hahaha bagi aku agak kelakar dan tidak masuk akal. PADA WAKTU ITU LAH. Tambahan aku pulak jenis tidur awal, sesi berlalu sampai ke 2 pagi buatkan aku sangat mengantuk dan menguap sepanjang sesi tu berlangsung.
Aku bukan nak kata aku berani sangat pun, cuma aku tak mudah percaya sesuatu benda sampailah benda tu berlaku pada diri aku sendiri, baru aku akan percaya.
Senang cerita aku ni seorang yang pengecut lah sebab aku lebih kepada mengharapkan benda-benda ghaib macam ni tak wujud supaya aku nak hilangkan perasaan takut.
Jadi malam tu semua orang ketakutan dan taknak tidur dalam dorm masing-masing sebab asrama masih sunyi. Kami pelajar form 1 dan form 5 perlu masuk asrama seminggu lebih awal dari pelajar-pelajar lain. Jadi suasana asrama sememangnya sunyi.
Dorm pelajar form 1 terletak di tingkat atas sekali, tingkat 4 dan pelajar form 5 di tingkat bawah sekali. Mana semua tak takut nak naik ke atas lepas disogokkan dengan cerita-cerita seram. Jadi pelajar form 5 izinkan kami bermalam di dorm mereka pada malam yang sama.
Bermula dari malam tu juga, aku terdengar ada bunyi tapak kaki berlari-lari laju di tingkat atas, tingkat 2, 3 atau 4 selama 5 minit macam tu, aku pun tak pasti, tapi aku tak hiraukan sebab mungkin bunyi pelajar2 senior yang masih lagi tidak tidur pada pukul 2 pagi. Aku endahkan saja.
Keesokan malam sehingga ke minggu depan, bunyi tu dah takde lgi. Jadi aku tak kisah sangat. Walaupun sejak malam tu aku perasan, ramai kawan-kawan aku takut nak pergi ke mana2 bersendirian dan selalu sahaja diminta teman ke mana-mana.
Minggu kedua lebih riuh sebab semua orang dah mula pulang dari kampung halaman masing-masing ke sekolah dan kami makin akrab dengan satu sama lain.
Setakat minggu kedua ni, aku masih tidak dengar siapa-siapa yang terkena ‘kacau’, ternampak kelibat hantu atau apa-apa yang sewaktu dengannya.
Kehidupan kami agak aman dan semua orang mula melupakan segala kisah senior tu dan hidup seperti biasa dan tidak lagi dalam ketakutan. Dan sejujurnya kisah2 senior langsung tak memberi impak terhadap kehidupan aku pada awalnya di asrama itu.
Namun selang beberapa minggu kemudian, kami di asrama diwajibkan prep petang dan malam untuk persediaan pembelajaran esok pagi, bagi tujuan menyipakan kerja sekolah ataupun untuk bersembang-sembang dengan rakan di kelas.
Aku jenis tengah-tengah, nakal sangat pun tak, baik pendiam pun tidak.
Jadi pada suatu prep petang tu, kami mula bersembang lama di kelas berkenaan dengan persembahan yang kami perlu berlatih di untuk hari karnival sekolah.
Kami form 1, jadi kerja2 kuli untuk memeriahkan majlis ni sememangnya kerja kami. Bincang punya bincang, 2 jam dah berlalu dari 2.30 ke 4.30 petang.
Aku masih ada banyak lagi kerja rumah perlu disiapkan petang tu. Rakan-rakan aku sudah mula balik ke dorm masing-masing dan ke surau untuk siap2 solat asar sebelum bersukan petang.
Aku tidak minat bersukan jadi aku tak pulang ke dorm dan tetap menyambung kerja-kerja sekolah aku yang melambung.
Kawan aku Hafiz ada juga di situ menemani aku. Kawan-kawan aku yang lain suka stay up jadi diorang tak kesah sangat kalau kerja-kerja tak dapat disiapkan pada waktu prep.
Aku jenis tidur awal dan tak suka stay up. Jadi waktu yang aku ada hanya sekarang petang dan prep malam nanti.
Aku mula menyiapkan kerja-kerja dengan tekun sehingga rasa penat dengan beban dipikul di bahu. Aku tertidur dengan lena di bangunan sekolah (bukan asrama) dan ini pertama kali aku masih berada di bangunan sekolah pada pukul 6.30 petang.
Tersedar saja aku dari tidur pada pukul 6.30, aku hanya berseorangan di bangunan sekolah 4 tingkat dan aku tak tipu, darah aku sememangnya berderau dan bulu roma aku mencanak.
Aku bangun dengan penuh air liur di mulut dan aku sejujurnya geram dan marah dengan kawan aku yang stay sekali bersama aku, Hafiz kerana tidak kejutkan aku sebelum pergi.
Aku mula mengemas barang-barang aku dan tiba-tiba ku terdengar bunyi tapak kaki berlari laju betul-betul di hadapan kelas aku macam aku dengar awal- awal dulu sambil aku bersiap pulang ke dorm.
Bunyi itu masih tak berhenti dan aku mula ketakutan dengan suasana gelap malap senja di kelas yang aku tak pernah rasai, sejujurnya aku memang rasa nak pitam.
Aku terus cuba mengorak langkah keluar kelas dan bunyi tapak kaki makin menghilang sedikit demi sedikit. Kelas aku terletak di kedua hujung bangunan jadi aku perlu berjalan di koridor menelusuri setiap kelas-kelas kosong sebelum sampai ke tangga untuk turun ke bawah.
Aku perlahan-lahan berjalan ke hadapan dan tiba-tiba di sudut sisi mata aku, aku ternampak kelibat hitam yang duduk di kerusi guru kelas sebelah.
Ianya kelihatan kaku, diam tapi melihat aku atas dan bawah dan ini pertama kali aku ditemui penampakan seperti ini dan aku terus menangis dengan hidung aku mula berdarah kerana terlalu takut.
Tapi aku buat tak endah dan tak tolehkan kepala langsung, sebaliknya aku terus berjalan ke depan dengan laju. TAPI TIBA-TIBA, aku terdengar bunyi tapak kaki yang sedikit demi sedikit menjadi semakin kuat, semakin jauh ke depan aku berjalan.
Aku terus berlari dan tapak kaki yang aku dengar pun semakin kuat juga menghampiri dan makin laju. Aku tidak teragak-agak untuk melompat 5-6 anak tangga untuk sampai ke tingkat bawah sekali dengan pantas.
Aku berlari dengan resah berserta airmata penuh di pipi kerana aku tahu, jika aku toleh ke belakang, pasti aku akan terlihat ada yang menjejaki.
Sesampai aku di tingkat bawah, aku lihat pintu gril sekolah dikunci dan waktu itu aku terus lemah semangat, mengetahui aku terjerat di bangunan sekolah.
Aku langsung tidak tahu sepanjang 2 bulan persekolahan, bangunan sekolah akan dikunci di luar waktu P&P dan prep dan aku menyesal sedalam-dalamnya kerana mengambil keputusan untuk stay.
Aku menjerit sekuat hati meminta tolong di pagar tangga tapi malangnya tiada siapa yang mendengari. Nak berpatah balik, jangan harap. Jadi aku ingat waktu itulah yang aku rasa aku terus pitam betul2 di hadapan pagar tangga sekolah.
Pengawal keselamatan yang membuka dan menutup pagar bangunan sekolah menjumpai aku malam tu dalam keadaan hidung aku berdarah kering betul2 di hadapan tangga yang berkunci ketika hendah membuka pagar pada pukul 9 malam bagi tujuan prep malam.
Warden diberitahu tentang perihal aku dan rakan-rakan aku juga ternampak aku dalam keadaan kusut baju penuh darah dari hidung dan peluh membasahi muka serta mata aku yang merah menyala.
Tersedarnya aku dalam keadaan marah terhadap Hafiz kerana kesanggupannya meninggalkan aku berseorangan tidur di atas. Hafiz meminta maaf dengan sesungguh-sungguhnya atas apa yang terjadi.
Hafiz maklumkan pada warden yang dia ada kejutkan aku petang tu dan selepas sahaja dia keluar dari kelas berjalan di koridor menghampiri tangga, dia ternampak aku terus menyusul ikut turun ke bawah bersama-samanya.
Hafiz kata kami ke surau terus selepas itu untuk solat asar dan ada saksi yang nampak kami bersama-sama. Saksi tersebut ialah rakan kami juga yang sedang lepak di surau namanya Akmal dan Rizal (bukan nama sebenar).
Mereka berdua pun nampak aku dan Hafiz di surau solat bersama-sama dalam pukul 5.30 – 5.40 lebih. Hafiz menyatakan bahawa aku nak naik semula ke atas (bangunan sekolah) setelah selesai solat asar kerana aku tertinggal jam di kelas.
Masalahnya, aku tidak ingat satu pun yang terjadi tentang apa yang Hafiz ceritakan bersiapkan dengan saksi lagi, adakah ia merupakan suatu rekaan semata-mata untuk lari dari hukuman sampai sanggup membuatkan aku nampak macam orang gila?
Atau memang betul2 aku turun bersama Hafiz dan aku sahaja yang tak ingat apa-apa yang berlaku? Atau yang turun bersama Hafiz itu bukanlah aku tetapi benda lain yang menyerupai aku, dan aku yang sebenar masih di kelas?
Masa ni lah aku terbayang-bayang cerita pergi tandas teman kencing malam itu menjadi realiti, tapi yang terjadi pada aku adalah sememangnya lain daripada yang lain. Malam itu juga aku demam dan tidak dapat bangun langsung dari katil bilik sakit di asrama.
Aku dibawa ke bilik sakit asrama malam itu dan dikecualikan daripada prep malam. Aku ditemani warden dan semua orang lain sepatutnya telah ke bangunan sekolah untuk prep malam.
Tiba-tiba, makhluk itu tak pernah berhenti nak mengganggu aku, aku terdengar lgi tapak kaki yang aku terdengar hari pertama di sekolah ini, petang tadi di bangunan sekolah dan malam itu lagi sekali.
Dengan bunyi yang sama, corak bunyi perjalanan yang sama dan aku terus tanya kepada warden aku bahawa dia dengar bunyi yang sama atau tak. Sememangnya tak, dan aku mula rasa aku yang gila.
Aku tutup mata dan tutup telinga seketat-ketatnya untuk tidak mendengar apa2. setelah 2 minit tutup mata dan telinga, aku buka kembali mata dan dapati aku berada di sebuah bilik gelap dan usang.
Aku menjerit ketakutan dan ternampak kelibat bayi comel merangkak ke arah aku dan aku terus gagahkan diri bangun dari katil dan keluar dari bilik tersebut.
Aku berlari-lari sekeliling asrama mencari warden, dan asrama aku sejujurnya nampak usang dan buruk seperti bangunan lama.
Aku ketakutan dengan adanya bayi itu tetap merangkak ke arah aku dar ibelakang walaupun aku telah keluar dari bilik. Aku terdengar dari dalam kepala atau di luar seperti ada orang membacakan ayat-ayat kursi, 3 qul terhadap aku tapi aku tak tahu suara itu datang dari mana.
Aku kejar suara tersebut dan aku sampai ke bangunan sekolah yang juga nampak tidak berpenghuni.
Aku betul-betul rasa aku di alam lain masa tu dan perasaan bunuh diri memang jelas ada dalam diri aku. Tapi aku mula membacakan surah-surah lazim dan tutup mata aku serapat-rapatnya.
Aku sedar di bilik sakit dengan keberadaan ibu bapa aku di sisi yang sedang menangis, warden dan juga ustaz pendidikan islam aku yang sedang memegang dahi aku waktu itu.
Aku tersedar dari satu lamunan yang jauh dalam yang aku tidak tahu aku dibawa ke mana. Ustaz aku tenangkan aku dan cakap,
“Alhamdulillah, kamu selamat dah sekarang Hassan, jangan risau kita ada Allah, lepas ni mak ayahnya eloklah bawa Hassan ke perubatan islam.”
Aku lihat rakan-rakan aku penuh di luar tingkap melihat aku dari luar bilik sakit, Hafiz terutamanya menangis melihat keadaan aku.
Hafiz betul-betul meminta maaf dan sehingga hari ini, aku masih rasa bersalah terhadap Hafiz sebab aku hanya mencari seseorang untuk dipersalahkan waktu itu.
Aku terus dibawa ke klinik esok paginya dan ibu aku minta aku kemaskan semua barang-barang di asrama untuk dipindahkan sekolah.
Ibu bapa aku ambil keputusan untuk keluarkan aku dari asrama tu dan aku pula dibawa berubat ke perubatan islam. Disebabkan ayah aku juga merupakan seorang doktor, jadi beliau percaya bahawa aku mungkin ada penyakit psikiatri yang perlu dirawat.
Aku di diagnosiskan oleh doktor dengan penyakit psychosis walaupun aku tidak tahu menahu apa maksud penyakit itu,
Tapi aku selalu dibawa berubat dengan pakar psikiatri, diberi temu janji untuk bercakap dengan mereka tentang progress aku sehingga kini dan juga bersama perubatan islam.
Alhamdulillah, aku belajar dari masa silam aku. Kita hidup bersama mereka, bersama makhluk di alam ghaib. Pelindung diri kita hanya Allah dan kita hanya ada Dia sebagai tempat bergantung dan berlindung. Apa-apapun kita semua hanyalah makhluk.
Tapi aku terfikir jugak, sampai sekarang aku tak tahu kenapa aku dikacau petang tu, adakah sepatutnya bangunan sekolah sentiasa kosong pada waktu petang 5.00-9.00 malam tapi aku yang melanggar adat ini, menganggu jin-jin tersebut, wallahu a’lam!
Yang benar,
– Hassan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit