Jiwa Yang Hilang

Suatu hari, aku dan anak sedang ‘bonding time’ dalam kereta. Semasa berbual santai, anak aku bertanya.

“Kalaulah ibu tak kawin dengan ayah.. Ibu kawin dengan siapa?”

“Entahlah kakak. Ibu ni tak ada sesiapa. Tapi kalau boleh.. ibu tak nak kawin”

Terkejut anak aku mendengar jawapan aku.

“Oklah.. kita ubah soalan”

“Kalaulah boleh diulang masa, ibu nak ulang bermula tahun berapa?”

“Kalau mampu.. ibu nak kembali ke tahun 1997”

“Tahun ibu berkenalan dengan ayah.. Ibu nak ulang supaya ibu tak perlu kenal ayah. Tak perlu kenal pun walau sebaris nama”. Lancar saja aku lafazkan ayat ini. Sebak mula terasa.

“Jadi kalau ibu tak kawin dengan ayah, kami tak adalah kan..”

“Ya” dan airmata aku tiba-tiba bercucuran umpama empangan pecah. Lebat-selebatnya. Tapi aku masih cuba bercakap.

“Kesilapan paling besar dalam hidup ibu adalah mengenali ayah. Kesilapan yang tidak boleh lagi diperbetulkan”

“It’s a big mistake when I get to know your father. A really big mistake that I can’t reverse anymore”

Ya.. itulah silapnya aku. Mengikut rasa hati. Berkehendakkan seorang lelaki yang telah emak aku bacakan keadaannya dari pengalaman seorang tua.

Disuruh fikir berkali-kali tapi nyatanya cinta itu buta! Bukan aku tidak merasa manisnya sebuah perkahwinan, dulu.

Dikurniakan anak-anak yang berbagai perangai. Tapi terlalu banyak lopongnya sehingga aku tak lagi mampu menampal semua lubang yang terbentuk sendiri.

Bukan tiada perbincangan antara kami, tapi perbincangan yang berakhir dengan perbalahan.

Sangat sakit untuk aku bila diulang-ulang kesilapan lama yang aku telah lakukan, dalam setiap perbincangan untuk membetulkan yang terasa salah. Semakin lama, aku biarkan saja.

Tak mampu lagi berbincang, aku biarkan semua berlalu mengikut arus masa. Aku biarkan lopong-lopong itu menjadi lubang yang sangat dalam. Semakin dalam..

Pernah juga aku cuba menyayangi dia dan menerima seadanya dia. Tapi, seolah terlalu palsu. Tiada lagi debar di dada. Rasa kasih telah berlalu bersama waktu.

Aku pernah meminta perpisahan tapi tidak pernah diendahkan. Tiada perbincangan. Hanya aku dibiarkan, melepas rasa sendirian.

Keadaan kami yang terpisah jauh adalah satu rahmat bagi aku. Bahagia berjauhan tapi derita bila dia pulang. Salah sedikit dituduh curang.

Nama lelaki didalam telefon, dituduh curang. Sedikit lewat dari pejabat, aku dituduh curang.

Garis masa perlu diikut tanpa memahami kesibukan aku. Kelibat dia dirumah menjadikan aku lemas, rimas dan sesak. Jadi, biarlah dia tidak pulang-pulang.

Aku simpan semua sendirian. Sehinggalah aku kemurungan. Dimata orang, kami nampak bahagia, melengkapi. Aku cuba mengikut segala yang perlu. Tapi jiwa kepada sebuah perkahwinan telah pergi..

Semua di atas, aku tidak ceritakan kepada anakku. Semoga suatu hari nanti dia akan faham. Sebuah perkahwinan itu, telah hilang jiwanya bersama waktu..

– Elley (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *