Si Pejuang 2 Garis yang Rapuh

Assalamualaikum semua. Namaku Mentari dan sudah tentu itu nama samaranku.

Pertama sekali aku ingin meminta maaf jika coretan ini melukakan hati para pembaca. Aku cuma ingin meminta sedikit sokongan dari kalian semua.

Di usia hampir 4 tahun perkahwinan, aku masih belum dikurniakan zuriat.

Maaf sekali lagi kerana aku baru setahun jagung dalam TTC (trying to conceive) sedangkan aku sedar ramai lagi pasangan yang lebih sedekad bersama dan di uji lebih berat dariku.

Seperti yang aku nyatakan dari awal, aku cuma ingin secebis nasihat, pandangan, pendapat serta sokongan dari kalian yang terlebih dahulu makan garam dariku.

Aku cuma insan biasa yang terlalu rapuh ketika ini. Aku cuma tak ingin menjadi hambaNYA yang tidak bersyukur kerana aku lemah dalam menghadapi ujian kecil ini.

Sedikit ringkasan tentang aku dan suami. Suamiku seorang yang sangat memahami tentang diriku. Tipu lah kalau tidak pernah timbul rasa kecewa dalam diri aku apabila keputusan doktor mengatakan aku seorang pesakit PCOS.

Ya, satu kecacatan kekal yang tak dapat dilihat diluaran kerana cacatnya pada ovari aku sendiri. Berbeza dengan suamiku yang tiada masalah.

Dunia aku rasa suram. Aku berhenti kerja kerana aku tak boleh perform. Malah aku menangis berhari-hari kerana aku salahkan diri aku sendiri yang tak mampu nak bagi zuriat kepada suami.

Tapi suamiku seorang yg positif pemikirannya. Beliau nyatakan yang dari awal perkahwinan, anak bukan tujuan utama beliau. Cuma nak bersama sampai di akhirat kelak. Tapi, aku yang sedia dalam emosi yang tak stabil tetap berfikiran negatif.

Aku takut satu hari nanti suami aku tinggalkan aku kerana zuriat. Ditambah pula, aku tak kuat mental menghadapi persoalan tanpa lapik yang keluar dari mulut makcik-makcik bawang tentang zuriat kami.

Bermacam-macam cara tradisional dan moden kami cuba. Suami turuti tanda sokongan. Sehingga ada yang masuk hospital kerana aku masih berharap ada peluang lagi.

Ya aku tahu, PCOS bukan tak boleh mengandung. Cuma SUKAR berbanding orang normal yang lain.

Bayangkan, bila aku buka media sosial, ramai yang kongsi kegembiraan telah berjaya hamil. Lepas setahun, mengandung lagi. Tak kurang juga yang bunting pelamin.

Ya, aku cemburu. Tapi aku cuma mampu menangis walaupun aku gembira dengar khabar mereka.

Tahun ke-3 perkahwinan. Kami telah berhabis berpuluh-puluh ribu duit untuk rawatan kesuburan. Aku buat IUI dan Alhamdulillah berjaya mengandung kembar.

Tapi Allah tetap katakan yang belum lagi masa untuk aku jadi ibu. Kandungan aku ektopik dan terpaksa buang tiub kiri.

Berbulan-bulan aku murung kerana aku tak boleh terima kenyataan aku telah cacat lagi. Dan peluang untuk aku mengandung, bertambah sukar.

Aku belajar untuk redha dan pulihkan semangat kerana aku taknak jadi hamba yang kufur nikmat dan menyalahkan takdir.

Harini, aku meluahkan di sini kerana aku tak mampu nak tahan seorang diri. Walaupun aku sudah redha dengan ujian ini, aku taknak kemurungan semula. Suamiku setia mendengar tapi aku faham beliau pun ada masalah sendiri.

Dan rakan-rakanku yang pernah berjanji untuk ada dengan ku, kini bahagia dengan suami dan anak-anak. Pernah juga aku mesej mereka tapi faham-fahamlah bila da bekeluarga.

Cuma anak-anak buah sahaja yang menjadi tempat aku untuk menumpang kasih sayang. Kekadang, aku rasa kesian dengan diri aku sendiri kerana terhegeh-hegeh dengan anak orang lain.

Aku sembunyikan diri bila sedara mara datang rumah. Aku tak pergi kemana-mana kenduri semata-mata tak ingin ditanya soalan yang menguris hati aku. Malah, aku elakkan berjumpa dengan orang yang selalu bertanya tentang anak padaku.

Tapi, aku tak dapat menafikan yang aku tetap rasa sedih, menangis juga walau aku dah cuba untuk kuat. Aku yakin bahawa anak tu bukan petanda yang kita dijamin syurga sebab aku melihat sendiri masalah sosial budak-budak zaman sekarang.

Aku bersyukur tapi dalam masa sama, aku takut kalau aku sudah terlalu tua untuk besarkan anak jika rezeki kami sampai nanti in sha Allah. Kesian pada anakku nanti.

Boleh tak kalian kongsikan kata-kata semangat yang positif daripada pengalaman sama seperti ku. Bagaimana ye kalian semua hadapi hari mendatang tanpa rasa sedih dengan setiap pertanyaan ‘anak’ dari mulut orang ramai?

Mohon jangan kecam aku ya kerana mungkin setiap kata-kata kalian juga mampu hidupkan hati pembaca lain yang sedang berduka juga.

Mungkin sebagai tanda memberi semangat kepada kami.

Doakan kami,

– Mentari (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *