TTC Yang Syok Sendiri

Assalamualaikum, aku Zara. Hampir 4 tahun aku berkahwin belum sekali pun aku pernah mengandung.

Hari ini aku mahu cerita pasal usaha TTC aku yang syok sendiri. Syok sendiri? Ya, aku usaha nak suburkan diri, buat itu ini tapi suami buat acuh tak acuh. Sikit usaha pun tiada. Habuk.

Banyak group TTC yang aku dah join, setiap kali ada orang yang tunjukkan double lline di pregnancy test, aku sangat jealous.

Bila baca komen, ramai sangat yang minta doakan mereka cepat dapat anak, aku adalah salah seorang daripada komen yang meminta doa tu.

Tolong doakan aku hamil cepat ye, demi kebahagiaan rumahtangga aku yang tidak stabil sekarang ini.

Bersyukur lah orang yang pernah dapat double line, sebab aku tak pernah rasa macam mana gembiranya saat itu.

Walhal ibu2 yang dapat double line tapi keguguran pun sepatutnya kamu bersyukur sebab kalian pernah merasa gembiranya hamil. Sebab ada orang2 macam aku ni, tak pernah rasa rahim ini berpenghuni.

Bulan Januari yang lalu aku positif covid19. Masa tengok double line di saliva test tu, aku mengelamun, mungkin begini rupanya kalau pregnancy test aku double line, itu fikirku. Mencuba mencari kebahagiaan dalam ujian.

Sebelum aku mula kepada cerita aku TTC syok sendiri, aku nak ingatkan suami2 yang sedang baca tulisan ini, ini adalah salah satu punca rumahtangga aku goyah sekarang ini. Take note ya para imam/ bakal imam, jadilah suami yang bertanggungjawab.

Kunci utama untuk mengandung tentulah ‘bergaul’ ketika waktu subur kan. Aku berusaha hari-hari test waktu subur.

Akhirnya bila dah ada tanda aku dah subur, boleh pula cik suami cakap dia penat. Luluh hati aku. Adakalanya aku pesan, “abang, hari ini saya subur, jom lah kita usaha”.

Jawapan suami “iya, nanti abang masuk, abang tengok bola dulu”. Wah, jawapan yang cukup buat aku gembira, siap pakai wangi-wangi sebelum tidur.

Tapi gembira cuma seketika, tunggu punya tunggu sampai terlelap aku sendirian. Jawapannya “abang masuk tidur pukul 4 semalam, mengantuk sangat tak larat”.

Ada kalanya jawapan suami “abang dah kejut, sayang tak bangun2”.

Bila dia buat ayat ini, memang aku mengamuk yang amat. Sebab aku seorang yang cepat terbangun, bahkan bunyi buka pintu pun aku boleh terjaga. Lain lah kalau orang buka pintu senyap2, aku takkan bangun.

Namun ada juga aku terpaksa tolak. Suami kejut pukul 6 pagi untuk bersama, aku tolak, aku tahu aku derhaka, tapi aku terpaksa tolak.

Sebab sekejap lagi dah nak subuh, aku pula dah nak pergi kerja pukul 7 pagi.

Banyak kali perkara macam ni terjadi. Aku dah bawa cakap secara lembut, kalau nak berkesan dapat anak, kena baring atleast 30 minit selepas bersama,

Kalau abang kejut hujung-hujung waktu dah nak subuh ni, tak sempat sang berudu nak berlumpa ke garis penamat, kita terpaksa mandi, solat, pergi kerja.

Tak pasal-pasal pula awal pagi dah penat. Suami tak paham perkara ni. Hujung-hujung, setiap kali bergaduh, dia akan bawa point ini, kononnya dia dah ajak tapi aku tolak. Hmm ye lah.

Aku selalu baca post usaha orang yang dah berjaya TTC, ramai yang cakap mereka usaha ‘bergaul’ atleast 3 hari sekali.

Ok, saya pun nak cuba, saya ajak, jawapan suami “kan dah buat dah hari tu”, Allahu, saat ini aku sedar, aku ada kebolehan untuk menangis dalam hati.

Hahhaa. Sayu hidup aku. Bergaul seminggu sekali itu kadang2,, yang selalunya dua minggu sekali.

Jangan salah paham tuan puan, nafsu kami suami isteri normal, tiada yang songsang dan tiada yang selingkuh. Ini masalah suami yang malas berusaha dan isteri yang terlalu berharap.

Kunci utama yang lain dalam TTC adalah kesuburan, puas aku makan vitamin itu ini, folic acid, vitamin c, multivitamin, evening primrose, habatussauda, buah zuriat, kurma, macam-macam. Walaupun aku bukan makan semua sekali gus.

Tapi aku usaha. Cik suami pula, nak harapkan aku suap semuanya. Mula-mula aku rajin, hari-hari siapkan vitamin untuknya, suap sampai masuk mulut ya tuan puan. Semakin lama makin jarang bagi suami makan vitamin sebab aku terlupa.

Semakin lama semakin jarang sebab aku penat nak suap kan semuanya. Padahal benda ni senang je, suami pun kena ingat untuk ambil supplement sendiri dalam kata lain, “sendiri mau ingat lah”.

Aku juga sedang usaha untuk ke doktor pakar, suami sangat menyokong, dia cakap cari lah klinik, nanti abang bayar kan. Saya cari dengan penuh harapan. Cari kat twitter, cari kat FB, semua tempat aku cari.

Bila dah jumpa, saya screnshot butir-butir appointment dan harga, iya suami setuju.

Saya gembira sangat tapi payment belum buat. Secara face to face, saya minta suami transfer payment. Dia cakap nanti. Kami tiada masalah kewangan pun (Alhamdulillah rezeki Allah beri walaupun tak banyak tapi cukup).

Kemudian saya cuba minta suami bayar secara transfer, dia just cakap ok. Tapi tak bayar pun. Sekali lagi saya minta face to face, tak jalan juga. Akhirnya saya bayar sendiri. Titik.

“Abang tak terasa kah bila kawan2 abang semua dah ada anak?” itu soalan saya padanya.

Sengaja aku nak kuis hati keras si suami. Sebab jujur, aku sangat terasa. Sehingga aku boleh menangis bila kawan aku mengandung. Jawapan suami, “mesti lah abang terasa., tapi belum ada rezeki”.

Saya cuba pujuk, “Kalau belum ada rezeki, kita usaha lah ye?”, “iye”. Itu perbualan kami. Kemudian? Kemudian cerita berulang kembali dari perenggan satu sampai ke hujung.

Mohon doa kalian semua. Aku penat hidup dalam kesunyian.

– Zara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *