Bangkit: Healing Process

Hai, namaku Dahliaa. Aku berumur 22 tahun. Kisah ini adalah untuk dijadikan iktibar buat para pembaca IIUM Confession agar tidak mencintai dan mengasihi manusia lebih dari Dia yang Maha Esa.

Ya, ini kesilapan terbesar dalam hidupku.

278 hari telah berlalu. 26 Mei 2021 adalah hari yang tidak pernah sekalipun aku lupakan sepanjang hayat ini. Hari di mana segala-galanya berubah dalam sekelip mata dan dalam sehela nafas. Separuh diri aku mati pada ketika itu.

Ya, bagi seseorang yang tidak pernah merasai erti kehilangan orang yang amat dicintai dan disayangi sepenuh hati, perkara ini mungkin kedengaran melebih-lebih.

Tetapi, bagiku, sakitnya dan peritnya erti perpisahan ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata mahupun perbuatan hakiki.

Perpisahan yang tidak pernah aku bayangkan kini menjadi realiti. Realiti yang tersangat pahit untuk ditelan.

Selama ini, bila mana hubungan dilanda badai, tetap ku perjuangkan sehabis daya dan usaha meski perasaan sendiri terpaksa dikorbankan.

Terlalu banyak kata, persoalan serta luahan yang ingin ku sampaikan namun lidah kelu. Pelbagai perkara bermain di fikiranku tika itu. Ada rasa geram, sedih, tidak percaya, sebak, menyesal, bercampur baur di hati ini.

Setelah apa yang kau korbankan selama ini atas nama cinta, seakan tidak bermakna walau sekelumit pun di jiwa.

Cinta yang kau dambakan hingga ke akhir hayat kini menjadi sebuah kenangan. Tidak pasti sama ada kenangan pahit mahupun manis.

Cinta yang kau puja-puja selama ini kini menjadi orang asing sekelip mata. Cinta yang kau kasih selama ini kini bertukar menjadi dendam.

Cinta yang kau percayai tidak akan pernah mendua selama ini kini membina hidup bersama-sama insan yang lain.

Sakit. Terlalu sakit. Janji-janji dan impian yang pernah didambakan lenyap sekelip mata. Kini tinggal janji manis yang masih terngiang-ngiang di cuping telingaku.

Meskipun aku yang ditinggalkan atas alasan yang langsung tidak munasabah, erti penyesalan tetap hadir dalam diriku. Apa kurangnya aku?

Di mana silapnya aku? Tidak cukupkah segala yang telah aku berikan selama ini? Apa dosa aku sehingga harus diperlakukan sebegini?

Semuanya berlegar-legar di minda. Tidak pernah sesaat pun aku melupakan segalanya.

Genap 6 bulan selepas perpisahan itu, aku dikhabarkan dengan sebuah kebenaran yang aku telah diduakan ketika masih dalam perhubungan. Aku ‘jatuh’ sekali lagi. Bagai nak gila.

Malam-malam aku ditemani air mata, mengenangkan nasib. Clueless. Mahu saja aku tamatkan kisah sedih aku ini dengan sendirinya.

Tetapi, di saat kita merasakan tiada sesiapa lagi yang mampu memahami serta membantu. Kekhilafan seakan telah menguasai diri. Seolah tiada sekelumit iman pun di hati.

Tika itu, kekuasaan yang Maha Esa melebihi segalanya. Aku kembali merintih, merayu-rayu di dalam sujudku.

Tikar sejadah dibasahi air mata itu menjadi satu kebiasaan saban hari. Hari demi hari, hati menjadi lebih tenang dan tenteram.

Ya, selama ni aku terlalu mengasihi manusia melebihi segalanya sehingga terlupa kepada siapa harus aku cintai dan kasihi.

Aku tersasar dari jalan Allah, sangat-sangat jauh sehinggakan maksiat menjadi kebiasaan tanpa ada rasa takut, tanpa ada rasa berdosa.

Sehingga hari ini, kesakitan asbab dari cinta manusia itu masih berbekas di hati dan meninggalkan parut yang amat dalam. Namun, bila kita meletakkan kepercayaan kepada Allah, jiwa terasa lebih tenang dan tenteram.

Walaupun rasa berharap itu masih ada dan perasaan cinta masih tersisa di dalam hati, jiwaku tetap lebih tenang. Semoga aku terus istiqamah berada di jalan Allah dan tidak akan tersasar lagi asbab cinta manusia. Aamiin.

– Dahliaa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *