Keredaan Mak Ayah?

Salam, saya Lia, bukan nama sebenar saya. Saya nak tanya, macam mana saya nak gugurkan hak ayah saya sebagai wali nikah?

Ayah saya dan mak tiri saya melayan saya seolah olah saya tak ada hak nak hidup dan tak ada hak nak rasa bahagia. Saya sudah keluar daripada rumah ni. Saya sudah ada kerjaya saya sendiri.

Saya ambil keputusan untuk keluar daripada rumah disebabkan saya sudah ada niat nak bunuh mereka. Saya betul betul bencikan mereka.

Saya memang tak boleh terima mereka dalam hidup saya.

Sebelum ini, saya di universiti, saya sakit, batuk berpanjangan, tulang dada saya sakit, duit tak ada, tak pernah abah dan mak tiri saya ambil berat. Setiap kali cuti semester saya akan buat kerja part time.

Sekarang ni, bila saya dah ada kerjaya saya sendiri,mereka salahkan saya tak bertanya khabar semasa mereka sakit dan semasa kereta mereka rosak. Saya melihat ayah dan mak tiri saya cuma akan cari saya bila ada perkara yang melibatkan duit.

Saya tak hiraukan benda ini sebab bagi saya seeloknya anak-anak kesayangan mereka hulurkan duit untuk tolong mereka. Tambahan lagi, mereka tinggal sekali.

Saya, semasa sekolah menengah tidak dibenarkan pergi ke sekolah selagi kerja dapur tak siap. Banyak kali saya tertinggal bas disebabkan hal ini.

Saya gagal dapat biasiswa semasa di universiti. Saya dihina. Katanya hidup saya tak berkat dan sebab itu saya hanya memperoleh pinjaman ptptn.

Saya pernah dipanggil anak yang tidak sedar diri. Saya juga pernah dihalau rumah kerana dituduh mencuri. Dan setiap kali duit hilang, saya orang pertama akan disindir oleh mak tiri saya. Maruah saya dipijak tanpa ada seorang pun yang pertahankan saya.

Setiap kali, saya beli makanan dengan hasil penat letih sendiri, saya akan dicemuh oleh ayah kandung saya sendiri seolah olah saya tak ada hak ke atas rezeki saya. Sedangkan anak anak yang lain, ayah saya senyap sahaja.

Bagi saya, ayah dan mak tiri saya tak berlaku adil dan menzalimi saya.

Mereka kerap berkata, saya takkan bahagia dalam hidup ini disebabkan kunci kebahagiaan seorang anak terletak kat kebahagiaan ibu bapa.

Saya faham benda ini dan saya cuba untuk ikhlaskan diri membeli barang dapur seperti minyak masak, ayam dan telur. Saya ingatkan bila saya beli barang ni,layanan mereka akan bertambah baik terhadap saya. Tetapi sama sahaja.

Bahkan setiap kali saya beli barang ataupun saya bayarkan bil elekrik ataupun air, mereka akan timbulkan isu yang lain untuk mencari kesalahan saya.

Betul apa yang orang cakap, kalau orang dah tak suka kita, kita bagi la nyawa sekalipun, orang tetap takkan hargai kita.

Saya penat dapat mak ayah macam ini. Jujur saya cakap, hari hari saya doa kat Tuhan, “semoga Tuhan melaknat mak dan ayah saya sebagaimana mereka menzalimi hidup saya”. Saya tak tahu nak buat macam mana supaya hati saya jadi lembut.

Saya tak boleh sayang mereka macam mana orang lain sayangkan mak ayah dia. Saya tak tahu apa akan jadi nanti kalau satu hari nanti, saya ditakdirkan untuk jaga mereka. Saya benci mereka. Terlalu sukar untuk saya telan dengan segala layanan mereka terhadap saya.

Bab wali nikah, saya tak boleh terima, ayah kandung saya jadi wali nikah saya. Saya tak boleh terima orang yang biarkan saya tempuh liku hidup seorang diri jadi wali saya.

Tujuan saya buka cerita saya kat sini untuk bagi kesedaran kat orang ramai dalam mendidik anak anak supaya tak wujud lagi orang macam saya.

– Insan yang sudah bangkit (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *