Ikhlas Yang Teruji

Assalamualaikum. Terima Kasih andai sudi siarkan luahan aku yang tak seberapa ni. Minta maaf kalau ada kekurangan dan kesilapan kata dalam aku meluahkan.

Hanya sekadar ingin mencoretkan isi hati yang selalu aku pendam sendiri. Semoga ada doa dan komen yang membina dari para pembaca.

Kenalkan aku Cahaya, seorang ibu kepada dua orang anak yang masih berusia bawah 5 tahun, bekerjaya dan berumur lewat 20an. Usia perkahwinan sudah 5 tahun.

Alhamdulillah, aku bersyukur dengan apa yang ada.Aku ada kerjaya yang agak stabil. Suamiku kerja biasa-biasa sahaja tapi aku bahagia kerana dia seorang yang bertanggungjawab dan baik layanan pada aku dan anak-anak.

Hidup kami tidaklah mewah mana tapi apapun aku bersyukur untuk semua tu.. cuma ada masanya keikhlasanku dan rasa syukur itu juga teruji.

Dalam adik-beradik, aku dikirakan yang agak senang. Lantas, setelah berbincang dengan suami, aku membawa ibu dan ayahku untuk tinggal sekali denganku di ibu kota.

Niat untuk memudahkan mereka. Tak perlu lagi susah-susah berniaga di kampung, boleh rehat-rehat sambil main-main dengan cucu.

Tidak dinafikan, ibuku banyak membantu menguruskan anak-anakku tetapi aku tidak sesekali membiarkan ibuku terbeban dengan semua itu.

Aku bekerja dari rumah dan sebolehnya aku la yang akan menguruskan anak-anakku kecuali jika ada hal penting ibuku yang akan membantu menjaga anak-anakku.

Urusan rumah memang aku dah pesan pada ibu agar tak perlu buat tapi biasalah seorang ibu tetap juga hendak menolong. Aku berharap tidaklah aku membebankannya dan kebajikannya masih terjaga.

Setiap hari aku akan bertanya pada ibu jika beliau ada masalah atau apa-apa yang ibu inginkan, semampunya aku tunaikan.

Ayahku pula, juga sayang pada cucu-cucunya dan ada masa menbantu jugak menjaga anak-anakku.

Cuma, aku ada masalah sedikit dengan ayah. Aku sebenarnya trauma dengan sikap ayah sewaktu aku masih kecil dan remaja. Ayahku mengabaikan tanggungjawabnya pada kami.

Kaki judi dan selalu culas mencari nafkah. Ayahku punya sikap yang dia sahaja yang betul. Hinaan dan cacian pada ibu sudah biasa.

Aku sangat marah dan benci pada ayah waktu itu kerana mengabaikan kami. Kerana ayah, sengsaranya hidup kami. Dihimpit kemiskinan dan penghinaan orang.

Ibulah yang menggalas segala beban. Aku bertekad ingin mengubah nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh. Akulah anak harapan dalam keluarga.

Abang-abangku tidak berpeluang berpelajaran tinggi. Pada aku lah harapan disandarkan untuk masuk universiti dan mendapat pekerjaan yang baik. Alhamdulillah, dengan izinNya harapan jadi kenyataan dan jadilah aku yang sekarang.

Kini, ayahku sudah tua. Ayahpun sudah berubah.Tidak lagi berjudi cuma kadang sikapnya yang selalu merasa diri betul dan menyalahkan orang lain membuat aku terasa ingin marah dan benci.

Biarpun aku sudah berjanji berkali-kali pada diri yang aku tidak mahu berdendam pada ayah, aku ingin berbakti padanya kerana Allah namun ada masanya emosiku tewas juga. Mujur aku masih mampu menahan segala marah itu di depan ayah.

Bila aku mula marah pada ayah, aku pasti akan terkenag kembali segala perbuatan ayah dan bagaimana aku bertungkus lumus belajar sambil bekerja untuk membantu keluarga sedang ayahku buat tidak tahu sahaja.

Aku tidak mahu ada perasaan sedemikian tapi bila mana segala beban diletakkan pada aku, aku mula mempersoalkan segala hal dan marah dengan segalanya. Alhamdulillah aku masih mampu megawal amarah dihadapan orang lain.

Hanya mampu menangis sendirian dan cuba memujuk hati sendiri. Ada masa aku luahkan juga pada suami tapi tidaklah semuanya kerana aku tidak mahu nanti aku terlajak berkata yang tidak sepatutnya.

Abang-abangku pula fokus pada keluarag masing-masing sahaja. Mungkin mereka merasakan pendapatan pun tak seberapa dan cukup-cukup makan untuk anak dan isteri, meyebabkan tiada langsung mengulurkan wang pada ibu ayah.

Semuanya hanya pada aku. Aku tidaklah kisah snagat cuma kadang terdetik dihati tidakkkah abang-abangku teringin menghulurkan sedikit dari hasil titik peluh mereka pada orang tua walaupun mungkin hanya RM50.

Aku masih ada seorang adik yang masih bersekolah dan adikku juga tidak rapat dengan ayah kerana sikap ayah yang baran dan selalu memarahinya.

Ibuku selalu meminta aku mengirimkan wang pada adikku kerana adikku yang kini tinggal bersama abangku tidak diberikan wang belanja sekolah oleh abangku.

Abangku dan keluraganya tinggal dirumah ibu dan ayahku dikampung kerana mereka belum mempunyai rumah sendiri.

Adikku pulak bakal memduduki SPM menyebankan dia tetap ingin tinggal di kampung bagi meneruskan persekolahannya di sekolah yang sama.

Aku cuba untuk memahami keadaan, cuba untuk memujuk hati ikhlaskan semuanya walaupun kadang terdetik kenapa semuanya harus diletakkan dibahuku?

Akupun punya anak-anak dan kos sarah hidup di ibu kota bukanlah murah. Aku dalam kategori M40 yang juga punya komitmen yang perlu di bayar.

Abang-abangku juga selalu meminjam wang.Abang B bayarlah jugak hutangnya walaupun lepastu pinjam balik tapi abang A buat tak tahu sahaja. Apakah mereka tidak fikir langsung pasal aku?

Adakah mereka melihat aku seperti bank mereka sahaja? Aku tak mahu bergaduh adik beradik pasal duit lagi-lagi ibu ayah masih ada. Tapi kenapa tiada timbang rasa dari mereka?

Ada maasnya aku memang down. Setiap bulan perlu korek wang simpanan untuk cukupkan belanja harian. Aku bukannya boros atau bermewah-mewah.

Kebanyakkan belanja memang untk barang keperluan sahaja tapi aku rasakan keadaan kini semakin menghimpit menyebabkan ikhlasku juga semakin terhakis dan mengganggu emosi ditambah dengan kos kenaikan sara hidup,

Duit simpanan mula berkurang membuatkan aku rasa setiap hari sangat penat untuk melawan segala over thinking dan kegelisahan yang datang menyerang tanpa kira waktu.

Andai ada yang merasakan aku yang bersalah, berilah teguran dan bantu aku untuk perbaiki. Terima kasih sudi membaca luahan ini.

Ambillah pengajaran jika ada. Semoga semuanya sentiasa dalam kebaikan dan lindungan Allah s.w.t.

Yang benar,

– Cahaya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *