Makna Kehilangan

Aku selalu mengikuti coretan di sini walaupun tidak semua yang memenuhi citarasa, dan tak sangka akhirnya aku pula yang menghantar coretan untuk tatapan semua.

Arwah ayah merupakan seorang anggota polis dari zaman muda bertugas di Kuala Lumpur, maka kami 5 beradik semua merupakan anak kelahiran kota besar. Aku anak kedua dan paling cemerlang juga paling degil (second child syndrome haha).

Dari zaman sekolah, aku aktif join kelab kebudayaan menari sana menari sini mewakili sekolah, dan setiap kali persembahan ayah pasti datang. Walaupun dia pelik kenapa la anak dia memilih tarian.

Dalam galak bergelek, aku juga giat bertanding dalam pertandingan musabaqah peringkat sekolah dan menghafaz surah, seimbang dunia akhirat. LOL.

Ayah pening jugak melayan aktiviti sekolah aku tapi setiap kali ada pertandingan dia pasti datang tengok dan setiap kali aku naik pentas, dia juga pasti ada menjadi saksi ‘kecemerlangan’ akademik aku. Alhamdulillah.

Anak kedua paling independent dan paling keras kepala, arwah ayah selalu kata – kalau aku kata hitam, maka hitam lah, takkan jadi kelabu.

Aku sengih, aku menang! Selalu permintaan aku takkan dia tolak, nak masuk sekolah asrama, nak kerja lepas SPM, nak ikut rombongan sekolah, nak pergi tengok konsert Ziana Zain etc.

Dan kalau dia rasa permintaan aku agak ‘berat’, dia akan pass pada emak – “tanya mak kau”, so aku tau la it means dia reject. Kalau dengan mak memang TIDAK la jawabnya.

Selepas SPM sementara menunggu panggilan U, aku bekerja sementara di sebuah pusat membeli belah di Jalan TAR, dan ayah masih setia mengambil aku dari tempat kerja setiap hari (malam) dan tanpa penat tunggu sampai aku muncul.

Masih terbayang-bayang susuk tubuh ayah berdiri di samping kereta Toyota kuning kami menanti anak dara dia di belakang bangunan. Aku berjaya sambung belajar di Universiti tapi masih di Lembah Kelang dan bekerja pun masih di daerah sama dengan mak dan ayah.

Even selepas berumah tangga, aku masih duduk menyewa satu taman, boleh jalan kaki pergi rumah mak. Sampai anak 4, aku pindah di rumah yang aku beli, masih di KL tapi agak jauh dari rumah mak ayah.

Ayah dijangkiti Covid pada Julai 2020 dan semenjak dari saat itu kesihatan nya terus merosot. Berulang alik naik ambulans ke hospital dan doktor mengesahkan banyak organ dalaman nya rosak akibat serangan Covid. Ketika ini aku ditugaskan jauh di luar daerah.

Sekatan rentas negeri, keperluan menjalani swab test dan kuarantin, borang kebenaran balai polis, dan kes yang menggila menyekat pergerakan aku untuk berulang alik melawat ayah.

Selepas 4 bulan bertarung melawan sakit, ayah pergi meninggalkan kami pada bulan November, sempat aku bacakan surah Yassin pagi sebelum dia pergi dan ‘berbual-bual’ dengan dia walaupun dia sedang nazak dan tak boleh bercakap.

Saat itu yang terakam berulang-berulang di kotak minda aku sampai sekarang.

Covid telah merubah aku, keluarga aku dan seluruh dunia. Namun begitu, banyak benda yang perlu kita syukuri dan terlalu banyak hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian Allah ini. Banyak jugak benda yang berubah selepas ayah pergi.

Mak kelihatan tenang, setenang-tenangnya bagai ditiup kekuatan semangat entah dari mana. Kami adik beradik makin rapat, makin menghargai dan mula belajar menikmati ‘little little things’ yang selalu kita acuh tak acuh dan tidak endah dalam hidup.

Berada di tempat orang, dan jauh dari keluarga tercinta, kehilangan ayah memang benar-benar terasa. Bila tak kena batang hidung sendiri, kau tak akan tau.

Selalu aku dengar orang kata bila kita kehilangan ibu atau ayah atau kedua-duanya, ia merupakan satu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Bila mak atau ayah kita mati, itulah kesedihan kita yang paling besar, ia memburu kita sepanjang masa. Aku underestimate ‘perasaan’ itu.

Tetapi selepas ayah pergi, memang wujud satu ruang lompong dan kosong yang tidak akan terisi sampai bila-bila. Dan sekarang memang padan la muka aku, sampai saat ini aku macam tak percaya ayah dah takde.

Ketika ini aku amat cemburu bila mendengar orang lain memanggil ayah/abah/papa/daddy, kerana aku dah tak punya sesiapa untuk aku panggil “ayah”.

Rindu yang tidak berpenghujung dan sesalan yang tidak pernah padam.

I think the hardest part of losing someone, isn’t having to say goodbye, but rather learning to live without them.

Alfatihah, ayah. Moga diberikan padang lapang di akhirat dan dimasukkan ke syurga Allah tanpa hisab.

Kini baru aku tahu erti sebuah kehilangan.

– TAKESHI KANESHIRO (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *