Assalamualaikum. Semoga pembaca semua sihat sejahtera. Terasa bosan berkuarantin, jadi ingin bercerita, terima kasih jika disiarkan.
Kisah yang masih mekar dalam ingatan, lukanya pun masih berdarah.
Cerita ini mungkinlah cerita klise percintaan dua hati, jalan cerita yang hampir senada dengan confession sebelum ini.
Nama aku Bunga Cantik. Kisah perkenalanku dengan Hang Nadim bermula pada tahun 2017 ketika kami berdua masih di universiti.
Ketika mula terpandang raut wajahnya, hati si dara ini sudah terusik. Terasa bagaikan di awangan dan tidak terpandang lagi jejaka idaman yang lain.
Raut wajahnya tidaklah hensem namun raut yang manis dan personaliti yang menyenangkan membuatku terpaut padanya.
Hampir 6 bulan berkenalan, aku semakin berani untuk menyatakan isi hati. Ibarat perigi cari timba, itulah aku.
Hang Nadim seperti mempunyai perasaan yang sama namun isi hatiku ditolak mentah mentah. Kami teruskan berkawan seperti biasa.
Sekali lagi pada penghujung 2018, Bunga Cantik ini mengambil langkah berani untuk menyatakan isi hati.
Tiada jawapan namun layanannya masih sama, terasa seperti di awangan dibuatnya. Hang Nadim ibarat pelindung, ada di kala susah senang.
2019 adalah tahun terakhir aku sebagai pelajar. Kesibukan sebagai pelajar tahun akhir membuat aku terlupa akan cinta hati dambaanku.
Di kala ini, kekerapan kami berhubung semakin berkurang dan aku fikir ini mungkin saatnya untuk aku move on setelah dua kali ditolak mentah mentah.
Aku teruskan hidup seperti biasa, berjalan menelusuri waktu, berhempas pulas demi segulung ijazah idaman.
Sedang sibuk bergelumang dengan ilmu dan peperiksaan akhir tahun, seorang sahabat memberitahu Hang Nadim sedang mengenali dan berkawan rapat dengan seseorang.
Luluh hati hancur berkeping keping namun tiada setitis air mata gugur, kerana diri ini sedar siapa aku dihatinya setelah dua kali cinta ditolak.
Alhamdulillah, Allah bagi kekuatan untuk menghadapi semester akhir tanpa sedikitpun tergugat dengan rasa sakit akibat cinta tak kesampaian.
Bulan berganti, aku sah menjadi pengganggur terhormat. Entah lah, mungkin rasa sayang melebihi rasa sakit, aku kembali menghubungi Hang Nadim.
Aku bertanyakan mengenai hubungan cintanya dan dia menjawabku dengan soalan “Apakah Bunga Cantik masih sayangkan saya?.” Bagaikan sosok dirasuk aku pantas menjawab “Ya!”
Ternyata hubungan cintanya dengan sang puteri hanya di fasa percubaan. Hang Nadim berfikir aku sudah putus asa dengannya, lantas dia cuba untuk membuka hati buat sang puteri yang menyukainnya.
Aku jadi marah, begitu senang dia cuba buka hati untuk yang lain tapi tidak untuk aku? Dia memutuskan hubungan dengan sang puteri dan cuba untuk berbaik dengan aku.
Ahhh. Pelangi sudah mula hadir. Bungaku kembali mekar. Kami cuba bawa hubungan ini ke fasa seterusnya. Namun cuma dua bulan, bungaku kembali layu.
Entah di mana silapnya, Hang Nadim mengatakan dia perlukan masa. Pelangiku semakin kelam. Akhirnya menghilang dan hanya hujan yang menemani. Aku mengatur langkah pergi lagi bersama hati yang masih berharap.
PKP datang! Ketika ini aku sudah bekerja di ibu kota, jauh dari keluarga. Kesan berkurung mungkin membuatku jadi kembali teringat padanya. Aku cuba membalas story di Instagram nya. Alamakk Hang Nadim memberi respond!
Hari berganti hari, bulan berganti bulan, Hang Nadim semakin serius cuba mendapatkan aku kembali.
Aku yang masih sayang cuba untuk jual mahal setelah berkali kali terasa dipermainkan. Sehinggalah satu saat, aku aturkan pertemuan buatnya bersama keluarga kecilku.
Kesungguhan Hang Nadim berbicara soal masa depan kami di depan keluargaku buat aku yakin, inilah mungkin waktu yang tepat untuk kembali menerimanya dalam hidup.
Untung sabut masih ada rasa sayang setinggi Gunung Kinabalu.
Detik dan momen ini terlalu indah, sukar diungkapkan dengan kata kata meskipun jarang berjumpa dek terpisah oleh sekatan rentas negeri.
Kami masih bisa bertahan. Aku berikan seratus peratus kepercayaan padanya. Aku selalu berpegang pada prinsip “cheating is a choice. He’s gonna cheat if he wants to.”
Prinsip yang memakan diri sendiri kukira. Beberapa kali Hang Nadim memberi signal namun kukira keyakinanku kepadanya melebihi segalanya. Dia keluar malam dengan kawan perempuan, aku fikir itu biasa.
Dia membawa makanan untuk kawan perempuan yang tengah sakit, kufikir aku sporting kerana dia berbuat baik.
Bermacam Hang Nadim lakukan semua aku ada justifikasi sendiri memandangkan layanan dan rasa sayangnya masih belum berubah padaku.
Aku kira kisahku penuh dengan tiba tiba. Kami baik baik sahaja, tiada pertelingkahan atau apa, cuma aku merasa dia menjauh, secara drastik.
Kuberi dia waktu dan ruang kerana memang bukan kebiasaan kami untuk berhubung setiap hari. Seminggu berlalu, tiada khabar dari insan yang kusayang. Kutitipkan pesanan, nyatakan rasa tidak sedap hati aku.
Bagai ditusuk sembilu paling tajam, ibarat disiat-siat hati ini, balasan yang kudapat hanyalah sebuah kata putus.
Tanpa penjelasan, tanpa sebab yang kukuh. Hanya berbekalkan ayat “you deserve better person”. Hatiku meraung, why not you being that better person?
Tiada guna tangisan, tiada guna rayuan, tiada guna perancangan majlis pertunangan, semua menjadi debu berterbangan. Bunga Cantik ini tidak lagi mekar. Layu, selayu layunya.
Fokus kerja juga terganggu. Teruknya kehilangan ini sehingga lupa untuk redha pada takdir Tuhan.
Ketika kelopak diri ini gugur, keluarga datang mengutip satu persatu cebisan dan cuba cantumkan kembali. Sahabat sahabat baik tidak putus menyirami kembali Bunga Cantik ini agar kembali mekar walau tanpa kumbangnya di sisi.
Di saat diri masih rapuh, Hang Nadim memuat naik gambarnya bersama perempuan yang kukira itu kawan. “Ohhh”, hanya itu terkeluar dari bibirku.
Oh Tuhan, sakitnya hanya Allah yang tahu. Saat dijanjikan bulan bintang, saat bunga kembang setaman, begitu saja semua rasa direntap oleh satu perkataan. The least I can do is redha. Ikhlaskan, dan memaafkan.
Tuhan, baru kutahu rasa kebahagiaan bila melepaskan dan mengikhlaskan tanpa menyimpan secebis dendam.
Kukira aku rumah, namun cuma sebuah tempat persinggahan. Teruskan berkembang cantik sang bunga, saat bahagiamu akan tiba jua.
Doakan saya terus pulih dari kehancuran ini. Terima kasih sudi baca hingga ke saat ini.
– Bunga cantik (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit