Hi, aku Ryu. Ya, aku rasa bersalah kerana berkahwin.
Seusia awal dewasa, aku tak percaya kepada perkahwinan. Pada aku, perkahwinan adalah fantasi kebahagiaan.
Ditambah lagi dengan persekitaran aku membesar, dengan figura lelaki yang kugelar ayah, bersikap lepas tangan atas tanggungjawab material dan menyantuni keluarga.
Namun akhirnya aku berkahwin lewat 20an dengan lelaki yang aku percaya, ada kualiti seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab.
Benar, dia seorang lelaki yang berpegang pada janji semasa akad.
Perkahwinan yang lebih 5 tahun akhirnya dikurniakan 2 orang zuriat, Allah lebih mengetahui salah seorang zuriatku anak istimewa.
Sudah tentu, anak berkeperluan khas memerlukan belanja yang lebih, sekolah khas dan seumpamanya.
Setelah dikurniakan zuriat, hasil perbincangan aku dan suami, aku berhenti kerja. Sebelum anak istimewa ku didiagnos, aku mengandung.
Aku bersyukur pada Allah namun rasa takut menyelubungi diri. Anak pertamaku istimewa, malah aku mengandung anak ke2, belum apa-apa lagi aku telah meletak bebanan kepada adik.
Bagaimana persepsi adik kepada abangnya bila dia besar. Bagaimana kalau aku mati, aku akan terpaksa menyusahkan adik,
Ya Allah janganlah engkau matikan ku sebelum anak-anakku yang Allah. Aku mahu mereka gembira menjalani hidup mereka.
Dan pandemik menampar lagi suasana. Aku sedaya upaya berjimat cermat. Anak-anakku hanya diberi susu badan dan makan makanan yang kumasak di rumah.
Aku? Aku catu makananku. Aku makan bila terlalu lapar ataupun makan baki makanan anak-anak. Tak mengapa bagiku.
Apabila ada rezeki lebih, aku beli barangan dapur supaya suami dan anak-anakku dapat makan yang lebih sedap dan berkhasiat. Keperluan diriku, jarang kuminta dari suami.
Aku guna duit simpananku dan pakai apa yang ada. Bila aku rasa susah, aku tengok orang yang lebih susah dariku dan panjatkan syukur kepada Allah.
Ada hari kesabaranku di uji tinggi. Suamiku seolah-olah menyalahkan ku kerana dia terpaksa menanggung beban keluarga seorang diri. Tak sanggup aku bekerja meninggalkan anak istimewaku atas jagaan orang lain.
Aku cuba berbisnes online, namun anak-anakku perlukan ku dan bisnes online bukanlah semudah yang disangka, perlu komitmen seperti bekerja dengan syarikat.
Aku, aku rasa menyesal kerana berkahwin. Jika aku tidak berkahwin, aku tak perlu menyusahkan suamiku.
Aku tak perlu melihat anak istimewaku tidak mendapat pendidikan sewajarnya kerana aku tidak mampu, aku tak perlu menghadap adik yang tidak mempunyai pilihan perlu menjaga abangnya yang istimewa jika aku tiada.
Jika aku tidak berkahwin, ada duit atau tiada, aku seorang boleh hadapi semua ini. Aku boleh sahaja tidur di jalanan, kerja cuci pinggan untuk sesuap nasi.
Aku sakit tidak mengapa kerana aku tiada anak-anak yang mengharapkan ku. Aku boleh mati seorang dan tidak menyusahkan sesiapa.
Semuanya takdir dan sudah terjadi. Aku harus bangun redha atas hakikat dan sujud mohon kekuatan dariNya.
– Ryu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit