Untuk part I, (https://iiumc.com/luahan-seorang-suami/).
Pertama sekali terima kasih pada pembaca semua yang sudi memberi pendapat, cadangan mahupun nasihat tentang tulisan sebelum ni.
Dan tidak kurang juga ada yang membandingkan zaman dulu dengan sekarang yang mungkin pada aku sangat jauh perbezaannya.
Secara kasarnya, banyak komen yang memberi pendapat bahawa apa yang aku lalui ini adalah perkara biasa dalam fasa awal perkahwinan.
Alhamdulillah aku bersyukur bila dapat tahu ramai yang berkongsi pengalaman begini. Kira nya bukan aku sorang lah yang struggle lepas kawin ni hahaha.
Benar, bahagia itu subjektif. Banyak benda lain yang tak memerlukan duit yang boleh membahagiakan isteri. Betul aku setuju benda tu dan aku memang buat pun benda tu.
Alhamdulillah hidup kami saling melengkapi satu sama lain. Aku suka memasak, isteri suka mengemas. Aku basuh baju dan sidai, isteri angkat dan lipat. Itu semua memang kami dah setuju sejak sebelum kawin lagi.
Benda-benda kecil untuk bahagiakan isteri yang tak memerlukan duit / duit yang banyak, semua aku buat.
Tapi bila isteri minta sesuatu yang memerlukan duit yang banyak, aku jadi jem, jadi buntu sebab tak dapat tunaikan on the spot. Itu lah pada asalnya tujuan aku menulis confession di sini.
Tulisan kali ini bukan lah untuk menyambung part II tapi lebih kepada terpanggil untuk memberi penjelasan pada komen dalam penulisan sebelum ini.
Sebab rata-rata ramai yang tegur / marah / kecam tentang ansuran penapis air, bela kucing, staycation, duit pada mak ayah dan sebagainya. Maaf atas penulisan yang kurang jelas sebelum ini.
Sekadar penjelasan untuk pembaca, ansuran penapis air tu aku dah subscribe (rm60 sebulan) sejak sebelum kawin lagi masa duduk rumah bujang dengan kawan-kawan dulu.
Lepas kawin aku bawa pindah penapis air tu ke rumah sewa sekarang. Seingat aku mungkin dah 3 tahun kot.
Berkenaan kucing pula, itu adalah kucing isteri aku (2 ekor) yang dia bela sejak bujang lagi. Cuma kucing jalanan je bukan kucing baka mahal pun. Makanan dan pasir pun bukan yang berjenama. Timbang kilo je.
Aku faham makanan dan pasir pun part of costing bulanan jugak tapi tak kan lah aku nak suruh dia buang pulak kucing tu dek kerana nak jimat punya pasal.
So memang kami bela kucing ni dengan niat agar dapat menambah pahala dan rezeki kami.
Berkenaan perkara yang wajib & sunat pula; hubungan dengan Allah, duit pada mak ayah, nafkah isteri, zakat, jaga solat, sedekah, bagi makan kucing jalanan dan sebagainya,
Memang aku buat setiap bulan tapi aku tak tulis dalam coretan yang lepas sebab aku tahu ini semua benda basic yang perlu ditunaikan.
Tapi bila baca komen macam ramai pulak yang persoalkan benda ni. Maaf sebab aku tak tulis secara jelas.
Hiburan / kemudahan lain di rumah; astro, netflix, internet berkelajuan tinggi dan sebagainya. Aku tak ada astro dan seumpamanya, cuma subscribe netflix kongsi akaun dengan kawan-kawan bayar rm14 sebulan.
Internet pula sekadar ada sebab line handphone sangat teruk membuatkan aku subscribe internet bulanan. Lagipun ada kala nya aku kena WFH jadi kerja aku kena menggunakan kapasiti internet yang banyak.
Juga penjelasan buat pembaca sebab ada yang komen katanya pergi staycation tu membazir. Kami pernah staycation tu hanya 2 kali je sejak dari lepas kawin ni. Bukannya sebulan sekali.
Pada mulanya aku pun fikir membazir. Tapi bila seorang isteri yang terperuk duduk kat rumah sejak lepas kawin cakap macamtu, tak kan lah aku tetap nak cakap NO.
Tak sampai hati mat. Niat aku nak cuma nak membahagiakan isteri, jadi aku turutkan juga dengan harapan bila isteri aku happy, rezeki aku akan bertambah.
Ada juga yang komen untuk aku berbincang dan bentangkan gaji dan perbelanjaan bulanan dengan isteri. Sudah, aku dah buat semua benda tu diawal perkahwinan lagi.
Isteri tahu berapa gaji aku dan berapa aku spent untuk belanja bulanan dan sebagainya. Alhamdulillah dia sangat memahami.
Berkenaan kerja pula, ini pun aku tak tulis secara details dalam penceritaan lepas.
Aku memang tengah buat 3 kerja sekarang ni; kerja tetap harian (office hour), freelance harian sebagai penganalisis data dan aku juga jadi delivery rider sejak sebelum kawin lagi.
Cuma sekarang dah kurang sikit jadi rider sebab masa dan cuaca tak menyebelahi.
Kalau dulu keluar rumah 7 pagi, habis kerja office hour sambung kerja freelance kejap then berhujan berpanas sambung jadi rider sampai 10-11 malam sebab nak kumpul duit kawin.
Tapi sekarang tak sanggup nak buat lagi sebab kesian kat isteri sorang-sorang kat rumah.
Korang faham tak perasaan tu terbelah bahagi antara kerja dan isteri. Kalau tak sambung kerja rider, mana nak dapat duit lebih. Tapi kalau kerja sampai balik lewat malam, kesian pulak kat isteri. Haa gitu.
Hujung minggu pun kadang-kadang je keluar jadi rider. Itu pun ada kalanya aku bawa isteri sekali. Dapatlah jugak dia merasa jalan-jalan pusing bandar walaupun sakit badan pakai beg delivery, sakit punggung duduk atas motor.
Kalau tak keluar, duduk berehat spent time je lah kat rumah. Tapi tulah, isteri aku memang duduk kat rumah je, dia jadi bosan lah.
So dia akan tanya, “kita tak ada nak pergi mana-mana ke minggu ni?” Soalan itulah yang membuatkan aku serba salah sangat.
Aku rasa semua kerja yang aku buat tu masih belum cukup untuk aku tunaikan permintaan isteri aku. Dia tak ada pun minta benda yang bukan-bukan.
Cuma mungkin waktu dia minta tu tak berapa nak kena. Itu yang membuatkan aku jadi buntu bila tak dapat tunaikan on the spot.
Bila aku tak dapat tunaikan permintaan dia, aku akan masuk kan dalam satu list yang aku buat.
Jadi tiap kali ada rezeki lebih, aku akan tunaikan ikut turutan list tu. Itu je cara yang aku rasa boleh tunaikan permintaan dia satu per satu. Tapi memang berbulan-bulan lah lama nya hahaha.
Tapi alhamdulillah sejak aku bentangkan perbelanjaan bulanan pada isteri aku, dia sangat memahami. Aku pun dah explain kat dia untuk kembali bekerja semula.
Kami sekarang ni sedang berusaha untuk mencari kerja lain tapi masih belum ada rezeki lagi. Mohon doa dari kalian untuk kami dapat kerja baru.
Sekali lagi aku minta maaf atas penulisan yang kurang jelas dalam coretan sebelum ini. Dan terima kasih kepada semua kerana sudi membaca cerita aku kali ini walaupun agak panjang.
Aku cuma seorang suami yang ingin bahagiakan bidadari syurgaku.
– Munif (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit