Adakah Aku Ibu Yang Gila?

Si adik merengek tak sudah. Aku tahu adik mengantuk, disusukan sudah, didodoi sudah, tapi tetap merengek. Dah tertidur tadi sebenarnya, tapi tersedar sebab kakak buat bising. Tengah dodoi lagi adik, tiba-tiba kakak bawa tudung saji ke dalam bilik. Ye, tudung saji.

Aku tahu kakak lapar dan mengantuk. Dah disuap tadi mee goreng, tapi diluah. Pedas mungkin. Kalut-kalut aku buat pulak megi goreng tanpa letak cili kisar.

Tapi makannya tak sebanyak mana. Lagi banyak yang diluah. Berapa episod percubaan aku nak suap dia, boleh lah berapa suap saja.

Biasanya dia suka mee/megi ni. Sebab tu aku gigih buat, tapi hasilnya hari ni?

Kakak datang bawa tudung saji, tau untuk apa? Nak ketuk kepala adik yang aku tengah pangku tu. Banyak kali percubaan dia. Dah berbuih mulut aku larang, berapa kali aku baling tudung saji tu, lagi dia seronok nak ketuk.

Dengan adik pun makin kuat merengek, bising mungkin mendengar aku melarang kakaknya.

Klimaks… Aku letak adiknya, aku heret kakak keluar bilik, dan aku tutup pintu bilik. Semua meraung, dengan aku sekali. Sungguh, aku penat! I take a deep breath, then aku buka balik pintu. Tapi si kakak taknak masuk bilik dah.

Dan akhirnya tertidur sendiri atas sofa. Hati aku sebak, hancur berkecai-kecai. Kenapa aku terlalu cepat melenting? Aku sayangkan anak-anak aku, aku kasihankan anak-anak aku. Tapi aku tak tahan. Aku penat.

Aku Sya, seorang penjawat awam dan ibu kepada dua orang anak perempuan. Suami aku pekerja swasta yang kerjanya mengikut giliran shift. Maaf kalau confession ni berterabur, sebab aku tak pandai menulis. Aku hanya nak meluahkan.

Anak sulung aku yang aku gelarkan kakak, seorang yang sangat-sangat lasak mengalahkan anak-anak buah aku yang lelaki. Dah la lasak, sangat suka memunggah dan menyepahkan barang.

Sungguh, rumah aku sangat berbeza sebelum dan selepas aku ada anak. Disebabkan terlalu lasak, kerap la dia jatuh. Lebam sana, benjol sini. Dah banyak kali jugak kami ke hospital/ klinik sebab risaukan kesan dia jatuh tu.

Bagi mengelakkan dia terlalu lasak, aku pasang cerita kartun di tv. So kurang adegan jatuh tu. Dan aku nak masak pun senang hati sikit la, tinggalkan dia di depan tv.

Tapi dah jadi 1 lagi masalah. Maybe sebab banyak sangat expose to tv, dah jadi lambat bercakap pulak. So kami dah tak pasang cerita kartun di tv dah. Tapi kena melayan la sikap lasak dia tu.

Nak dijadikan cerita, aku termengandung tahun lepas. Sungguh, aku tergamam. Aku betul-betul belum sedia. Kakak pun kecik lagi, masih fasa lasak yang lasaknya mengalahkan yang lain. Belum cerita nak cerai susu lagi. Aku sendiri pun masih trauma nak bersalin dan jaga baby.

Tapi dah double line, siapa aku nak menidakkan. Takkan nak buang pulak, cari dosa pulak. Bila nurse yang baik tanya pasal kandungan yang rapat, aku jujur jawab accident. Tapi bila ada nurse yang bebel-bebel macam-macam, aku cakap, “ye, memang saya nak anak rapat”.

Bukan apa, kita dah berperang emosi sendiri, macam-macam lagi dikatanya kat kita. Ye, aku setuju untuk tak terlalu rapat mengandung.

Tapi kalau dah ibu tu termengandung rapat, at least approach dengan baik la, jangan tambah serabutkan lagi ibu tu.

Oh ye, selain makan ikut mood, kakak ni sangat susah tidur. Bila nak tidur, akan ada la dia buat apa-apa dulu, macam sepahkan pampers, lompat atas tilam. Kami memang dh lama tak pakai katil. Jadi proses aku nak bercerai susu dengan kayak memang sangat mencabar.

Dia susah tidur, bila tak mengempeng, lagi la mengamuk. Sangat meletihkan, dan deep inside, aku sedih sangat. Sebab aku menidakkan hak dia menyusu badan sebab aku pregnant (sakit sangat bila susukan). Dalam hati ni, berkali-kali aku salahkan diri aku yang pregnant.

Walaupun penuh ranjau, akhirnya kakak dapat bercerai susu dan aku buat satu rutin tidur untuk kakak. Minum susu, gosok gigi, tukar pampers, urut badan dia dengan minyak and lastly bacakan buku.

Alhamdulillah, lebih mudah tidur dan dia tidur lebih nyenyak walaupun dia start tidur tu agak lewat.

Aku mula rasa lebih mudah menjaga kakak dan aku pernah bawa dia sorang-sorang keluar jumpa kawan. Alhamdulillah boleh dihandle.

Tapi aku semakin mengah sebab perut dah memboyot. Dekat aku nak bersalin, aku balik kampung dan bermula lah episod pjj kejap dengan ayahnya. And rutin kakak mula caca marba. Lagi teruk bila dah dapat adik.

Mungkin dia rasa dia kurang perhatian, sebab aku kena banyak fokus pada adiknya. Tak ada lagi rutin tidur kayak. Maka kembali la episod susah tidur dia. Sekarang ni, pantang tengok aku baring, mesti nak panjat dan lompat atas badan aku.

Kadang aku lenguh lepas menyusukan adiknya, dia datang nak lompat atas badan. Oh ye, aku tak boleh susukan adiknya sambil baring sebab dia akan datang nk tindih adiknya. Bahaya.

Disebabkan dia lambat bercakap, aku banyak juga belikan mainan untuk dia. Tapi aku nak kena attend adiknya la, nak kena kemas rumah la, masak la. Aku suruh suami main dengan kakak. Alasan, tak pandai, kakak nak main sorang-sorang. Ini aku hangin.

Kata nak usahakan untuk kayak cepat bercakap, tapi ayahnya acuh tak acuh. Sama jugak pasal makan. Kalau kakak taknak makan sekali, dah tak cuba dah. Dah tahu kakak susah makan, effort kena lebih sikit. Aku penat, rumah bersepah, kakak asyik sepah.

Ayahnya lepas sahur, boleh tidur balik sebelum nak pergi kerja. Takde pun nak tolong sapu ke, basuh baju ke. Aku lah semua. Memang dia boleh diharap untuk basuh berak dan mandikan anak, tapi itu ajelah.

Bab urusan rumah, semua nak kena disuruh dan dia terlampau relaks. Memang dia tak bising rumah sepah, tapi aku serabut. Aku ni bukannya orang yang kemas sangat pun. Tapi sakit mata jugak tengok rumah bersepah.

Itupun boleh lagi bergurau nak anak lagi, sebab belum dapat anak lelaki. Memang la bergurau, tapi tolong prihatin sikit. Tak caknakah suami aku akan emosi aku yang dah barai teruk ni. Suami memang tak rasa sangat sebab dia macam yang aku kata, terlampau relaks.

Dia tak payah fikir, esok nak masak apa untuk anak. Esok nak kena pam susu pukul berapa? Baju apa nak sediakan untuk anak ke taska esok? Tak, dia tak fikir. Kalau suruh dia, makanan anak, dia beli jela.

Baju, ambil aje la walaupun baju lain seluar lain, atau baju tu baru basuh semalam. Senang kan? Aku jadi terlampau penat sebab aku yang kena fikir hampir semua perkara.

Aku rasa berdosa sangat bila marahkan anak. Tapi sesungguhnya aku penat. Aku rasa berdosa bila selalu macam menyalahkan takdir kenapa aku termengandung? Kenapa aku tak jaga elok-elok? Tapi aku memang belum bersedia. Aku takut anak-anak aku jadi mangsa.

Kadang-kadang nak saja aku pergi ke mana-mana 2,3 hari. Biar suami yang uruskan anak-anak. Sebab selama ni tak pernah aku tinggalkan anak lebih daripada 6 jam dengan dia sorang-sorang.

Aku nak suami rasa apa yang aku rasa uruskan anak sorang-sorang bila dia kerja or bila dia jauh. Biar dia lebih empati akan emosi aku. Biar aku dapat fokus pada kerjaya aku macam dulu.

Aku nak kejar cita-cita aku yang selama ini aku abaikan untuk fokus pada keluarga. Tapi aku bimbang anak aku terabai sepanjang aku tak ada.

Entahlah… Aku just nak meluahkan sebagai anonymous di sini, supaya aku rasa lebih lega tapi dalam masa sama aib keluarga aku masih terpelihara. Aku selalu doa agar anak-anak aku dicantikkan akhlak mereka dan supaya aku jadi ibu yang sabar.

Aku sayangkan anak-anak aku. Aku taknak emosi anak aku pulak tercalar bila aku bersikap macam ni.

Kadang aku rasa macam “Aku ni masih waras ke?” “Aku ibu yang gagal ke?” “Gila ke aku?” sebab aku tak dapat kawal amarah aku pada anak-anak aku. Tolong tiupkan semangat dan nasihat pada aku agar lebih kuat.

– Sya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *