Kuasa Doa

Assalamualaikum semua.. aku Iya (bukan nama sebenar). Pertama kali menulis di sini, harap maaf jika penulisan yang tidak tersusun dan tidak menarik untuk dibaca.

Aku ingin berkongsi cerita tentang kuasa doa sepanjang dalam perjalanan hidup aku.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, adik beradik pun ramai. Tetapi kami sekeluarga bahagia dengan kehidupan kami. Ayah dan emak sentiasa mengajar kami sentiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah, tidak kira nikmat apa pun yang ada.

Kami juga sering diingatkan oleh ayah sentiasalah jaga solat 5 waktu dan sentiasalah berdoa dan tidak serik untuk mengamalkannya..

sehingga kini ayah masih tidak putus berpesan-pesan kepada semua anak-anaknya setiap kali kami berkumpul di rumah ayah.

Perjalanan hidup kami adik beradik juga sentiasa lancar dan masing-masing berjaya belajar sehingga ke universiti. Alhamdulillah.. Ini semua berkat doa dari emak dan ayah. Allah sentiasa makbulkan doa hambaNya yang bersungguh-sungguh.

Ketika diusia remaja aku berdoa agar dijodohkan dengan orang yang baik disisi agama Allah. Alhamdulillah doa aku dimakbulkan Allah.

Aku berkahwin pada tahun 2007 iaitu pada semester terakhir di universiti dengan seorang lelaki yang sangat sempurna di mata aku walaupun dia hanya bekerja biasa dan pendapatan tidak tinggi.

Tetapi hidup kami serba cukup kerana suami sangat pandai mengurus semua makan minum dan keperluan kami dengan baik sehinggakan aku dicemburui oleh ibunya sendiri kerana katanya suaminya tidak seperti anaknya yang terlalu baik itu.

Aku tinggal di rumah mertua selepas berkahwin sehingga kini. Alhamdulillah tiada masalah antara kami. Setakat kecil hati kadang-kadang itu ada la.. tapi aku tak kisah, aku jenis cepat lupakan, yang penting sabar pesan suami aku.

Selepas berkahwin aku inginkan anak lelaki sebagai anak sulong kerana aku inginkan dia menjadi pelindung adik-adiknya pada masa akan datang.

Jadi keinginan untuk ada anak lelaki itu kuat.. Alhamdulillah… Allah makbulkan lagi doa aku. Anak lelaki aku dilahirkan pada tahun 2008.

Kemudian aku ingin anak perempuan pula, berdoa lagi dan lagi.. Alhamdulillah.. Allah makbulkan lagi doa aku. Anak perempuan aku dilahirkan pada tahun 2010.

Kemudian aku merancang untuk menjarakkan kandungan, kerana selepas kelahiran kedua aku dapat tawaran pekerjaan di sektor kerajaan iaitu sebagai guru di sekolah rendah. Alhamdulillah tempat kerja juga tidak jauh dari rumah.

Masih dalam daerah yang sama. Dengan pendapatan yang aku terima, aku layak membuat pinjaman untuk belian kereta pertama aku.

Kereta digunakan untuk memudahkan aku ke tempat kerja setiap hari.

Suami pula asalnya bekerja dari pagi hingga ke malam. Sejak aku mula bekerja, dia tidak bersetuju untuk menghantar anak di rumah pengasuh kerana terlalu khuatir jika anak dijaga dengan tidak baik seperti yang diharapkan.

Lebih-lebih lagi ketika itu sedang hangat isu berlaku kematian anak-anak asuhan. Alhamdulillah majikan suami izinkan dia masuk kerja mulai petang, jadi suami jaga anak di rumah sewaktu aku bekerja, selepas aku pulang, suami pula bersiap ke tempat kerjanya.

Syukur sangat kerana Allah permudahkan lagi urusan kami hingga kini suami yang menguruskan semua anak-anak kami sewaktu aku bekerja. Hidup kami saling melengkapi.

Seterusnya kami merancang untuk menambah anak, tapi kali ini aku hanya meminta dan berdoa anak yang akan dilahirkan sihat dan sempurna, tidak kisah jantinanya, maka lahirlah puteri kedua kami pada tahun 2014 dan seterusnya puteri ketiga pada tahun 2018.

Alhamdulillah puteri puteri kami sihat-sihat semuanya.

Pada tahun 2021 aku merancang lagi untuk anak yang terakhir, kali ini aku inginkan anak lelaki pula sebagai penutup sebelum umur aku 40 tahun.

Pada bulan oktober aku dapati ada ketulan di payudara kanan, aku berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan dengan membuat ultrasound kemudian biopsy.

Pada november 2021 aku disahkan menghidap kanser payudara tahap 4 jenis TNBC. Buat kali pertama aku diuji Allah dengan sakit yang tidak terjangka ketika usia kandunganku 5 bulan.

Sangat sedih dan tidak terkata-kata dengan ujian yang Allah berikan ini. Dua hari aku menangis tanpa henti memikirkan aku akan mati meninggalkan anak-anak yang masih memerlukan aku.

Dengan sokongan suami, ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan sekerja aku cuba kuatkan diri. Aku berdoa setiap hari untuk meminta dan merayu pada Allah supaya aku diberi peluang untuk sembuh dan sihat.

Aku tak pernah meminta kaya harta, aku hanya inginkan anak-anak dan seluruh ahli keluargaku sentiasa dalam lindungan Allah, terjaga iman dan amalnya, itu sahaja doa yang aku selalu titipkan selepas solat setiap hari.

Aku tekad untuk sihat, aku menjalani semua rawatan yang disarankan oleh doktor, aku berdoa supaya anak dalam kandungan aku sentiasa sihat dan kuat sehingga dilahirkan.

Pada februari 2022 putera keduaku dilahirkan awal sebulan dari tarikh jangkaan. Alhamdulillah Allah makbulkan lagi doa aku. Anak aku sihat dilahirkan walaupun menempuhi 4 kali sesi kemoterapi bersama aku ketika dalam kandungan.

Aku jadi semakin yakin dengan kuasa doa, aku mahu sembuh dan sihat, walaupun aku dalam keadaan sakit.. Aku tetap gagahkan diri buat kerja rumah seperti biasa, aku tak mahu kelihatan lemah.

Aku bukan nak melawan takdir yang aku sakit, tapi aku berusaha bersungguh-sungguh untuk melawan sakit aku.

Aku mengharap semoga Allah makbulkan lagi doa-doa aku yang seterusnya sampai bila-bila. Aku terlalu mengharap untuk diberi peluang hidup sihat dan membesarkan anak-anak aku bersama suami.

Aku telah habis sesi kemoterpi 6 cycle pada April yang lalu. Pada bulan Mei selepas raya nanti aku akan menjalani pembedahan mastectomy pula.

Aku mengharap juga doa dari semua pembaca jika tulisan aku disiarkan. Semoga ada di antara doa kalian yang Allah makbulkan. Doakan aku selamat, sihat dan bebas dari kanser ye..

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua.. Terima kasih kerana sudi baca. Semoga Allah makbulkan doa dan memberi ganjaran baik kepada kalian.

InsyaAllah aaamiin..

– Iya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *