Semakin tua begini, semakin banyak kenangan bersama arwah mak menyerbu dalam memori.
Semakin banyak rasa bersalah kerana nakal waktu kanak-kanak dan remaja. Juga pasti pernah juga mengecilkan hati mak ketika menginjak dewasa.
Teringat susah payah mak ketika kami anak-anaknya sakit. Jika demam, arwah emak akan usahakan jelum kepala dengan ramasan air daun bunga raya.
Jika luka, emak hancurkan daun kapal terbang dan tampal di tempat luka. Ajaibnya, demam sembuh. Luka juga membaik.
Kuasa usaha dan tawakkal.
Klinik dan hospital tidak familiar untuk kami anak kampung di ceruk pedalaman Pahang sekitar penghujung 1970-an.
Dah baik demam, pasti teruskan aktiviti seperti biasa. Kadang belum baik benar, masih dedar-dedar sudah ikut mak pergi cari daun mengkuang di tepi paya. Berpeluh-peluh berjalan di rembang petang.
Lepas itu, duduk mencangkung ralit melihat mak mencantas pangkal mengkuang.
Bukan mudah, mak bijak betul mengelak daripada terkena duri mengkuang yang tajam. Dapat dalam puluhan helai/ pelepah helai/ pelepah mengkuang, mak pun menjunjungnya di atas kepala untuk proses seterusnya.
Saya tidak menolong pun. Hanya menjadi pemerhati. Mak tak bagi tolong, sebab risau saya terkena duri. Begitulah kasih ibu, kan. Biar dia susah, jangan anak susah.
Ada kala, saya mengikut mak pergi ‘mesin padi’. Sebenarnya mesin pengisar padi. Di kampung kami ada seorang usahawan yang menjalankan perniagaan ambil upah ‘mesin padi’.
Mak bawa seguni padi (hasil sawah yang mak dan nenek usahakan), kemudian upah 50 sen kepada pengusaha mesin padi tadi untuk dijadikan beras.
Pergi bawa padi, balik bawa beras. Dan bau beras baharu itu sangat harum. sangat harum. Sampai sekarang, saya masih ingat aromanya.
Tengah menulis inipun, saya bagai terhidu baunya. Pejam mata sekejap. Syahdu. Nostalgik. Damainya terasa hingga ke tulang hitam.
Begitulah. Pantang mak nak bergerak memenuhi aktiviti menggunakan kudrat tulang empat keratnya, pasti saya yang berusia sekitar 5 atau 6 tahun ketika itu sibuk nak mengikut.
“MAK, ORANG NAK IKUT!!”
Pernah juga naik perahu dengan mak untuk ke pulau (rumah kami berdekatan dengan Sungai Pahang). Pulau itu bermakna ada tanah subur di seberang sana untuk bercucuk tanam.
Tetaplah saya jadi pemerhati melihat mak menugal jagung, menabur benih kangkung, membugar batas dan seumpamanya.
Tetaplah saya memerhati keringat menitis di dahi mak dan kemudiannya membasahi wajah tua mak (mak berusia awal 40-an ketika itu).
Musim orang bersawah, saya pun mengikut juga. Tetapi tak buat apa pun. Hanya berlari di batas sawah main kejar-kejar dengan Atan, Mamat, Mimah, Wati dan beberapa nama klasik lagi.
Sesekali berdekah ketawa kami mengejek kaki dan betis kawan-kawan yang bergantungan lintah gemuk-gemuk kerana berjaya menghisap darah segar kami.
Mak, nenek dan rakan-rakannya leka meneruskan kerja-kerja di petak sawah.
Petang, usai solat Zuhur dan makan tengahari dengan lauk kampung paling sedap di nusantara, saya ikut mak cari pucuk paku pula di tebing sungai. Banyak sungguh.
Bila diingat kembali rasa ‘seram’ pula kerana kerap terserempak dengan sang ular yang menyorok di sebalik rimbunan pucuk paku dan semak samun.
Mak tenang sahaja. Bagi mak, yang penting dia dapat kutip sayur untuk beri keluarga makan sedap-sedap.
Kalau musim hujan, ikut mak kutip kulat sisir pula yang melata di batang getah. Balik rumah, mak masak sayur lemak kulat sisir campur ikan bilis dengan cili padi. Sedap benar. Berpinggan-pinggan saya menambah basi.
Malam, mak ajar budak-budak mengaji termasuk kami adik beradik.
Kemudian, berteman api pelita, mak menganyam tikar pula. Dapat beberapa bidang, mak jual kepada yang berminat. Bukan mahal pun, sebidang tikar mengkuang bersaiz besar hanya RM5 sahaja.
Mak memenuhkan hidupnya, mengerahkan seluruh kudratnya demi kami, anak-anaknya. Tidak pernah melihat mak bersenang-senang berehat.
Walaupun arwah ayah tidak pernah gagal memberi nafkah, mak tetap kuat membantu ayah memberi harmoni untuk rumahtangga kesayangannya.
Sebab itu, apabila kami adik beradik dewasa, seboleh mungkin cuba membahagiakan mak mengikut kemampuan kami.
Tetapi, mak tetaplah ke sungai memancing ikan, tetaplah bercucuk tanam keliling rumah, tetaplah mengutip pucuk paku dan kulat sisir.
Menurut mak, kalau duduk saja nanti mak demam sebab tak keluar peluh.
Mak tak pernah pukul kami adik beradik. Hanya jerit suruh balik dan pegang ranting kayu untuk takutkan saya yang berendam di sungai berjam-jam lamanya.
Jari kaki, jari tangan sudah kecut pun masih seronok main lumba berenang. Mata sudah merah pun tenaga masih banyak main tenggelam timbul.
Syurgalah buat mak. Pasti mahligai mak indah benar di sana.
“MAK, ORANG RINDU!!”
– ~UMI~ (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit