Aku digelar Kak Long dalam keluargaku kerana aku anak sulung dalam keluarga ku. Aku hanya ingin bercerita mengenai sosok seorang ibu @ yang kami anak-anak panggil emak.
Aku berasal dari negeri di selatan tanah air. Emak kini tinggal seorang diri selepas kematian abah. Ini kerana anak-anak terpaksa berjauhan kerana mencari rezeki.
Kehidupan emak semasa kanak-kanak tidaklah seindah kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Emak sering kali bercerita yang beliau terpaksa mecari rezeki seuusia 10 tahun.
Emak kehilangan ibunya semasa kecil lagi. Emak tidak pernah mengenali siapa ibu kandungnya. Atuk aku berkahwin lain dan emak mempunyai ibu tiri tetapi emak tidak dijaga oleh ibu tirinya.
Emak tinggal bersama abangnya tetapi kehidupannya agak sukar, emak perlu mengasuh anak-anak saudaranya dan perlu bekerja untuk keperluannya.
Emak juga tidak pernah bersekolah secara formal dan beliau hanya belajar membaca dan menulis melalui anak saudaranya ketika itu.
Kehidupan emak berubah apabila emak berkahwin dengan abah. Perkahwinan tersebut diatur oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Emak hanya menurut sahaja. Selepas berkahwin, emak tinggal bersama keluarga mertuanya.
Kemudian selepas dikurniakan anak kedua @ angah, abah memasuki pasukan beruniform dan emak pun berpindah mengikut abah ke mana sahaja abah berada.
Abah hanya seorang anggota yang berpangkat rendah dan pendapatan ketika itu hanya sekadar cukup makan sahaja habis bulan habis gaji.
Pada masa itu, emak mula berniaga kecil-kecilan dengan membuat kuih dan nasi lemak.
Emak yang tidak pernah bersekolah tetapi amat pandai dalam pengurusan rumah tangga, Emak pandai masak dan menjahit. Emak tidak pernah duduk diam sahaja,akan berusaha mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Tambahan pula adik-adik aku makin bertambah sehingga lima orang. Emak juga pernah mengambil upah mengasuh anak orang bagi meringankan beban abah.
Emak juga mengajar anak-anak jiran mengaji Al-Quran. Dengan emak, kami anak-anaknya juga belajar mengaji dan khatam AL-Quran.
Pada bulan Ramadan, emak akan mengambil tempahan membuat biskut raya dan kerepek dan melalui hasil jualan tersebut emak akan menyediakan keperluan raya kami adik beradik. Pada ketika itu, emak sendiri akan menjahit baju kurung kami semua.
Jika pada tahun tersebut tidak pulang ke kampung, emak akan menjahut pakaian sekolah kami anak-anak perempuannya. Ini kerana kami sekeluarga akan pulang beraya setiap 2 tahun sekali. Ya, semuanya emak buat sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan.
Selepas abah tamat perkhidmatannya, kami pulang ke kampung dan menetap di kampung di selatan tanah air.
Walaupun abah mempunyai pencen, emak tetap berusaha menambah pendapatan, ini kerana ketika ini 3 daripada kami belajar di IPTA dan 2 adik aku masih bersekolah.
Emak masih lagi berniaga nasi lemak di hadapan rumah. Emak hanya berhenti berniaga apabila abah meninggal dunia dan kami anak-anaknya semua telah bekerja di sektor kerajaan dan swasta.
Anak-anak semua telah menamatkan pengajian di IPTA dan IPTS walaupun emak hanya seorang buta huruf dan tidak pernah bersekolah dan abah hanya belajar di sekolah rendah sahaja.
Dengan didikan emak, kami semua telah berjaya tetapi kejayaan ini menyebabkan anak-anak emak terpaksa berjauhan dari emak.
Kehidupan ini selalunya kita harapkan ia akan berakhir dengan cahaya dihujungnya tetaoi Allah telah menguji kami sekeluarga apabila emak mula tidak sihat.
Pada mulanya hanya disangka sakit biasa tetapi rupanya emak mengalami ketumbuhan di perut dan masih lagi menerima rawatan.
Aku mohon semua doakan emak cepat sembuh. Selamat Hari Ibu,Emak walaupun telah terlambat satu hari untuk aku ucapkan. Maaf jika bahasa aku tidak begitu menarik minat pembaca sekalian.
Tetapi aku harap pembaca dapat doakan emak aku cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusannya. Kami anak-anak emak sayang emak.
– Kak Long (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit