Apa Rasanya Jadi Anak Tunggal

Hi semua pembaca IIUM Confession. Aku perlukan pandangan dan nasihat dari kalian. Terutamanya mereka yang pernah hidup sebagai anak tunggal.

Diharap pembaca sekalian sudi memberi pendapat dan pandangan berdasarkan apa yang kalian pernah alami atau lihat.

Sedikit pengenalan diri ini. Aku seorang ibu berumur 30an dan mempunyai seorang anak. Aku dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai ramai adik-beradik begitu juga suami. Kami berdua berkelulusan professional dalam bidang masing-masing.

Sebenarnya, aku memang teringin anak ramai. Seperti adik-beradik ku yang meriah dan ramai. Rumah tidak pernah sunyi. Aku punya adik, kakak dan abang yang ramai.

Aku sentiasa ada pilihan ketika mempunyai masalah kerana adik beradikku yang ramai ni mempunyai pelbagai karekter dan latar belakang yang berbeza untuk memberi idea dan pandangan untuk setiap perbincangan atau masalah yang berlaku.

Tapi takdir menetapkan sampai sekarang anak aku cuma seorang dan tak lama lagi anak aku juga akan menjejak kaki ke sekolah menengah.

Mungkin juga akan tinggal di asrama penuh seperti kami suami isteri ketika sekolah menengah dahulu. Aku memang berharap untuk dikurniakan anak lagi.

Tapi puas aku berdoa, menangis mengenang nasib, mengirim doa pada mereka yang ke Mekah & Madinah, berusaha dengan rawatan doktor tapi akhirnya defaulted kerana suami mula bangkitkan isu duit yang habis dan sebagainya.

Tapi masih tidak berhasil. Suami juga tidak nampak kesungguhan untuk menambah anak kerana kesibukan kerja dan masalah kesihatan yang dia alami. Nak ajak suami pergi klinik kesuburan juga amat payah. Puas aku menangis, memujuk.

Kami juga jarang bersama. Jarang yang teramat jarang. Bila aku tanya apa masalah dia? Dia hanya mendiamkan diri. Membatu tidak menjawab. Puas aku menangis, merajuk dan marah inginkan jawapan.

Sehinggalah baru2 ini dia jujur mengatakan yang dia mempunyai masalah kesihatan yang membuatkan dia kurang bernafsu dan hubungan intim itu tidak berjaya. Susah nak explain detail tapi harap pembaca faham.

Tanpa hubungan intim, agak mustahil aku boleh mengandung secara normal dan dapat anak. Aku beberapa kali cadangkan IVF tapi kos yang tinggi menyebabkan cadangan aku tu tidak dilayan dan berlalu begitu sahaja seperti angin lalu.

Untuk ubatkan kesedihan aku, aku sibukkan diri. Aku sambung belajar. Tapi lepas tamat belajar, aku masih bersedih mengenangkan isu ini.

Aku cuba redha dan terima takdir yang mungkin aku hanya ada seorang anak sahaja. Apatah lagi dalam masa beberapa tahun lagi, aku akan menginjak usia 40an.

Tapi aku bimbang. Adakah aku ini mampu menjadi ibu yang baik? Kerana aku hanya mempunyai satu peluang untuk membesarkan satu-satunya permata hati ini. Kerana anak aku ini hanya ada seorang.

Sememangnya aku sentiasa diasak dengan soalan bila nak tambah anak? Kenapa tak tambah anak? Dan anak aku sendiri kerap meminta adik. Aku nak sangat anak lagi. Nak sangat-sangat. Tapi apa dayaku.. aku bersedia dan sudah lama mengharap.

Tapi tak mampu aku jelaskan yang sebenarnya suamiku yang bermasalah. Apa gunanya aku buat rawatan kesuburan jika suamiku tidak menyentuhiku.. sehingga aku terpaksa ingatkan dia dengan lafaz taklik yang pernah dibuat ketika akad nikah dulu.

Tapi masih sama.. dia cuba, tak berjaya dan kemudian hari-hari berlalu sehingga aku ingatkan dia kembali. Aku dah penat meminta.. emosi aku juga jadi tidak stabil.

Bila aku lihat anak tunggalku itu.. aku kasihankan dia. Hidup sendiri tanpa adik beradik. Bila nampak baby atau budak kecil, dia akan menyapa dan cuba bermain. Dia amat sukakan kanak-kanak kecil. Dia selalu bercerita kawan-kawan di sekolah ada adik beradik tapi dia tidak ada.

Tapi aku tak mampu berikan dia adik-beradik untuk menjadi kawan dan teman buat dia. Aku terfikir, jika aku dan suami sudah tiada, bagaimana dengan dia? Siapa akan bersamanya saat susah dan senang? Siapa akan berkongsi rasa kesedihan, gembira dan sebagainya?

Sebab pengalaman aku sendiri, bila dah dewasa ni. Kita akan rapat dengan adik beradik je. Sepupu pun sudah jarang berhubung kerana sudah ada kehidupan dan kesibukan masing2. Sakit pening ibu bapa pun pasti adik beradik sahaja yang bersama kita.

Justeru itu, aku mohon pembaca yang sudah dewasa sebagai anak tunggal, boleh lah kongsikan pengalaman hidup menjalani kehidupan sebagai anak tunggal sehingga dewasa. Sebagai seorang ibu, aku perlukan persediaan menghadapi hari mendatang.

Aku mahu berikan yang terbaik untuk anak tunggalku kerana aku mungkin tiada peluang melahirkan, mendidik dan membesarkan anak lagi selepas ini.

Akhir sekali, aku mohon kalian dengan seikhlas hati doakan aku dikurniakan anak lagi walaupun usiaku hampir mencecah 40an. Mungkin ada di antara pembaca coretan ini yang doanya diangkat ke langit dan makbul di sisi Allah SWT.

Aku percaya pada kekuatan doa kepada Allah SWT. Semoga Allah makbulkan setiap hajat-hajat kita yang baik. AAMIIN.. InsyaAllah..

Terima kasih.

– Mawar Putih (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *