Melayu Celup Tepung

Aku harap luahan aku ni akan disiarkan bagi tatapan ibu bapa generasi tiktok.

Kalau dulu aku pernah terbaca tentang luahan guru di sekolah swasta terbeban dengan segala tugasan dokumentasi dan akhirnya memilih menjadi guru tuisyen.

Kini, giliran aku untuk berkongsi tentang tugas sebagai tutor peribadi dan tutor di Pusat Tuisyen.

Nama aku Melur, aku dibesarkan di sebuah bandar kecil di semenanjung Malaysia dan selepas tamat degree aku menetap di negeri Selangor dan terkini di Wilayah Persekutuan.

Ya, kenapa tajuk luahan aku tersangat sinis kerana aku hendak merujuk kepada sikap ibu bapa yang lebih mementingkan bahasa PENJAJAH (Inggeris) berbanding bahasa melayu.

Aku ialah tutor peribadi yang banyak mengajar pelajar sekolah rendah berdarjah empat sehingga darjah enam. Kebanyakkan anak klien aku ialah kanak-kanak Melayu yang tidak pandai berbahasa melayu.

Ya, aku taip lagi sekali, TIDAK BOLEH BERBAHASA MELAYU. Kanak-kanak ini sudah tentulah fasih dalam bahasa Inggeris, cair sungguh bila bertutur! Gitu.

Aku di sini nak highlightkan bukannya salah sekiranya kanak-kanak di ajar bahasa lain selain bahasa melayu, tetapi masalahnya di sini, bila anak-anak tidak faham bahasa melayu dihantar ke sekolah kebangsaan dan bukannya international school.

Aku sehingga sekarang tak faham signifikan peranan ibu bapa dalam senario seperti ini. Maka, akhirnya si anak terkapai-kapai di sekolah kerana tidak faham proses pembelajaran yang menggunakan bahasa melayu.

Malah yang lebih sadis, anak tersebut juga tidak dihantar ke sekolah yang menggunakan sistem DLP (Dual Languange Program).

Justeru, kami si Tutor peribadi dilantik untuk mengajar anak mereka seminggu sekali bersamaan empat kali seminggu dengan harapan anak boleh lancar bertutur bahasa melayu dalam masa yang singkat dan boleh memahami selok belok matapelajaran lain pada masa yang sama. HAHA. Ironi bukan?

Inilah masalah yang aku hadapi sebagai tutor peribadi bila diberikan tugasan untuk mengajar bahasa melayu dan pada yang sama ‘ibu bapa celup tepung’ berharap sambil menyelam minum air, bahawa dengan bayaran RM150 sebulan si anak mampu catch up segala subjek pembelajaran yang lain di sekolah.

Aku pernah menyuarakan perkembangan si anak kepada ibu bapa mereka, sedangkan anak hampir masuk sekolah menengah pada tahun hadapan.

Tetapi apa respon mereka? Cuaca panas, anak terlalu penat balik sekolah dan belah malam kesian anak kena rehat sahaja.

Selain itu, sudah pasti covid menjadi alasan unggul dek perkembangan anak yang mundur dalam matapelajaran. Iyalah, PKP berbulan kalau 1 hari 1 sifir untuk anak hafal, bukankah sudah memadai untuk menghafal sehingga sifir 12?

Oh, tidak. Cikgu yang bersalah kerana tidak memberikan perhatian kepada anaknya.

Maaf aku katakan, para klien aku bukanlah dari golongan B40 yang tidak mampu dan bukan juga T20 yang mampu mengambil tutor peribadi untuk anak hampir setiap malam.

Ini adalah satu fenomena yang aku nampak dari golongan pertengahan yang terlalu mengagungkan bahasa penjajah sebagai bahasa pengantar keluarga mereka sehingga si anak ketinggalan di sekolah kerana ibu bapa tidak mampu untuk menghantar anak ke sekolah antarabangsa.

Akhirnya, ibu bapa mengambil keputusan menghantar anak ke tuisyen atau tutor peribadi dengan harapan anak mampu bertutur bahasa melayu dalam tempoh 2 bulan pertama sedangkan dalam tempoh 2 bulan di sekolah pelbagai silibus yang telah diajarkan dan terus menerus anaknya akan ketinggalan.

Semoga perkongsian ini membuka mata si ibu bapa tentang pentingnya bahasa melayu di dalam kehidupan seharian anak-anak.

Aku di sini meluahkan dari sudut dimana ibu bapa yang tidak mampu menghantar anak mereka yang tidak boleh berbahasa melayu ke Sekolah Antarabangsa dan akhirnya memberi impak yang sangat buruk ke atas perkembangan akademik anak di sekolah.

Aku akhiri tulisan ini dengan harapan ibu bapa yang diberikan rezeki anak untuk menimbang tara sewajarnya corak yang anda corakkan dalam kehidupan anak-anak. Sekian. Bahasa Jiwa Bangsa.

– Melur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *