1001 Rasa Anak Derhaka II

Untuk part I, (https://iiumc.com/1001-rasa-anak-derhaka/).

Terima kasih tak terhingga kepada Admin kerana sudi menyiarkan confession yang lepas. Niatnya hanya untuk meluahkan apa yang terbuku di hati secara “one-off” saja.

Tapi bila baca komen-komen para pembaca IIUM Confession, rasa terpanggil untuk menjawab dan menjelaskan apa yang jadi. Sebelum ini, ada beberapa bahagian yang tak diceritakan kerana tak mahu panjang lebar bercerita. Tapi, kali ini memang akan panjang berjela.

Aku harap semuanya dapat sabar dan baca sehingga habis kerana ini adalah penulisan aku yang terakhir. Ada sedikit nasihat dan kata-kata yang nak aku kongsikan.

Para pembaca sekalian, ketahuilah bahawa doa, nasihat dan semangat yang anda semua beri membuatkan aku rasa diri ini ikhlas difahami dan dikasihi. Menitik air mata. Ada yang senasib dengan aku malah dugaanya lagi hebat.

Aku hanya mampu doakan kalian juga tabah. Juga ada golongan ibu yang diduga seperti arwah mak. Hanya mampu mendoakan supaya kuat semangat dan yakinlah bahawa anak-anak pasti mengasihi siapa yang mengasihinya.

Lagi, ada yang bersimpati dengan aku dari persepsi seorang ayah. Nasihatku, teruskanlah menjadi ayah yang terbaik buat anak-anak. Terima kasih aku ucapkan. Hati aku berasa sangat dekat dengan kalian walaupun secara maya.

Sejujurnya, sejak aku remaja, aku tak pernah nak kongsi dengan sesiapa pasal soal hati dan perasaan. Aku ni tak reti nak bercerita.

Sebab apa? Sebab aku tak mahu orang anggap diri aku ni malang dan mengganggap tiada yang ikhlas untuk dengar dan faham isi hati aku.

Aku ada masalah “trust issue”. Masa aku kecil (10-12 tahun), selalu saja aku menjadi perhatian di sekolah kerana masalah keluarga aku ini.

Cikgu yang aku ingatkan ikhlas mengambil berat rupanya hanya sekadar ingin mengetahui masalah rumahtangga mak ayah aku. Tiada bantuan dan kata-kata semangat.

Apa yang aku cerita kepada cikgu, pasti cerita itu akan ketahuan pada hampir kesemua cikgu aku di sekolah. Bahkan kawan-kawan aku jugak ada yang tahu.

Bukan sekali dua perkara tersebut jadi. Rasa rendah diri bila aku bersama dengan kawan-kawan sekelas. Aku tak mahu cerita bagaimana aku tahu semua ini. Sebab tak ada faedah pun.

Minta maaf, aku tak ada niat memburukkan seorang guru cuma nak bagitahu punca kenapa aku suka memendam dan rela mengunci mulut.

Ini juga menjelaskan kenapa aku hanya berdiam diri bila ayah/makcik aku “menyerang” aku. Sebab aku dah terbiasa diam dari dulu. Lagi pula, ayah aku memang seorang yang pantang ditegur atau dilawan.

Terimbas kembali setiap malam aku yang penuh amukan pertelingkahan antara arwah mak dan ayah sampaikan nak keluar rumah pun aku malu bertemu dengan jiran-jiran. Walaupun ayah dan arwah mak begitu, aku tahu dan yakin mereka sayangkan aku dan adik-adik.

Cuma keadaan antara mereka saja yang bermasalah. Aku yang di fasa dewasa kini, telah faham dan mengerti. Aku tak salahkan mereka. Mereka juga pertama kali menjalani hidup rumahtangga dan pertama kali menjadi ibu bapa.

Kerana hidup ni hanya sekali. Lagipun, masa dulu kurangnya pendedahan ilmu tentang “parenting” dan juga “managing conflicts” seperti sekarang.

Apapun, bukan sengaja aku cerita perihal arwah mak dan ayah aku disini. Aku hanya ingin menjelaskan persoalan – “a big why?” kenapa aku tak berdaya menerangkan salah/meluahkan rasa/menjawab kata-kata ayah.

Seperti usulan pembaca, aku memang ada cakap dengan ayah untuk minta bantuan dari baitulmal/zakat untuk anak-anak nya yang dibelanya itu. Seperti mana arwah mak aku dulu buat untuk aku dan adik-adik.

Namun, balasan ayah hanya “tak mahu meminta-minta dari luar…”. (aku tak mahu cerita sebelum ini, sebab aku pasti ayah akan dikecam secara berjemaah). Begitulah ayah. Aku dah faham sangat dengan sikap ayah.

Ego tak bertempat. Mungkin sebab dia dah biasa menjadi hero di kampung halaman. Mungkin malu dengan orang-orang kampung sekiranya tersebar cerita ayah meminta bantuan kewangan.

Ayah aku di masa muda nya, berkhidmat dalam kumpulan pelaksana (keje gomen) tapi setelah berkahwin baru, ayah ada perniagaan sampingan yang diuruskan bini barunya itu.

Kiranya ayah dulu hidup mewah manakala aku adik beradik dan arwah mak hidup dalam kesederhanaan.

Kami sentiasa berjimat cermat dan tahu mana keperluan atau kehendak. Berbalik kepada cerita ayah, kenapa ayah tak mampu nak bagi duit lebih kepada kami sedangkan hidupnya ada duit?

Aku hanya bersangka baik dari dulu sampai sekarang bahawa mungkin saja hasilnya dikawal rapi oleh bininya (aku agaklah).

Lagipun, aku tahu, memang ayah mempunyai tanggungjawab besar menanggung kebanyakkan adik beradik dia (makcik pakcik) selain arwah atok & opah. Ayah memang anak dan abang yang baik. Aku tak nafikan.

Tak berkira dengan keluarganya seperti juga aku yang sedikit sebanyak terpengaruh dengan sikapnya yang itu. Bukan aku nak cakap aku ni baik, cuma aku nak kalian tahu, aku faham situasi ayah.

Ayah mungkin tersepit dengan keadaan. Keluarga ayah dulu susah, jadi bila ayah senang sikit, haruslah dia memberi.

Aku faham perasaan ayah yang bahagia jika dapat bantu keluarga sebab aku pun macam tu. Namun, disebabkan ini juga menjadi penyebab utama ayah dan arwah mak bercerai.

Ayah tak mampu nak berlaku adil antara keluarganya vs. mak + aku adik beradik. Ayah menanggung keluarga besarnya manakala arwah mak menanggung keluarga kecil mereka berdua. Mak aku wanita yang bekerja.

Walaupun berkhidmat dalam kumpulan pelaksana juga, tapi gaji arwah mak lebih sikit daripada ayah.

Mungkin kerana itu, ayah merasakan yang duit diberinya tiap-tiap bulan mencukupi dan berharap arwah mak berlapang dada untuk menyetelkan perbelanjaan rumah.

Ayah minta arwah mak faham keadaannya yang terpaksa menanggung adik beradiknya.

Tapi arwah mak tak mampu nak faham dan terima alasan tersebut kerana kerana sikap adik beradik ayah. Ayah aku ada abang-abang diatasnya. Juga adik-adik lelaki dan adik-adik perempuan dibawahnya.

Adik beradik ayah ramai, tapi? Hanya ayah aku saja yang berbakti kepada keluarga.

Kerana ada yang malas bekerja, ada yang asyik tak cukup duit (hidup tak ukur baju sendiri) dan ada yang memang mengharapkan bantuan ayah aku (yang kini kaya raya tapi melupakan jasa ayah).

Begitulah masalah setiap yang berkeluarga. Tak ada yang sempurna seratus peratus.

Kemudian, memang betul aku ada adik lelaki. Boleh menjadi wali perkahwinan aku sekiranya ayah enggan nanti. Tapi aku pun tak tahu bila nak kahwin. Aku tak bersedia menghadapi cabaran berumahtangga.

Aku takut. Bak kata orang, kahwin bukan dengan pasangan saja tapi dengan keluarganya sekali.

Bahkan, banyak juga benda lain yang aku risaukan sebenarnya (aku wanita yang sudah biasa hidup berdikari, tak suka dibuli, mungkin bakal mencabar ego seorang lelaki yang bernama suami).

Tipulah jika tak berasa sunyi. Aku pun mahukan anak. Tapi umur pun sudah berada awal 30-an, mungkin sudah terlambat. Aku masih disini, dengan dunia sendiri, masih terbawa-bawa sejarah silam.

Doakan supaya aku terbuka hati untuk berkahwin dan yang paling aku minta, doakan aku supaya percaya dan yakin dengan diri sendiri mampu jadi isteri dan ibu yang baik.

Dan lagi, walaupun perit nak menerima, betul lah bahawa seburuk-buruk ayah, tetaplah seorang ayah. Lari kehujung dunia pun masih berbintikan dengan nama ayah.

Bukan soal duit atau nafkah yang menjadi persoalan utama, tapi perhatian dan kasih sayang. Aku masih menunggu.

Menunggu ayah meminta maaf setulus hatinya kerana tidak memberi sebahagian ruang hidupnya kepada aku (juga adik-adik seibu).

Mungkin saja ayah hilang kasih terhadap arwah mak, tapi janganlah dilibatkan kami.

Kami juga anak ayah. Aku jadi iri hati dengan “adik-adik baru” yang remaja kini. Beruntunglah kerana dapat perhatian dan kasih sayang ayah.

Bab “adik-adik baru” aku ni pulak, aku sikit pun tak marah mereka. Tak ada dosa dan hutang mereka dengan aku. Malah aku kesian. Mereka sekarang ini pun telah menjadi mangsa penceraian mak ayah. Mereka juga pasti terkesan seperti aku.

Ayah dah tua, tak mampu nak sara seperti dulu setelah berpencen. Bisnes apa semua dah tak ada sebab maknya dah lari mengikut jantan lain.

Aku bukan tak nak bagi duit sebab aku marah “adik-adik baru” ni, tapi sebab kata-kata ayah yang buat aku lagi jauh darinya. Dicarinya aku bila dia perlu, dibiarkan aku ketika dia bahagia.

Lagi, walaupun arwah mak dah tak ada, aku tetap rasa tak adil kepada arwah mak sekiranya aku menyenangkan ayah. Aku hanya nak ayah merasa apa yang arwah mak pernah rasa dulu (terdesak membesarkan anak sendirian).

Aku juga nak ayah tahu yang dalam dunia ini, tak semua benda akan dapat seperti yang kita nak. Belajarlah menerima hakikat, seperti aku.

Cuma aku nak bertanya bahawa berdosakah aku kerana keras dengan pendirian aku yang ini?

Aku pun manusia biasa, ada hati dan perasaan. Kalau ini yang dikatakan dendam, maka doakanlah agar ikatan dendam ini dapat dileraikan dengan penuh hikmah. Aku sedang diuji untuk memaafkan ayah.

Ayah juga sedang diuji untuk menerima semua dugaan ini di penghujung hayatnya. Doakan aku dan ayah menemukan pengakhiran yang terbaik.

Bab mana pergi duit “great duty”/ganjaran perkhidmatan ayah, aku serba salah nak komen. Aku tak pernah tanya ayah walaupun masa dia memujuk aku untuk pinjam duit.

Tapi dari apa yang aku dapat tangkap dalam perbualannya sebelum ini, semacam dah berhabis pada bini barunya (sekarang bekas bini).

Kesian ayah kalau betul. Tapi mungkin saja bekas bininya hanya membalas dendam terhadap ayah. Makan hati dengan sikap ayah yang berhabis duit untuk keluarganya mungkin?

Sekiranya ayah aku dan mak kandung “adik-adik baru” aku ni ditakdirkan meninggal dunia sebelum aku, aku pasti bantu “adik-adik baru” ikut kesesuaian dan semampu aku kerana pakcik makcik belah ayah memang tak boleh diharap.

Apa yang terjadi dalam hidup aku ni semua nya berkaita rapat antara satu sama lain. Aku harap para pembaca berjaya menemukan “jawapan di dalam jawapan”.

Asal setiap kejadian pasti ada sebabnya. Pesan aku, janganlah kita menjadi punca pada sesuatu permasalahan. Bersikap adil lah dan jalankan tanggungjawab dengan saksama (antara mak ayah dengan anak & sebaliknya, antara suami isteri, antara adik beradik, etc).

Tunaikan hak setiap yang berhak dan fikir dulu sebelum bertindak kerana setiap tindakan pasti memberikan kesan (samada cepat atau lambat).

Yang paling penting, wujudkan empati dalam diri kerana empati ini lah yang menentukan segala keputusan yang kita buat dalam kehidupan seharian.

Ok. Sudah terasa kebas jari jemari aku ni menaip. Cukuplah sampai disini saja penulisan aku. Maafkan aku kerana sudah banyak mengambil masa kalian yang tak akan berulang semula.

Terima kasih diatas ruang dan peluang ini. Semoga kita semua tabah dalam menghadapi ujian di dunia ini.

Buat pedoman dan ambil lah iktibar dari kisah hidup aku ini walaupun sikit. Akhir kata, salam sayang dari aku kepada semua. Juga, salam OPR 2.0%. Terima kasih.

– Lala (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *