Suami Dalam Dilema

Assalamualaikum. Terima kasih admin menyiarkan tulisan ini. Sekadar luahan buat sang isteri yang ku cintai.

Perkahwinan kami mencecah usia 10 tahun. Kahwin atas dasar cinta dari zaman sekolah menengah. Sebelum berumahtangga lagi isteri aku tahu yang kerjaya aku super sibuk.

Aku anggota uniform. Pergi pagi balik pagi esoknya dan kadang tak balik beberapa hari dan baru hirup kopi secawan terpaksa tinggalkan isteri dan anak-anak terpinga-pinga.

Pernah beberapa kali kami merancang percutian dan setibanya di hotel, aku diarahkan pulang untuk tugas. Muncung isteriku yang baru ingin berseronok bersama kami anak beranak.

Hasil perkongsian hidup, kami dikurniakan anak seramai 5 orang. Alhamdulillah.

Isteri tidak bekerja dan sebagai surirumah yang super sibuk juga. Kadang aku perasan yang isteri burnout dengan tugasannya di rumah.

Ketika di rumah, aku akan berehat secukupnya. Lelah seharian kerja dan terpaksa disuruh untuk buat kerja rumah itu ini.

Ada masanya rajin, satu rumah aku spring cleaning. Tapi bila datang lelah, aku cuma berehat dan buat kerja rumah bila diminta.

Bukannya aku malas. Aku juga burnout di tempat kerja. Aku mengharapkan isteriku faham keadaan aku. Dan aku cukup memahami kepenatan isteriku.

Kadang aku marah juga isteri sebab terlalu particular dengan hal-hal kecil sehingga menyebabkan dia stress dan letih.

Tapi mungkin dia ada penyakit OCD yang tak boleh nak tengok rumah sepah sikit dan anak- anak lambat mandi.

Padahal anak hanya seharian di rumah dan langsung tak kotor. Dan anak-anak wajib berpakaian kemas seperti baju tidur untuk tidur dan baju kemas pada waktu siang. Walaupun hanya di rumah.

Aku acapkali pesan supaya hanya berpakaian biasa saja kalau di rumah dan tak perlu tukar-tukar baju.

Biasalah budak kotor sikit lepas makan dan lasak sebagainya supaya isteri tidak penat membasuh dan melipat kain bertimbun.

Aku belikan dryer untuk kemudahan dia supaya tak perlu susah payah sidai baju. Aku belikan iron yang bagus supaya dia mudah untuk menyiapkan pakaian sekolah anak.

Tapi tetap dia megeluh kepenatan. Aku belum mampu carikan pembantu.

Hal ini selalu jadi punca kami bergaduh disebabkan isteri kepenatan dan aku juga kepenatan. Kami ada berbincang tetapi isteri selalu menangkan yang dia penat dan aku tidak mahu menolong.

Seolah aku keluar kerja enjoy bersama kawan-kawan atau berpoya bersama perempuan. Punya lah penat sampai aku tak terfikir nak ke arah tu. Tak pernah aku menduakan isteri sepanjang perkahwinan kami.

Kadang aku rasa sedih seolah seperti isteri tak suka aku ada di rumah. Balik kerja penat. Nak bermain dengan anak sekejap. Anak nak bermanja.

Aku betul-betul penat. Tapi isteri seolah mahu aku take turn menguruskan hal rumah bila aku ada macamlah aku seharian keluar balik lambat untuk tidur semata-mata.

Selepas beberapa lama.. aku rasa aku perlu perbetulkan keadaan. Aku bercadang berhenti kerja dan cuba kerjaya baru.

Mungkin ramai yang membantah sebab aku penjawat awam. Sayang orang kata kalau nak berhenti.. tapi aku penat. Dan penat aku tu sampai menganggu rumahtangga kami.

Aku ada berbincang dengan isteri, jikalau aku berhenti, kami akan hidup sedikit susah. Tak seperti sekarang, pendapatan aku tetap dan selesa.

Tapi jika berhenti, perlu kerja lebih keras di luar sana tetapi insha-Allah akan ada masa dengan keluarga.

Mungkin yang hilang iaitu kesenangan pendapatan yang tetap tetapi kualiti masa mungkin lebih banyak dapat dihabiskan bersama.

Isteri semacam risau walaupun aku yakinkan dia yang rezeki Allah tentukan. Sudah ditetapkan. Aku terlalu penat. Fizikal dan mental.

Burnout yang tak boleh dibawa bincang. Dan aku percaya burnout ini akan jadi masalah berpanjangan antara kami suami isteri.

Aku anggap ini pengorbanan walaupun sebenar nya disebalik kepenatan kerja aku minat mendalam kerjayaku sekarang. Tapi rumahtangga yang dibina menjadi taruhan.

Dalam luahan ini.. aku cuma nak luahkan kepada isteri yang aku faham kepenatan dia. Aku faham. Tapi aku juga penat teramat sangat.

Semoga ada jalan keluar dan aku mendapat peluang lebih baik di luar sana.. insha-Allah.

Tolong doakan…

– Fahrin (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *