Sombong Budak Sekolah

Aku ialah seorang bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh. Satu penyakit yang menular dalam kalangan pelajar SBP ialah penyakit SOMBONG dan MENINGGI DIRI.

Benar, ramai pelajar SBP yang baik, peramah dan sentiasa rendah diri. Dan aku sedar bahawa penyakit sombong boleh menimpa sesiapa sahaja. Aku menulis sebagai kapasiti diri aku sebagai bekas pelajar SBP.

Dalam sistem lama, syarat kemasukan ke SBP agak ketat. Jadi, setelah diterima masuk ke SBP, ada yang beranggapan bahawa merekalah orang paling hebat, paling pandai, paling bertuah, paling paling paling……

Sehingga mereka memandang rendah sahabat-sahabat mereka di sekolah lain. Malah, sesama pelajar SBP dari sekolah yang berbeza juga wujud permusuhan, hanya kerana ‘sekolah aku lebih elit daripada sekolah engkau’.

Apabila dianjurkan program sesama SBP, ada pelajar yang sungguh ketara sifat tinggi dirinya. Berjalan langgar sahaja orang lain, tanpa minta maaf, seolah-olah dialah ‘abang kawasan’.

Aku juga pernah dihina oleh orang terdekat. Walaupun aku juga pelajar SBP ketika itu, tetapi sekolah aku tidaklah sehebat dan se-elit sekolah lain.

Sekolah aku dihina, diriku dihina dan kebolehanku untuk memperoleh kejayaan diperkecil.

Tidak dinafikan, aku juga pernah rasa diriku hebat, pandai, beruntung, aku anggap orang lain malas, tak pandai, bodoh……..

Apabila sudah dewasa, barulah aku sedar bahawa ini ialah penyakit yang perlu dihapus.

Orang lain tidak berada di ‘sekolah elit’ bukan kerana mereka tidak pandai atau malas atau tidak berbakat……

Tetapi nasib setiap orang berbeza. Kita perlu ajar diri untuk percaya bahawa SEMUA orang mempunyai kebolehan dan bakat yang tersendiri. Cara untuk kembangkan bakat itu juga berbeza.

Hanya kerana orang lain tidak berada di ‘sekolah elit’, tidak bermakna mereka tidak boleh berjaya.

Adik-adikku di SBP, cukuplah dengan sifat sombong dan tinggi diri. Bersyukurlah dengan kurniaan Tuhan dan hargailah semua orang di sekeliling kita.

Hari ini kita rasa kita hebat, esok orang lain boleh pijak sahaja kepala kita.

Berusaha lah bersungguh-sungguh untuk menempatkan diri di sekolah yang baik. Apabila sudah berjaya, kembalilah kepada Tuhan, usahlah pandang rendah kepada orang lain.

– Orang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *