Assalamualaikum semua. Sebelum tu aku perkenalkan diri nama aku Rahman. Kisah yang ingin aku kongsi ni aku yakin bukan setakat terjadi dekat aku sahaja malah, ramai yang aku rasa harungi benda sama.
Aku membesar dengan mak dan ayah. Ayah aku ni biawak hidup dan kaki pukul. Hampir setiap hari mak aku kena maki kena tunjal, pukul dan banyak lagi. Aku pun hampir setiap hari kena.
Pernah sekali aku dengan mak tengah makan ayah aku sebab dia marah tergigit lidah dia sendiri habis dia pergi telungkupkan dulang makanan.
Kau bayangkan aku dengan mak tengah makan lauk habis terburai bersepah. Itu tak termasuk jenis suka beli nombor ekor. Hampir setiap hari.
Umur aku 8 tahun, waktu ni mak aku cakap dekat aku “man kita lari nak, kita pergi tempat lain jauh dari sini” aku pun sambil nangis cakap “jom mak”.
Tapi sebelum tu mak aku buat preparation dulu. Pergi sekolah aku, buat surat pindah sekolah dan bermacam urusan rasmi. Jadi mak turun naik segala tempat urus hal aku.
Zaman ni awal 20an lagi. Zaman ni pakai telefon semua kategori kira keluarga senang. Dah siap urusan sekolah aku, mak aku kemas barang baju aku dan mak.
Tapi mak aku kemas sikit-sikit satu hari 2 helai. Lepastu mak aku simpan baju dalam beg dekat rumah kosong yang dekat dengan rumah aku, rumah yang dah terbengkalai.
Jadi mak aku simpan baju, seluar dan beg nak bawa lari dekat rumah kosong tu. Segala dokumen, dokumen penting mak aku ambil tanpa ayah aku sedar dan simpan.
Hampir tiga bulan aku dengan mak buat persiapan. Sambil tu kami teruskan hidup macam biasa supaya ayah aku tak perasan.
Hari jumaat ayah aku bagitahu mak aku dia nak pergi mancing dengan kawan hari ahad minta mak aku duit. Mak aku pun kasi sikit cakap duit gaji sikit.
Malam tu bila ayah aku keluar beli rokok, mak pun cakap “ahad kita keluar dari rumah ni” aku pun angguk sebab memang bagi aku makin hari makin terseksa tengok mak kena tengking kena pukul.
Jadi sabtu malam mak aku bawa beg barang penting kami dia nak sewa hotel murah yang dekat dengan stesen bas dan nak simpan beg.
Sebab kalau bawa beg tu dari rumah kosong takut suspicious dengan ada kawan ayah aku dekat tempat situ takut diorang tahu. Jadi dah selesai bayar hotel murah satu hari, simpan barang.
Ahad petang ayah aku pun keluar pergi memancing. Dah lepas sejam ayah aku keluar dan waktu tu maghrib. Aku dengan mak pun dengan pakai baju biasa. Aku pakai kasut sekolah terus keluar rumah.
Rumah tu mak aku beli kunci baru nanti kata dia ayah aku balik biar dia marah tak dapat buka.
Kami berdua ni waktu azan maghrib. Dengan laju lalu belakang rumah orang, semak samun nak lari dari tempat ni. Mak aku dah gadai cincin dengan rantai untuk duit kami mulakan hidup baru. Naik teksi pergi hotel ambil beg semua. Pergi stesen bas beli tiket.
Lepas hampir sejam tunggu bas dalam keadaan takut pandang kiri kanan takut nampak kawan atau ayah aku. Mak siap pakai purdah dan belikan aku topeng mainanan ultraman suruh pakai supaya orang tak kenal.
Lepas sejam bas pun datang jadi mula lah perjalanan kami yang makan masa hampir 10 jam. Dalam bas tu baru kami berdua ni rasa lega tenang dan pertama kali rasa hidup agak bebas.
Pindah negeri baru, hidup baru. Lepas hampir seminggu ke hulu kehilir dengan mak baru jumpa rumah sewa dengan kerja. Mak uruskan hal sekolah aku dulu lepastu baru hal kerja.
Waktu lari kami cuma bawa 5 helai baju dan seluar. Rumah sewa pun satu bilik kosong tak ada apa. Cuma ada toto sahaja. Tapi itulah moment yang aku rasa buat kami berdua gembira sangat. Hidup tenang, tak ada lagi makian dan tangisan. Yang ada gelak ketawa.
Mak aku yang awalnya kerja cleaner sekarang dah buka syarikat cleaning service dia tak besar mana pun setakat 8 orang je pekerja.
Aku pun dah habis graduate, kerja dan berkahwin anak pun dah ada 1. Kalau dulu rumah setakat satu bilik sekarang dah ada 4. Dekat rumah cuma aku, mak, isteri aku dan anak aku sorang kami 4 beranak je.
Beberapa tahun selepas kami pindah. Aku dengan mak ada tengok satu berita ni. Pasal jenayah. Dalam tu nampak muka ayah aku dan nama dia dengan 2-3 orang kawan dia masuk penjara.
Aku dengan mak dalam hati “bagus padan muka” mungkin lepas hampir 10 tahun aku pernah follow kes tu dan dapat tahu yang dia ada lagi beberapa tahun sebelum keluar penjara.
Aku ni sebenarnya orang yang agak berdendam. Aku upah kawan aku yang dia ni kira macam private investigator aku bagi tahu kalau orang ni keluar penjara suruh kasitahu. Beberapa tahun kemudian ayah aku keluar penjara.
Aku cakap dengan mak nak humban dia balik masuk penjara. Tapi mak aku cakap tak payah. Kita dah ada hidup sendiri dan ayah aku ada hidup dia sendiri.
Jadi lepas fikir panjang akhirnya aku pun batalkan niat nak balas dendam. Aku pun tak tahu apa cerita pasal ayah aku. Tapi pada aku hidup sekarang dah tenang dan harap akan kekal sampai bila-bila.
– Rahman (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Ā https://iiumc.com/submit