Assalamualaikum Salam Sejahtera. Pertama sekali terima kasih pihak IIUM Confessions menerima karangan ini untuk disiarkan.
Terima kasih tak terhingga sebab saya telah menghantar beberapa penulisan luahan yang telah disiarkan… Terharu teruja sebab apa yang terbuku dapat disampaikan dan dapat maklumbalas.
Saya juga sudah serasi dengan ruangan ini, kenali dua orang adminnya yang pernah bersiaran. Walaupun tidak membaca kesemua perkongsian sebab masa terhad tapi dapat juga lencana peminat teratas.
Saya sering mencari kata-kata motivasi dan mengikuti laman inspirasi positif namun saya sangat sukar untuk bangkit membetulkan kekurangan diri sendiri.
Ya, saya kuat cemburu. Melihat kelebihan dan kejayaan orang saya turut bangga tapi hati ni terdetik kenapa saya jauh ketinggalan serba kurang.
Adakah kerana saya kurang berusaha sekadar duduk di zon sedia ada ibarat kais pagi makan petang. Duduk di bawah tempurung sebab tak mampu nak berjalan jauh dan melukut di tepi longkang kerana mengharap ihsan orang membantu.
Saya penerima zakat dan bantuan JKM kerana ibu tunggal yang tidak bekerja.
Saya dah rasa betapa sedih jadi orang miskin zaman kanak-kanak. Melihat mak ayah yang bekerja buruh sering meruntun hati, tak merasa kemewahan namun bahagia.
Berazam nak bantu mak ayah bila dah besar namun kini mak ayah yang masih memberi duit belanja bulanan kerana besarnya kasih mereka.
Syukur banyak bantuan dari sekolah seperti RMT tapi ada masa pasti rendah diri menjadi penerima bantuan sebab miskin.
Pernah anak kata cikgu marah sebab tak habiskan makanan RMT, anak takut dan sedih sebab tak selera. Lainlah anak cikgu yang boleh makan dekat maknya.
Bila balik sekolah saya jemput dengan motosikal lama, anak kata seronoknya kereta kawan dia besar pintu tekan je buka sendiri.
Saya pujuk dia dengan kata miskin ni tak hina, Allah tetap sayang tapi dia tak bagi sebab Dia nak kita banyak bersabar. Sabar itu ganjarannya Syurga..
Kaya dan miskin ni ujian, dunia ni sementara sahaja semua akan mati. Buka kisah Nabi kita yang Allah SWT paling kasih tapi mendapat ujian susah yang banyak.
Saya ni bila komen di media sosial macam bagus, tapi jika orang tahu kehidupan saya sangat teruk mesti mereka rasa nak marah. Rumah saya tidaklah buruk tapi sangat selerak, serabut, sampah merata sebab malas.
Bukan malas mengemas sahaja malas juga memasak. Lagi teruk ada masa malas solat. Jadi tidak hairanlah kenapa saya susah nak berjaya dan miskin.
Masalah bercerai juga sebab kami malas. Dia penganggur, saya malas melayan makan pakai tidur dia. Kena pula keluarga saya tidak suka dia keluarga dia tidak suka saya. Daripada berterusan hidup tertekan dengan kutukan mentua ipar dan dia pun mulut lepas.
Maka saya lebih bahagia setelah dilepaskan. Tapi masalah itu terpalit pada anak pula, anak pun dah pandai marah mak dia malas.
Sebenarnya saya mudah buntu, ada masa tak tahu nak buat apa, berat, tak mampu nak masak, beli saja. Saya sangat kagum dengan mereka yang bekerja menyediakan jualan makanan. Saya ni sedih. Lemah.
Ada masa rasa adakah saya perlu bantuan ubat bila berat nak buat sesuatu, saya juga jenis suka tidur siang dan berjaga malam..
Bila rasa banyak kekurangan, bila saya tengok video orang yang mendapat musibah kemalangan atau jatuh sakit, atau melihat video orang OKU yang sangat menyedihkan, lagi besar kesusahan dan kesulitan mereka… saya doakan mereka jika mampu saya suka juga bersedekah walau sikit.
Jadi saya rasa saya ada juga kelebihan dan rahmat dari Tuhan Yang Maha Pengasih. Saya rasa saya akan dapat apa yang diimpikan tapi jalannya panjang dan belum tiba.
Saya juga akan fikir, jika tak dapat di dunia dapat di akhirat… tapi betulkah saya akan dapat di akhirat sedangkan di dunia pun tak dapat kejayaan kekayaan.
Mereka yang banyak menunjuk macam-macam harta dan kemegahan dunia yang ada masa dirasakan macam istihraj tu mungkin lebih layak ke Syurga Firdaus sebab banyak bersedekah dan sangat rajin berusaha…
Saya mula risau kalau saya ni tak layak ke Syurga sebab malas dan suka juga mengomen salah orang. Suka mengata orang ni boleh muflis di akhirat…
Namun, sekiranya di akhir nafas kita mampu untuk mengucap syahadah… Syurga buat kita. Cara mati ditentukan dengan cara hidup.
Moga kita mampu untuk mencontohi akhlak dan sunnah Rasulullah SAW dan sering berselawat untuk mendapat syafaat baginda.
Diampuni dosa dan banyak bersabar dan bersyukur semoga akan ditambahkan nikmat keberkatan dunia akhirat… Doakan saya.
– Seketul Manusia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit