Hi salam semua. Semoga tulisan ini mampu mendapat pandangan sewajarnya agar mampu memberi sedikit pertimbangan sebelum aku membuat keputusan.
Aku sebenarnya tak tahu sama ada aku perlu teruskan perkahwinan aku atau tidak.
Baru menginjak 3 tahun tapi aku rasa sangat banyak perbezaan antara aku dan isteri aku. Dari segi pemikiran, gaya hidup, halal haram, dosa pahala, kerjaya, hala tuju hidup.
Aku mulakan dengan menceritakan serba sedikit latar belakang kami agar mudah kalian memberi pandangan.
Aku merupakan seorang Software Engineer walaupun aku bukan belajar dalam bidang itu. Aku mengambil jurusan agama di Timur Tengah.
Tapi disebabkan minat yang mendalam terhadap bidang pengaturcaraan, aku sering belajar sendiri ketika punya waktu terluang.
Usai tamat pelajaran di Timur Tengah, aku terus minta kerja dalam bidang pengaturcaraan dan berjaya menempatkan diri dalam syarikat terkemuka walau tanpa sijil berkaitan.
Berasal dari keluarga yang sederhana, ibubapa ku mengajarkanku untuk bekerja keras dan sentiasa berjimat cermat supaya tidak boros dan berjaya mengubah hidup.
Isteri aku merupakan seorang berkelulusan sastera di universiti swasta dalam negara. Sekarang bekerja di dalam bidang pentadbiran di sebuah syarikat kecil dengan gaji bawah B40.
Dia dibesarkan dalam keluarga yang sederhana tapi dimewahkan oleh ibubapanya. Simpanan zero sebab semuanya dibelanjakan untuk anak – anak.
Beberapa sebab kenapa aku nak putuskan hubungan ini, iaitu kami sering bergaduh tentang gaya hidup.
Aku walaupun bekerja di syarikat besar mana lah gaji banyak sangat sebab baru sahaja bermula,
Tapi aku diberi expectation oleh isteri untuk sediakan 100% keperluan rumah, memberi nafkah dengan tambahan membeli barangan – barangan mahal seperti produk Epal.
Aku selalu cakap kepada dia untuk berjimat cermat, tapi sering tidak diendahkan. Ya, aku faham dia dibesarkan dalam keadaan serba mewah, tapi ukurlah baju dengan badan sendiri.
Kedua, aku rasa tertipu dengan pakaian beliau sewaktu mula kenal. Nampak seperti muslimah bertudung labuh tetapi tidak sebaik yang disangka.
Walaupun dia mendapat didikan agama dengan sempurna tapi tidak diamalkan sepenuhnya dalam keluarga beliau.
Semasa tahun akhir sahaja, dia mula bertudung labuh selepas menyertai “usrah instant” gara- gara insaf ditinggalkan bekas teman lelaki nya.
Detik kekecewaan terendah aku apabila aku terjumpa sekotak rokok dalam beg tangan beliau.
“Perempuan merokok?”
Ketiga, dia tiada usaha untuk buat lebih baik dalam kehidupan. Baik kehidupan dunia mahupun akhirat. Hanya tahu enjoy, vacation, korea.
Keempat, dia tak suka keluarga aku. Dihinanya keluarga aku sebab mengamalkan kehidupan yang sederhana, pakai pakaian murah, makan makanan di kedai biasa.
Dia sangat tidak suka kalau aku nak balik kampung ke rumah ibuku.
Aku banyak kali nak hentikan hubungan ini. Tapi aku tiada kekuatan. Rasa cinta tiada. Yang ada kasihan. Kasihan kalau aku tinggalkan dia apa lah jadi dengan nasib kehidupan dia.
Kemudian, aku takut dipersalahkan. Aku tak suka buka aib dia dengan mak mertua aku tentang sisi buruk anak nya. Tiada keperluan pun.
Sebab ibu dia sendiri tahu perangai buruk anaknya.
“This marriage is a total scam!”
Ibu ayah aku sendiri merasakan aku tidak bahagia dalam perkahwinan. Mereka sendiri pun menyalahkan pilihan aku. Tapi rasa malu dengan mertua kalau perkahwinan ini diputuskan.
Macam – macam dah aku buat kat isteri aku untuk bagi dia tawar hati, tapi selepas beberapa hari aku rasa kesian. Aku sendiri yang pujuk balik dia.
Isteri aku sangat sayangkan aku. Sangat dahagakan perhatian aku tapi aku tiada rasa apa – apa. Aku rasa terpaksa tapi kasihan.
Oh ya, kami masih belum ada anak. Satu kelegaan buat aku, sebab aku taknak perkara jadi lagi rumit jika mempunyai anak. Aku tidak boleh bayang kalau anak aku mendapat didikan dari ibu seperti beliau.
Aku dah tawar hati. Aku tak nampak halatuju perkahwinan ini. Dalam masa sama aku tak sanggup nak sakitkan hati dia. Sebab aku kesian.
Aku rasa hidup dia dah terlalu banyak trauma. Dan aku tidak perlu menambah trauma itu. Aku taktau apa jadi pada dia kalau aku tinggalkan dia. Entah bunuh diri atau gila agaknya.
Tapi aku sendiri merasa sekarang.
Mohon pandangan.
– Suami Kasihan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit